Monday 16 December 2013

PASUKAN PERAHU NAGA UIAM LAKAR KEJAYAAN



Pasukan Perahu Naga Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) 
   

 Oleh Roslan Rusly
 foto Mohd Zabidi Hamid
Pasukan Perahu Naga Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) Kampus Petaling Jaya melakar kejayaan apabila mendapat tempat ketiga dalam ‘Pertandingan Kayak Dan Perahu Panjang Karnival Sukan Air bersempena dengan penganjuran Moonson Cup Malaysia 2013 yang berlangsung di Pulau Duyong, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Apa yang menariknya ialah pasukan ini baru sahaja ditubuhkan pada November 2013 dan menyertai pertandingan ini dalam kategori “ Agensi Kerajaan”.  Pasukan UIAM meraih kejayaan dengan jumlah masa yang dicatatkan 53.45saat untuk jarak 250meter dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM1000.00. Tempat pertama di sandang oleh Pasukan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) dan tempat kedua di menangi oleh Pasukan dari Kementerian Kewangan.

Seramai 22 orang kakitangan UIAM terlibat didalam satu pasukan. Pengurus Pasukan Mohd. Hishamuddin B. Md. Nor beliau berkata walaupun pasukan ini baru sahaja ditubuhkan namun beliau berasa sangat bangga dengan komitmen serta semangat setiap anggota pasukan sehingga mendapat meraih kecemerlangan.

Pengurus Pasukan menerima  hadiah
“walaupun hanya berbekalkan lima hari sahaja membuat latihan sebelum pertandingan bermula, namun kami masih dapat meraih kejayaan kerana semangat serta iltizam untuk berjaya semakin kuat ditunjukkan”.




Dengan kejayaan yang diraih, pasukan Perahu Naga UIAM akan terus berusaha untuk meningkatkan prestasi pasukan dan juga akan banyak menyertai pertandingan-pertandingan yang di anjurkan dan apa yang diharapkan pasukan perahu naga ini dapat mengharumkan nama Universiti dan sekaligus nama negara, ujarnya lagi.

Terdapat empat kategori yang dianjurkan pada pertandingan tersebut iaitu "Kategori Tertutup Terengganu", "Kategori Terbuka Terengganu", "Kategori IPT" dan "Kategori Agensi Kerajaan". 

 

Thursday 21 November 2013

PENSYARAH JULANG NAMA UIAM DAN MALAYSIA TERIMA ANUGERAH HABIBIE 2013


  Oleh Roslan Rusly
foto// Prof. Dr. Irwandi

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) , Professor Dr. Irwandi Jaswir dari Jabatan Kejuruteraan Bioteknologi, terpilih sebagai penerima Habibie Award 2013 untuk bidang Perubatan dan Bioteknologi, dalam sebuah majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Jakarta, Selasa, 19 November 2013 baru-baru ini.

Habibie Award merupakan antara anugerah akademik paling berprestij dan tertua di rantau ini. Anugerah ini disumbangkan oleh mantan Presiden Indonesia yang juga seorang saintis terkenal, Bacharuddin Jusuf Habibie, sejak 15 tahun yang lalu. 

Setiap tahun, the Habibie Centre, yayasan yang dimiliki keluarga Habibie, akan memilih para saintis yang berjasa dalam 5 bidang, iatu Sains Asasi, Kejuruteraan, Perubatan dan Bioteknologi, Ilmu Sosial, serta Ilmu Budaya.

Bagaimanapun, demi memenuhi piawaian anugerah ini, ada kalanya anugerah ini tidak ada pemenang. Penghakiman dilakukan oleh panel yang terdiri dari 25 orang Profesor kanan dan ulung dalam berbagai bidang.

Irwandi, 42 tahun, yang banyak melakukan penyelidikan yang berkaitan makanan halal dan kegunaan rumput laut perang untuk kesihatan, seperti bahan ubat untuk penyakit kanser, anti-inflammatory, dan anti-obesity telah banyak menerima anugerah diperingkat antarabangsa dan banyak menerbtkan ratusan karya ilmiah.

 Beliau juga pernah menerima anugerah Outstanding Researcher Award di UIAM beberapa kali serta anugerah Asia Pacific Young Scientist Award pada 2010.

Dalam majlis itu turut dihadiri oleh para pimpinan Kerajaan Indonesia, tokoh-tokoh akademik, para perwakilan Kementerian, dan tokoh-tokoh politik.

Prof. Dr. Irwandi menerima pingat emas, sijil penghargaan dan cek berjumlah 25ribu Dolar Amerika yang disampaikan oleh Pengerusi panel hakim yang juga mantan Menteri Pendidikan Indonesia, Prof. Dr.  Wardiman Djojonegoro.

KEMBARA KHALIFAH UIAM


Tanda Kenangan, Peserta Kembara Khalifah UIAM bergambar sebagai tanda kenangan di Kemboja.

Sumbangan; CENSERVE
Oleh Roslan Rusly

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini telah menganjurkan misi kemanusiaan ‘Kembara Khalifah’(journey of khalifah) di Kemboja selama seminggu daripada 13 Oktober hingga 20 Oktober yang lalu. Program anjuran Pusat Tanggungjawab Sosial Universiti (Censerve) di bawah Pejabat Timbalan Rektor (Ehwal Pelajar) UIAM ini bertujuan untuk menyelami kehidupan masyarakat di sana yang secara tidak langsung melahirkan rasa keinsafan dan kesyukuran terhadap nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita.

Kembara 8 hari yg disertai oleh 36 sukarelawan termasuk 8 org pelajar,2 orang kakitangan UIAM dan 2 orang doktor diketuai oleh ketua pegawai perubatan pusat kesihatan UIAM, Dr. Dinon Mohd.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Alumni Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Ummatic Mission Resources dan Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan UIAM.

Pelbagai program yang telah dilaksanakan sepanjang berada di sana antaranya ialah ibadah korban dan aqiqah sebanyak 73 ekor lembu dikorbankan di Wilayah Battambang yang merangkumi 6 kampung. Projek air bersih dan penyerahan bantuan pendidikan kanak-kanak muslim kemboja turut dijalankan .Selain itu antara program yang turut berlangsung semasa misi kali ini ialah program berkhatan beramai-ramai , aktiviti “play-therapy ” untuk kanak-kanak.

Program berkhatan juga turut dijalankan. 
Sesi berkhatan percuma diadakan selama 2 hari dari pagi hingga petang. Ia berjaya menarik 120 kanak-kanak yang datang daripada pelbagai kampung dan ada yang sanggup datang daripada jauh untuk melaksanakan tuntutan agama ini. yang  diketuai oleh Dr. Dinon Mohd dan Dr Md Soep Sadimon.





Tidak ketinggalan, penyampaian sumbangan pakaian, telekung, kain sarong dan muqaddam kepada penduduk-penduduk kampung sekitar Battambong dan Siem Reap. Kehadiran warga UIAM sentiasa disambut baik oleh penduduk kampung dilawati dan mereka amat menghargai bantuan yang disampaikan.

Majlis penutup misi kemanusiaan ‘Kembara Seorang Khalifah’ ini dirasmikan oleh Prof. Datuk Dr. Mizan bin Hitam, Timbalan Rektor hal ehwal pelajar UIAM. 


“Menerusi kembara ini, saya berharap ini bukan kembara terakhir dan seharusnya berterusan dari segi ukhwah dan sumbangan sebagai amal jariah antara UIA dan wilayah Battambong. Ia sangat bermanfaat bukan sahaja terhadap penduduk masyarakat setempat tetapi ia juga memberi pendedahan kepada sukarelawan-sukarelawan merasai bagaimana kehidupan masyarakat islam di rantau ini” ujar beliau.

Program ini juga disertai oleh Datuk Azizan Hamid mantan setiausaha kerajaan negeri Perlis.

Friday 4 October 2013

WARGA UIAM TURUN PADANG DEKATI HABITAT HAIWAN LIAR

Oleh Roslan Rusly


Warga UIAM kampus Petaling Jaya menjalankan program CSR mereka di Zoo Taiping, Perak //foto Roslan Rusly

Seramai 120 orang kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) dari kampus Petaling Jaya turun padang dan memerah keringat mereka apabila mengadakan program tanggungjawab sosial korporat(CSR) mereka bertempat di Zoo Taiping, Perak baru-baru ini.

Haiwan juga makhluk ciptaan Allah dan perlu dibelai. Hasil dari kesedaran itu,  program ini dijalankan. Kasih sayang kita bukan sahaja diantara manusia akan tetapi haiwan juga turut dibelai dan disayangi.
 
Program CSR yang dijalankan pada tahun ini memberikan sedikit kelainan apabila sebuah Zoo dipilih sebagai lokasi untuk diadakan program tersebut.  Pada tahun-tahun yang lepas pusat tumpuan program khidmat masyarakat ini lebih kepada rumah anak-anak yatim, orang tua, surau dan sebagainya. Namun pada tahun ini Zoo telah dipilih untuk dijadikan lokasi program CSR ini.

Tungkus-lumus
Para sukarelawan di bahagikan dalam beberapa kumpulan dan kerja-kerja diagihkan mengikut pegawai zoo yang bertugas. Mereka juga turut membersihkan kawasan sekitar kandang dan kaki lima sepanjang laluan pejalan kaki.

Menurut coordinator program, saudara Ezmil Zulkifli berkata, program ini sedikit sebanyak memberikan kesedaran kepada kita sebagai manusia untuk kita lebih dekat dan menyayangi haiwan dan itu juga dituntut didalam agama kita.

Dengan adanya program sebegini, ia sedikit sebanyak menjadikan kita lebih prihatin dan dan lebih peka dengan keadaan sekeliling kita dan ia juga dapat mewujudkan rasa kasih kepada haiwan yang juga makhluk ciptaan Allah.” katanya.

Selain menjadi habitat kepada 1,300 haiwan daripada 180 spesies, zoo itu turut menyajikan keindahan alam semula jadi yang memukau selain aliran anak sungai, tasik serta kehijauan flora bersesuaian dengan kedudukannya di kawasan semula jadi iaitu Tasik Taiping yang berhampiran kaki Bukit Larut (Maxwell Hill) kepada pengunjungnya.