Friday 4 October 2013

WARGA UIAM TURUN PADANG DEKATI HABITAT HAIWAN LIAR

Oleh Roslan Rusly


Warga UIAM kampus Petaling Jaya menjalankan program CSR mereka di Zoo Taiping, Perak //foto Roslan Rusly

Seramai 120 orang kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) dari kampus Petaling Jaya turun padang dan memerah keringat mereka apabila mengadakan program tanggungjawab sosial korporat(CSR) mereka bertempat di Zoo Taiping, Perak baru-baru ini.

Haiwan juga makhluk ciptaan Allah dan perlu dibelai. Hasil dari kesedaran itu,  program ini dijalankan. Kasih sayang kita bukan sahaja diantara manusia akan tetapi haiwan juga turut dibelai dan disayangi.
 
Program CSR yang dijalankan pada tahun ini memberikan sedikit kelainan apabila sebuah Zoo dipilih sebagai lokasi untuk diadakan program tersebut.  Pada tahun-tahun yang lepas pusat tumpuan program khidmat masyarakat ini lebih kepada rumah anak-anak yatim, orang tua, surau dan sebagainya. Namun pada tahun ini Zoo telah dipilih untuk dijadikan lokasi program CSR ini.

Tungkus-lumus
Para sukarelawan di bahagikan dalam beberapa kumpulan dan kerja-kerja diagihkan mengikut pegawai zoo yang bertugas. Mereka juga turut membersihkan kawasan sekitar kandang dan kaki lima sepanjang laluan pejalan kaki.

Menurut coordinator program, saudara Ezmil Zulkifli berkata, program ini sedikit sebanyak memberikan kesedaran kepada kita sebagai manusia untuk kita lebih dekat dan menyayangi haiwan dan itu juga dituntut didalam agama kita.

Dengan adanya program sebegini, ia sedikit sebanyak menjadikan kita lebih prihatin dan dan lebih peka dengan keadaan sekeliling kita dan ia juga dapat mewujudkan rasa kasih kepada haiwan yang juga makhluk ciptaan Allah.” katanya.

Selain menjadi habitat kepada 1,300 haiwan daripada 180 spesies, zoo itu turut menyajikan keindahan alam semula jadi yang memukau selain aliran anak sungai, tasik serta kehijauan flora bersesuaian dengan kedudukannya di kawasan semula jadi iaitu Tasik Taiping yang berhampiran kaki Bukit Larut (Maxwell Hill) kepada pengunjungnya.