Thursday 14 March 2013

MISI 100 JAM KEMBARA INTEGRASI ILMU PELAJAR UIAM


Para pelajar UIAM bersama sama penduduk kampung

 oleh Roslan Rusly
Seramai 43 orang pelajar daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai jurusan telah mengadakan satu program yang dinamakan 100 JAM-KEMBARA INTEGRASI ILMU 2013. Program ini telah diadakan selama 4 hari 4 malam dan merentasi beberapa buah negeri daripada Stesen KL Sentral ke Stesen KTMB Kuala Krai dan berkampung di Kampung Sungai Taku, Kuala Krai, Kelantan.
Bersempena dengan nama program, 100 JAM-KEMBARA INTEGRASI ILMU 2013, program ini memakan masa hampir 100 jam bagi para peseta untuk menjayakan misi perkongsian ilmu dan juga khidmat masyarakat. Program ini diadakan di sebuah kampung pedalaman di daerah Kuala Krai, Kelantan. Perjalanan memakan masa lebih kurang 17 jam menaiki keretapi, menyusuri sungai Kelantan dan membonceng motosikal. Kampung ini dikategorikan sebagai "landlocked" kerana terletak di tengah-tengah antara kampung lain.
Gotong royong kenduri bersama penduduk kampung
Kembara yang bertemakan “Integrasi Ilmu, Transformasi Sahsiah” juga merupakan sahutan daripada seruan Perdana Menteri kita iaitu dengan melaksanakan transformasi dalam pembentukan modal insan. Justeru, pelajar didedahkan dengan cara hidup penduduk kampung yang terletak jauh di pedalaman. Peserta terpaksa meredah kebun getah dan jalan tidak berturap dengan menaiki motosikal untuk ke kawasan kampung, tiada talian telefon, dan jauh daripada pekan. Sumber makanan pula banyaknya adalah hasil-hasil daripada persekitaran kampung seperti pucuk paku dan ikan sungai.
Pelbagai aktiviti juga dijalankan untuk menjayakan program ini yang berkonsepkan "integrasi ilmu". Formula digunakan adalah menerima dan memberi ilmu, atau erti kata lain, perkongsian ilmu tercetus daripada setiap aktiviti yang dirancang. Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah Forum Ilmiah, Qaryati Jannati (fokus kepada kanak-kanak), sukan rakyat, malam membudayakan seni warisan, dan aktiviti merewang “bekwoh” mengikut tradisi kampung.
Kerjasama daripada  penduduk kampung boleh dikatakan luar biasa. Program “100 JAM-KEMBARA INTEGRASI ILMU 2013”  mendapat tajaan sepenuhnya daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, dan dibimbing oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan kerjasama Mahallah Salahuddin Al-Ayyubi.

1 comment:

  1. my mahallah... program yg best. kalau ada peluang nak join.

    ReplyDelete