Monday 28 March 2011

Penyelidik UIAM hasilkan Teh Herba bantu baiki masalah buah pinggang dan hati.

oleh Ruslan Rusly


Hasil daripada kajian dan penyelidikan yang menyeluruh, Pensyarah dari BIOHEAL RESEARCH GROUP, Jabatan Sains Pemakanan, Kulliyah Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) Kampus Kuantan, Dr. Norazlanshah Hazali telah berjaya menghasilkan Teh Herba Misai Kucing dan Mas Cotek di bawah jenama UIA HERBS.

Orthosiphon Stamineus adalah nama saintifik untuk Misai Kucing manakala ficus deltoidea merujuk kepada Mas Cotek. Kajian yang dijalankan selama tiga tahun telah membawa kepada satu penemuan baru dalam industri sains makanan. Hasil gabungan diantara Herba Misai Kucing dan Herba Mas Cotek dapat membantu mereka yang mempunyai masalah buah pinggang serta memulihkan sel-sel hati.

Menurut Dr. Norazlan, kajian yang dilakukan memakan masa selama tiga tahun adalah untuk memastikan bahawa kandungan-kandungan yang terdapat pada herba-herba tersebut adalah baik serta kajian yang dilakukan keatas produk tersebut diformula secara sainstifik yang mana kajian demi kajian dilakukan adalah berturut-turut untuk memastikan ia capai kepada satu standart yang di tetapkan.

“saya memilih herba MasCotek dan Misai Kucing ini untuk dijadikan minuman adalah supaya kita dapat mengetengahkan herba-herba yang kita ada, apa yang dapat kita lihat ialah herba yang popular sekarang ini ialah Tongkat Ali dan Kacip Fatimah, jadi rentetan itu saya memilih kedua-dua herba ini untuk dijadikan bahan kajian supaya dapat lihat apa khasiat yang tersembunyi pada herba tersebut dan ia juga salah satu langkah untuk kita mempromosi produk herba kita ke peringkat yang lebih tinggi”.

Antara khasiat-khasiat yang boleh didapati dalam Teh Herba gabungan Misai Kucing dan Mas Cotek ini ialah ianya kaya dengan agen antioksidan, dapat menyingkirkan toksik dalam badan dan yang paling utama ialah ia beupaya untuk memulihkan sel hati sesuai untuk penghidap darah tinggi dan mampu memperbaiki sel ginjal ataupun mereka yang mempunyai masalah buah pinggang seperti batu karang dan mereka yang sedang menjalani rawatan hemodialisis.

“ Produk minuman teh herba ini telah pun terbukti khasiatnya dimana seramai 200 testimoni yang telah saya temui dan kebanyakkan daripada testimoni tersebut adalah mereka yang mengalami masalah darah tinggi dan buah pinggang memberikan maklum balas yang positif”.ujarnya.

Produk yang dihasilkan bukan semata-mata untuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan, ia juga boleh diminum oleh sesiapa sahaja walaupun mereka tidak mempunyai penyakit seperti buah pinggang dan masalah hati.
“Minuman teh herba ini boleh dijadikan sebagai minuman kesihatan atau minuman harian sebagai supplemen untuk mencegah daripada penyakit dan membuang toksin dalam badan”.katanya

Dr.Norazlanshah juga merupakan pemenang tunggal pingat emas dari UIAM di Malaysia Technology Expo(MTE2011) dalam kategori Inovasi, Penemuan dan Teknologi baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment