Thursday, 14 March 2013

UIAM JUARA DEBAT INTEGRITI PERDANA 2013


UIAM Juara Debat Perdana Integriti 2013, Para pendebat UIAM menjulang trofi dan replika cek pada pertandingan akhir Debat Perdana Integriti yang berlangsung di UTHM baru-baru ini
oleh Roslan Rusly
foto Ihsan SPICE IIUM

 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadi juara  dalam Pertandingan Debat Integriti Perdana dengan menewaskan pasukan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berlangsung di Universiti Tun Hussain Onn Malaysia(UTHM) bermula 8 hingga 11 mac 2013 baru-baru ini. Pertadingan debat ini dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia dengan kerjasama Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) dan UTHM. Objektif utama pertandingan debat tersebut ialah untuk menerapkan nilai-nilai murni di kalangan mahasiswa IPT.  

Sebanyak 24 buah institut pengajian tinggi awam, swasta dan institut pengajian guru berentap dalam pertandingan debat tersebut dengan tema yang diberikan ialah “Resmi Rakyat Menjulang Integriti”. Setiap usul-usul yang di perdebatkan adalah berkisarkan dengan isu-isu integriti.  Setiap pasukan akan bertandingan di enam pusingan awal sebelum lapan pasukan terbaik bertarung di pusingan suku akhir. Pasukan UIAM mengalahkan pasukan UPNM di pertandingan suku akhir dan pasukan UTP di pusingan separuh akhir.

Pasukan debat UIAM diwakili oleh Fawza Sabila Fawzi, Abdul Muiz Mustafa, Nur Ezzah Abdullah dan Muhammad Anas Shafiee. Tajuk atau usul debat untuk pertandingan akhir ialah “Dewan ini Percaya Pembudayaan Integriti Bermula Dari Pemimpin”.

Pasukan debat UIAM menang berganda apabila salah seorang wakil UIAM Abdul Muiz Mustafa telah dipilih untuk dinobatkan sebagai pendebat terbaik keseluruhan dan pendebat terbaik pertandingan akhir. Johan akan membawa pulang piala pusingan, piala iringan, hadiah wang tunai RM 7,000, komputer riba untuk setiap seorang dan sijil penyertaan.

Menurut Abdul Muiz Mustafa pelajar tahun dua jurusan ekonomi ketika ditemui berkata, ‘’ kejayaan ini adalah hasil daripada kerja keras pasukan kami yang membuat persediaan  hampir dua bulan dengan dibantu oleh tenaga-tenaga pengajar serta rakan-rakan.”

“Selain itu, juga saya berasa amat berbangga kerana dapat mengharumkan nama universiti dalam arena debat dan sekaligus menunjukkan bahawa pendebat-pendebat dari UIAM masih berbisa dan ia menaikkan lagi semangat kami untuk terus berjuang dalam arena debat ini”. ujarnya lagi.

                                                                            ###


No comments:

Post a Comment