Sunday 28 August 2011

SEMANGAT PATRIOTIK TETAP BERSEMARAK WALAUPUN DI BULAN RAMADHAN


oleh Ruslan Rusly
foto Shamsuri Abdul Jalil

Pada tahun ini, sambutan kemerdekaan negara yang ke-54 jatuh pada bulan syawal, serta sambutannya pada bulan ramadhan sedikit pun tidak mematahkan semangat warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) menyambut hari kemerdekaan.

Hampir 300 warga UIAM berhimpun untuk menjayakan serta menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan negara bersempena dengan hari kemerdekaan negara. Walaupun dalam bulan puasa, tetapi semua yang terlibat nyata bersemangat.

Antara program yang dijalankan ialah persembahan bacaan puisi kemerdekaan, nyanyian lagu patriotik yang di sampaikan oleh kumpulan koir, serta pengibaran jalur gemilang.

Banyak aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan kemerdekaan ini, antaranya ialah kempen pengibaran jalur gemilang di sekitar kampus bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.

Dalam ucapan Rektor UIAM, Ybhg. Prof. Dato’ Dr. Zaleha Kamaruddin berkata;, “dengan adanya program sebegini, ia sedikit sebanyak dapat melahirkan rasa cinta kita kepada negara. Walaupun sambutannya di bulan Ramadhan dan hari kemerdekaan jatuh pada hari raya, namun kita tidak harus lupa untuk meraikan hari kemerdekaan.”

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan-timbalan Rektor UIAM, kakitangan sokongan, kakitangan akademik serta pelajar.


Thursday 25 August 2011

Kad Raya Kiter... (Abang Lan PRO)

UIAM HARGAI KAKITANGAN YANG BERTUGAS DI HARI RAYA


oleh Ruslan Rusly
foto Shamsuri Abdul Jalil

Apabila tibanya satu syawal bermakna bermulalah umat Islam seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri. Wajah riang dan gembira jelas tergambar apabila sanak saudara dapat berkumpul untuk meraikan hari yang mulia itu.

Namun bagi segelintir mereka yang tidak dapat meraikan hari raya bersama keluarga rasa sedih dan hiba amat dirasai tatkala terdengar seruan takbir yang memecah hening. Tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka yang terpaksa bekerja di hari raya dipikul dengan rasa tanggungjawab dan amanah yang diberikan haruslah dijalankan dengan sempurna.

Hal ini tidak terpaksa dihadapi oleh sebahagian kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) yang perlu menjalankan tugas sewaktu hari raya. Seramai 78 orang kakitangan Jabatan Pengurusan dan Keselamatan UIAM sedia memikul amanah yang diberikan untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman kampus-kampus UIAM yang terletak di Kuantan, Gombak dan Petaling Jaya.

Bagi menghargai jasa-jasa kakitangan yang terpaksa bertugas di hari raya, Jabatan Pengurusan dan Keselamatan UIAM telah mengadakan Majlis Penyerahan Hamper Raya kepada kakitangan keselamatan yang di sampaikan oleh Pengarah Eksekutif Jabatan Pengurusan Perkhidmatan Ybhg. Dato’ Hj. Wan Mohd Hilmi Wan Kamal.

Dalam ucapan beliau berkata; “walaupun sumbangan ini hanya kecil, akan tetapi pengorbanan kakitangan yang sanggup menggalas tugas untuk menjaga ketenteraman sekitar kampus adalah amat besar bagi seluruh warga UIAM. Pengorbanan yang ditunjukkan oleh mereka ini harus dihargai dan dijadikan contoh kepada yang lain agar semangat juang yang ditunjukkan dapat di ikuti oleh kakitangan yang lain”.

Antara objektif serta simboliknya majlis ini ialah untuk menghargai jasa kakitangan yang bertugas di hari raya dan mewujudkan semangat serta ukhwah di kalangan kakitangan serta memotivasikan para pekerja agar mereka lebih bersemangat untuk menjalankan tugas ketika hariraya. Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan En. Hamdan Adnan dan Kapten (B) Zamani Hj. Omar dari Unit Keselamatan.

Salah seorang kakitangan keselamatan yang temui, Norazlina Afandi yang bertugas di hari raya, berkata; “ dengan adanya majlis sebegini, sedikit sebanyak dapat menjadi pendorongan serta memotivasikan semangat kami yang terpaksa bertugas di hari raya serta rasa terharu kerana mendapat perhatian daripada pihak pengurusan tertinggi dan langkah sebegini amat dipuji”.

Ini adalah tahun kedua beliau bertugas di hari raya dan walaupun sudah kali kedua namun perasaan sedih serta hiba masih lagi dirasai tatkala insan yang lain beraya bersama keluarga.

“perasaan sedih memang tetap dirasai, orang lain beraya bersama rakan-rakan, sanak saudara dan keluarga tetapi dalam masa yang sama kita perlu menjalankan tugas dan berjauhan dengan keluarga. Namun apa yang membuatkan saya bersemangat serta kuat adalah dengan adanya rakan sekerja, raya juga akan disambut bersama teman-teman sekerja.”ujarnya.

Sunday 14 August 2011

PELAJAR UIAM SELAMI NASIB MASYARAKAT LUAR BANDAR DI SABAH DAN SARAWAK


oleh Roslan Rusly

Anak-anak luar bandar khususnya Sabah dan Sarawak pada hari ini perlu diberi pendedahan mengenai dunia global dan pengetahuan jika mahu setanding dengan masyarakat di bandar.

Menyedari hakikat itu, baru-baru ini seramai 29 ahli Kelab MISI Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersama dua pensyarah iringan telah menganjurkan Program Kemasyarakatan Tunku Abdul Rahman(KEMATAR) bersama masyarakat Bidayuh Sarawak di dua kampung iaitu di Kampung Tembawang ,Bau dan Kampung Kendaie di Lundu,Sarawak


Objektif menganjurkan program khidmat masyarakat di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak adalah untuk merapatkan jurang antara penduduk kawasan berkenaan dan masyarakat di bandar mahupun di semenanjung serta pelajar Universiti.
Pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan turut diadakan antaranya ialah program keluarga angkat ,program motivasi di Sekolah Kebangsaan Tembawang dan SK Kendaie ,seminar IPT ,khusus sembelihan ,gotong-royong dan pertandingan sukaneka dan juga program motivasi.

Menurut Pengarah Program, Mohd Khairi bin Yalah berkata, “program itu membolehkan penduduk luar bandar khususnya di kalangan pelajar dan belia di kampung memotivasikan diri untuk lebih maju dan berjaya dalam hidup “.

"Program yang berlandaskan pendekatan siswa turun padang membuka peluang untuk membantu anak-anak muda dan masyarakat luar bandar khususnya pedalaman Sabah dan Sarawak meningkatkan motivasi diri selain menambah pengetahuan dan pendedahan tentang dunia luar”.

Program yang diadakan selama empat hari tiga malam itu telah mendapat kerjasama daripada Urusetia Saudara Kita (USK )dan Yayasan Tunku Abdul Rahman(YTAR).

Dua minggu sebelum ke Sarawak, Kelab MISI mengadakan kem di Sekolah Menengah Agama Sandakan ,Sabah selama 3 hari 2malam bermula 8 Julai 2011.Program yang dinamakan “Educational Hearten Camp” berobjektifkan menerapkan kepentingan berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar selain menerapkan pemahaman Islam kepada mereka.

Friday 12 August 2011

BERBUKA BERSAMA RAKAN-RAKAN PENGUBAT RINDU KEPADA KELUARGA

*EDISI KHAS RAMADHAN*


oleh Roslan Rusly
foto Roslan Rusly

Berjauhan dengan keluarga tersayang adalah cabaran terbesar yang perlu di tempuhi oleh seseorang yang bergelar sebagai mahasiswa. Perasaan sayu akan terasa dan tersentuh apabila tibanya bulan Ramadhan dikala rakan-rakan yang lain berkesempatan berpuasa bersama-sama keluarga.

Namun bagi para pelajar antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) ia adalah sesuatu yang perlu dihadapi ketika berjauhan dengan keluarga hanya untuk mendapatkan segulung ijazah.

Berpuasa di perantauan tidak menjadi masalah kepada sebahagian besar pelajar antarabangsa UIAM. Bagi mereka kedatangan Ramadhan memberikan mereka peluang untuk mengenali dan menikmati pelbagai juadah yang pelbagai serta pengalaman baru pada mereka.


Pelajar Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Angkasa, Md. Masutur Rahman Abin dari Bangladesh merasakan bahawa berpuasa di perantauan sedikit sebanyak dapat memberi peluang kepadanya untuk belajar cara hidup, makanan dan amalan di Malaysia.

