Tuesday 2 August 2011

WARGA UIAM DEKATI MASYARAKAT KAMPUNG MERIAHKAN KEDATANGAN RAMADHAN


oleh Ruslan Rusly
foto Shamsuri Abdul Jalil

Seramai 150 orang warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar berkampung di Kg. Marhum, Kg. Beruas dan Kuala Pahang di Pekan, Pahang bagi menjalankan Program Tanggungjawab Sosial Korporat UIAM 2011. Program ini dijalankan selama tiga hari yang dianjurkan oleh Pejabat Perhubungan Awam UIAM baru-baru ini.

Program yang dijalankan ini mendapat kerjasama baik daripada ketiga-tiga buah kampung yang terlibat. Semangat dan kerjasama dapat dilihat diantara satu sama lain dalam setiap program yang di jalankan.

Antara objektif penganjuran program ini ialah untuk merapatkan lagi ukhwah di antara pihak Universiti dan penduduk kampung dan dalam pada masa yang sama dapat memberi peluang kepada warga UIAM untuk lebih mengenali rakan-rakan sekerja. Selain itu juga, ia dapat mewujudkan semangat kekitaan dan semangat bekerjasama diantara penduduk kampung dan warga universiti.


Banyak aktiviti yang dijalankan sepanjang tiga hari program tersebut, antaranya ialah gotong-royong perdana di kawasan tanah perkuburan dan masjid, mengadakan kenduri bersama-sama penduduk kampung, serta menghulurkan bantuan makanan dapur bersempena dengan kedatangan Ramadhan. Selain itu juga, pengisian rohani juga turut dijalankan dengan mengadakan majlis bertadarus, zikir, bertahlil dan doa selamat. Ceramah dan tazkirah juga turut di adakan di Masjid Kg.Marhum yang disampaikan oleh Pengarah Masjid UIAM, Y.bhg Dato’ Hamidon Abdul Hamid.

Bukan sahaja aktiviti yang melibatkan kerohanian dijalankan tetapi aktiviti seperti kempen kesedaran keselamatan jalanraya yang di anjurkan oleh Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UIAM dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya(JKJR) Pahang serta demontrasi dan penerangan pemadaman api yang di lakukan oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat dari Balai Bomba Peramu Jaya, Pekan, Pahang.



Pemeriksaan kesihatan secara percuma turut dijalankan yang dianjurkan oleh Kampus Perubatan UIAM Kuantan Pahang. Seramai 30 orang pelajar perubatan yang terdiri daripada pelajar pergigian dan perubatan. Orang kampung tidak melepaskan peluang untuk membuat pemeriksaan kesihatan yang di tawarkan secara percuma yang merangkumi pemeriksaan tekanan darah, kandungan kolesterol dan penerangan berkaitan dengan kesihatan gigi.


Menurut Penasihat Program, En. Abdul Rahim Ahmad berkata; “dengan adanya program sebegini ia sedikit sebanyak dapat mendekatkan lagi kita sebagai warga universiti dengan penduduk kampung selain itu ini juga program ini adalah salah satu usaha kami di UIAM untuk sama-sama menyemarakkan lagi kedatangan Ramadhan kepada komuniti luar. Disamping mengadakan kerja-kerja gotong-royong, pengisian jiwa dan rohani turut disemai bukan sahaja kepada penduduk kampung malah kepada semua warga UIAM yang terlibat.”

Program tanggungjawab korporat sosial ini adalah acara tahunan yang dijalankan oleh Pejabat Perhubungan Awam UIAM, sebelum ini program ini telah dijalankan di tempat perlindungan kanak-kanak HIV Rumah PERNIM Cheras pada tahun 2008. Tahun 2009 pula di rumah perlindungan untuk orang tua, anak-anak yatim di Rumah Titian Kasih, Titiwangsa dan pada tahun 2010, program tanggungjawab sosial korporat diadakan di Parlimen Jerlun, dengan membaiki dan membersihkan Masjid Ar-Rahmah, Melele dan Madrasah Al-Nahdah Hassanah, Jitra, Kedah, program tersebut turut di hadiri Ahli Parlimen Jerlun Y.Bhg Mukhriz Tun Mahathir.

“Pada tahun ini program tanggungjawab sosial korporat ini mendapat kerjasama daripada semua warga UIAM dan pihak-pihak NGO serta badan-badan kerajaan. Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menjayakan program ini dan apa yang diharapkan ini kita sama-sama dapat membantu dan merapatkan kesepaduan ummah seperti apa yang anjurkan di dalam Islam”.ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment