Thursday 25 August 2011

UIAM HARGAI KAKITANGAN YANG BERTUGAS DI HARI RAYA


oleh Ruslan Rusly
foto Shamsuri Abdul Jalil

Apabila tibanya satu syawal bermakna bermulalah umat Islam seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri. Wajah riang dan gembira jelas tergambar apabila sanak saudara dapat berkumpul untuk meraikan hari yang mulia itu.

Namun bagi segelintir mereka yang tidak dapat meraikan hari raya bersama keluarga rasa sedih dan hiba amat dirasai tatkala terdengar seruan takbir yang memecah hening. Tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka yang terpaksa bekerja di hari raya dipikul dengan rasa tanggungjawab dan amanah yang diberikan haruslah dijalankan dengan sempurna.

Hal ini tidak terpaksa dihadapi oleh sebahagian kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) yang perlu menjalankan tugas sewaktu hari raya. Seramai 78 orang kakitangan Jabatan Pengurusan dan Keselamatan UIAM sedia memikul amanah yang diberikan untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman kampus-kampus UIAM yang terletak di Kuantan, Gombak dan Petaling Jaya.

Bagi menghargai jasa-jasa kakitangan yang terpaksa bertugas di hari raya, Jabatan Pengurusan dan Keselamatan UIAM telah mengadakan Majlis Penyerahan Hamper Raya kepada kakitangan keselamatan yang di sampaikan oleh Pengarah Eksekutif Jabatan Pengurusan Perkhidmatan Ybhg. Dato’ Hj. Wan Mohd Hilmi Wan Kamal.

Dalam ucapan beliau berkata; “walaupun sumbangan ini hanya kecil, akan tetapi pengorbanan kakitangan yang sanggup menggalas tugas untuk menjaga ketenteraman sekitar kampus adalah amat besar bagi seluruh warga UIAM. Pengorbanan yang ditunjukkan oleh mereka ini harus dihargai dan dijadikan contoh kepada yang lain agar semangat juang yang ditunjukkan dapat di ikuti oleh kakitangan yang lain”.

Antara objektif serta simboliknya majlis ini ialah untuk menghargai jasa kakitangan yang bertugas di hari raya dan mewujudkan semangat serta ukhwah di kalangan kakitangan serta memotivasikan para pekerja agar mereka lebih bersemangat untuk menjalankan tugas ketika hariraya. Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan En. Hamdan Adnan dan Kapten (B) Zamani Hj. Omar dari Unit Keselamatan.

Salah seorang kakitangan keselamatan yang temui, Norazlina Afandi yang bertugas di hari raya, berkata; “ dengan adanya majlis sebegini, sedikit sebanyak dapat menjadi pendorongan serta memotivasikan semangat kami yang terpaksa bertugas di hari raya serta rasa terharu kerana mendapat perhatian daripada pihak pengurusan tertinggi dan langkah sebegini amat dipuji”.

Ini adalah tahun kedua beliau bertugas di hari raya dan walaupun sudah kali kedua namun perasaan sedih serta hiba masih lagi dirasai tatkala insan yang lain beraya bersama keluarga.

“perasaan sedih memang tetap dirasai, orang lain beraya bersama rakan-rakan, sanak saudara dan keluarga tetapi dalam masa yang sama kita perlu menjalankan tugas dan berjauhan dengan keluarga. Namun apa yang membuatkan saya bersemangat serta kuat adalah dengan adanya rakan sekerja, raya juga akan disambut bersama teman-teman sekerja.”ujarnya.

No comments:

Post a Comment