“apa yang saya dapat lihat ialah kemeriahan sewaktu berbuka dapat dilihat dari segi pelbagai juadah yang dijual dan disediakan yang mana lain daripada yang lain. Selain itu juga, apa yang menariknya ialah kita dapat berbuka dengan rakan-rakan yang lain yang berasal daripada pelbagai negara sambil kita dapat kenalan yang ramai serta mengeratkan lagi silaturahim”.

Walaupun berbuka dan bersahur jauh daripada keluarga, akan tetapi suasananya berbeza dan mereka mengakui bahawa berbuka atau bersahur bersama-sama rakan-rakan adalah seronok.

Menurut seorang lagi rakannya Imanuddin Hadinryono daripada Indonesia yang mengambil jurusan Pengetahuan Ilmu Wahyu berkata; “walaupun rasa sedih kerana berjauhan dengan keluarga, akan tetapi saya tetap merasa gembira kerana mempunyai teman-teman yang ramai dan rasa rindu itu terubat, ini adalah kali pertama saya berjauhan dengan keluarga dalam menjalani ibadah berpuasa tetapi saya rasa tidak keseorangan dalam menjalani ibadah ini”.

Pihak Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM turut menyediakan juadah berbuka puasa yang diberikan kepada pelajar untuk mereka berbuka, jadi peluang ini tidak dilepaskan oleh pelajar antarabangsa untuk bersama-sama berbuka dan berkumpul.





Seorang lagi pelajar yang berasal dari Jawa Tengah Indonesia, Abdul Wafi Muhimin pelajar yang mengambil jurusan Fiqh berkata; “ di universiti ini kami para pelajar antarabangsa lebih gemar berbuka di Masjid, kerana kami dapat berkenalan serta mengenali rakan-rakan yang datang dari seluruh dunia, seperti dari Mesir, Guiena, Thailand, Maldive, Sudan dan sebagainya. Apa yang menarik ialah jika juadah yang disediakan di jalankan secara gotong-royong dan semangat seagama dapat di perkukuhkan lagi”.

Di UIAM sendiri mempunyai premis-premis yang menjual makanan bukan sahaja masakan tempatan, malah masakan antarabangsa di sediakan untuk para pelajar UIAM.

“Berpuasa di kampus adalah seperti berada di negara sendiri kerana makanan serta budayanya hampir sama seperti kami di Indonesia.”, katanya.

Wednesday 3 August 2011

LIMA PELAJAR UIAM MEWAKILI NEGARA PADA SUKAN UNIVERSITI DUNIA


oleh Ruslan Rusly
foto Shamsuri Abdul Jalil

Seramai lima orang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) akan mewakili negara pada Sukan Universiti Dunia 2011(UNIVERSIADE ke-26). Sukan ini dianjurkan oleh International University Sports Federations (FISU) melalui 2011 Summer Universiade, Shenzhen, Guangdong, China.

Sukan ini akan berlangsung selama 12 hari bermula pada 12 hingga 23 Ogos 2011 dan sebanyak 24 acara sukan yang melibatkan kategori wanita dan lelaki.

Lima orang atlet UIAM telah pun terpilih untuk mewakili negara. Mereka adalah Ahmad Farhan Syarif Mohd Syarif dan Khairun Hanisah Azlan Hanif bagi acara Golf individu dan berkumpulan. Ahmad Zhafri Zamil untuk acara sukan menembak individu dan berpasukan manakala Ahmad Fadzil Nayan dan Norhaida Hussin bagi acara Chess individu dan berpasukan.

Mereka ini terpilih adalah berdasarkan pencapaian mereka yang sangat memberangsangkan serta keseimbangan akademik dan sukan juga turut diambilkira.

Menurut Mohd Hazeezy Harith, Pegawai Sukan UIAM dan juga bertindak sebagai sekretariat dan perubatan pada kejohanan tersebut berkata,; semua atlet kita telah pun membuat persediaan lima bulan sebelum mereka memasuki sukan tersebut, apa yang dapat dilihat ialah atlet UIAM ini lebih bersedia untuk menggalas nama negara di temasya sukan itu nanti”.


Mereka ditemui ketika menghadiri majlis penyerahan insentif kepada atlet yang mewakili negara dalam acara sukan. Dengan adanya pemberian insentif ini, ia sedikit sebanyak dapat memberi mereka semangat serta dorongan untuk mencapai kejayaan dan sekali gus mengharumkan nama negara.

Tuesday 2 August 2011

WARGA UIAM DEKATI MASYARAKAT KAMPUNG MERIAHKAN KEDATANGAN RAMADHAN


oleh Ruslan Rusly
foto Shamsuri Abdul Jalil

Seramai 150 orang warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar berkampung di Kg. Marhum, Kg. Beruas dan Kuala Pahang di Pekan, Pahang bagi menjalankan Program Tanggungjawab Sosial Korporat UIAM 2011. Program ini dijalankan selama tiga hari yang dianjurkan oleh Pejabat Perhubungan Awam UIAM baru-baru ini.

Program yang dijalankan ini mendapat kerjasama baik daripada ketiga-tiga buah kampung yang terlibat. Semangat dan kerjasama dapat dilihat diantara satu sama lain dalam setiap program yang di jalankan.

Antara objektif penganjuran program ini ialah untuk merapatkan lagi ukhwah di antara pihak Universiti dan penduduk kampung dan dalam pada masa yang sama dapat memberi peluang kepada warga UIAM untuk lebih mengenali rakan-rakan sekerja. Selain itu juga, ia dapat mewujudkan semangat kekitaan dan semangat bekerjasama diantara penduduk kampung dan warga universiti.


Banyak aktiviti yang dijalankan sepanjang tiga hari program tersebut, antaranya ialah gotong-royong perdana di kawasan tanah perkuburan dan masjid, mengadakan kenduri bersama-sama penduduk kampung, serta menghulurkan bantuan makanan dapur bersempena dengan kedatangan Ramadhan. Selain itu juga, pengisian rohani juga turut dijalankan dengan mengadakan majlis bertadarus, zikir, bertahlil dan doa selamat. Ceramah dan tazkirah juga turut di adakan di Masjid Kg.Marhum yang disampaikan oleh Pengarah Masjid UIAM, Y.bhg Dato’ Hamidon Abdul Hamid.

Bukan sahaja aktiviti yang melibatkan kerohanian dijalankan tetapi aktiviti seperti kempen kesedaran keselamatan jalanraya yang di anjurkan oleh Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UIAM dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya(JKJR) Pahang serta demontrasi dan penerangan pemadaman api yang di lakukan oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat dari Balai Bomba Peramu Jaya, Pekan, Pahang.



Pemeriksaan kesihatan secara percuma turut dijalankan yang dianjurkan oleh Kampus Perubatan UIAM Kuantan Pahang. Seramai 30 orang pelajar perubatan yang terdiri daripada pelajar pergigian dan perubatan. Orang kampung tidak melepaskan peluang untuk membuat pemeriksaan kesihatan yang di tawarkan secara percuma yang merangkumi pemeriksaan tekanan darah, kandungan kolesterol dan penerangan berkaitan dengan kesihatan gigi.


Menurut Penasihat Program, En. Abdul Rahim Ahmad berkata; “dengan adanya program sebegini ia sedikit sebanyak dapat mendekatkan lagi kita sebagai warga universiti dengan penduduk kampung selain itu ini juga program ini adalah salah satu usaha kami di UIAM untuk sama-sama menyemarakkan lagi kedatangan Ramadhan kepada komuniti luar. Disamping mengadakan kerja-kerja gotong-royong, pengisian jiwa dan rohani turut disemai bukan sahaja kepada penduduk kampung malah kepada semua warga UIAM yang terlibat.”

Program tanggungjawab korporat sosial ini adalah acara tahunan yang dijalankan oleh Pejabat Perhubungan Awam UIAM, sebelum ini program ini telah dijalankan di tempat perlindungan kanak-kanak HIV Rumah PERNIM Cheras pada tahun 2008. Tahun 2009 pula di rumah perlindungan untuk orang tua, anak-anak yatim di Rumah Titian Kasih, Titiwangsa dan pada tahun 2010, program tanggungjawab sosial korporat diadakan di Parlimen Jerlun, dengan membaiki dan membersihkan Masjid Ar-Rahmah, Melele dan Madrasah Al-Nahdah Hassanah, Jitra, Kedah, program tersebut turut di hadiri Ahli Parlimen Jerlun Y.Bhg Mukhriz Tun Mahathir.

“Pada tahun ini program tanggungjawab sosial korporat ini mendapat kerjasama daripada semua warga UIAM dan pihak-pihak NGO serta badan-badan kerajaan. Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menjayakan program ini dan apa yang diharapkan ini kita sama-sama dapat membantu dan merapatkan kesepaduan ummah seperti apa yang anjurkan di dalam Islam”.ujarnya lagi.