Sunday 28 August 2011

SEMANGAT PATRIOTIK TETAP BERSEMARAK WALAUPUN DI BULAN RAMADHAN


oleh Ruslan Rusly
foto Shamsuri Abdul Jalil

Pada tahun ini, sambutan kemerdekaan negara yang ke-54 jatuh pada bulan syawal, serta sambutannya pada bulan ramadhan sedikit pun tidak mematahkan semangat warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) menyambut hari kemerdekaan.

Hampir 300 warga UIAM berhimpun untuk menjayakan serta menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan negara bersempena dengan hari kemerdekaan negara. Walaupun dalam bulan puasa, tetapi semua yang terlibat nyata bersemangat.

Antara program yang dijalankan ialah persembahan bacaan puisi kemerdekaan, nyanyian lagu patriotik yang di sampaikan oleh kumpulan koir, serta pengibaran jalur gemilang.

Banyak aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan kemerdekaan ini, antaranya ialah kempen pengibaran jalur gemilang di sekitar kampus bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.

Dalam ucapan Rektor UIAM, Ybhg. Prof. Dato’ Dr. Zaleha Kamaruddin berkata;, “dengan adanya program sebegini, ia sedikit sebanyak dapat melahirkan rasa cinta kita kepada negara. Walaupun sambutannya di bulan Ramadhan dan hari kemerdekaan jatuh pada hari raya, namun kita tidak harus lupa untuk meraikan hari kemerdekaan.”

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan-timbalan Rektor UIAM, kakitangan sokongan, kakitangan akademik serta pelajar.


Thursday 25 August 2011

Kad Raya Kiter... (Abang Lan PRO)

UIAM HARGAI KAKITANGAN YANG BERTUGAS DI HARI RAYA


oleh Ruslan Rusly
foto Shamsuri Abdul Jalil

Apabila tibanya satu syawal bermakna bermulalah umat Islam seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri. Wajah riang dan gembira jelas tergambar apabila sanak saudara dapat berkumpul untuk meraikan hari yang mulia itu.

Namun bagi segelintir mereka yang tidak dapat meraikan hari raya bersama keluarga rasa sedih dan hiba amat dirasai tatkala terdengar seruan takbir yang memecah hening. Tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka yang terpaksa bekerja di hari raya dipikul dengan rasa tanggungjawab dan amanah yang diberikan haruslah dijalankan dengan sempurna.

Hal ini tidak terpaksa dihadapi oleh sebahagian kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) yang perlu menjalankan tugas sewaktu hari raya. Seramai 78 orang kakitangan Jabatan Pengurusan dan Keselamatan UIAM sedia memikul amanah yang diberikan untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman kampus-kampus UIAM yang terletak di Kuantan, Gombak dan Petaling Jaya.

Bagi menghargai jasa-jasa kakitangan yang terpaksa bertugas di hari raya, Jabatan Pengurusan dan Keselamatan UIAM telah mengadakan Majlis Penyerahan Hamper Raya kepada kakitangan keselamatan yang di sampaikan oleh Pengarah Eksekutif Jabatan Pengurusan Perkhidmatan Ybhg. Dato’ Hj. Wan Mohd Hilmi Wan Kamal.

Dalam ucapan beliau berkata; “walaupun sumbangan ini hanya kecil, akan tetapi pengorbanan kakitangan yang sanggup menggalas tugas untuk menjaga ketenteraman sekitar kampus adalah amat besar bagi seluruh warga UIAM. Pengorbanan yang ditunjukkan oleh mereka ini harus dihargai dan dijadikan contoh kepada yang lain agar semangat juang yang ditunjukkan dapat di ikuti oleh kakitangan yang lain”.

Antara objektif serta simboliknya majlis ini ialah untuk menghargai jasa kakitangan yang bertugas di hari raya dan mewujudkan semangat serta ukhwah di kalangan kakitangan serta memotivasikan para pekerja agar mereka lebih bersemangat untuk menjalankan tugas ketika hariraya. Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan En. Hamdan Adnan dan Kapten (B) Zamani Hj. Omar dari Unit Keselamatan.

Salah seorang kakitangan keselamatan yang temui, Norazlina Afandi yang bertugas di hari raya, berkata; “ dengan adanya majlis sebegini, sedikit sebanyak dapat menjadi pendorongan serta memotivasikan semangat kami yang terpaksa bertugas di hari raya serta rasa terharu kerana mendapat perhatian daripada pihak pengurusan tertinggi dan langkah sebegini amat dipuji”.

Ini adalah tahun kedua beliau bertugas di hari raya dan walaupun sudah kali kedua namun perasaan sedih serta hiba masih lagi dirasai tatkala insan yang lain beraya bersama keluarga.

“perasaan sedih memang tetap dirasai, orang lain beraya bersama rakan-rakan, sanak saudara dan keluarga tetapi dalam masa yang sama kita perlu menjalankan tugas dan berjauhan dengan keluarga. Namun apa yang membuatkan saya bersemangat serta kuat adalah dengan adanya rakan sekerja, raya juga akan disambut bersama teman-teman sekerja.”ujarnya.

Sunday 14 August 2011

PELAJAR UIAM SELAMI NASIB MASYARAKAT LUAR BANDAR DI SABAH DAN SARAWAK


oleh Roslan Rusly

Anak-anak luar bandar khususnya Sabah dan Sarawak pada hari ini perlu diberi pendedahan mengenai dunia global dan pengetahuan jika mahu setanding dengan masyarakat di bandar.

Menyedari hakikat itu, baru-baru ini seramai 29 ahli Kelab MISI Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersama dua pensyarah iringan telah menganjurkan Program Kemasyarakatan Tunku Abdul Rahman(KEMATAR) bersama masyarakat Bidayuh Sarawak di dua kampung iaitu di Kampung Tembawang ,Bau dan Kampung Kendaie di Lundu,Sarawak


Objektif menganjurkan program khidmat masyarakat di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak adalah untuk merapatkan jurang antara penduduk kawasan berkenaan dan masyarakat di bandar mahupun di semenanjung serta pelajar Universiti.
Pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan turut diadakan antaranya ialah program keluarga angkat ,program motivasi di Sekolah Kebangsaan Tembawang dan SK Kendaie ,seminar IPT ,khusus sembelihan ,gotong-royong dan pertandingan sukaneka dan juga program motivasi.

Menurut Pengarah Program, Mohd Khairi bin Yalah berkata, “program itu membolehkan penduduk luar bandar khususnya di kalangan pelajar dan belia di kampung memotivasikan diri untuk lebih maju dan berjaya dalam hidup “.

"Program yang berlandaskan pendekatan siswa turun padang membuka peluang untuk membantu anak-anak muda dan masyarakat luar bandar khususnya pedalaman Sabah dan Sarawak meningkatkan motivasi diri selain menambah pengetahuan dan pendedahan tentang dunia luar”.

Program yang diadakan selama empat hari tiga malam itu telah mendapat kerjasama daripada Urusetia Saudara Kita (USK )dan Yayasan Tunku Abdul Rahman(YTAR).

Dua minggu sebelum ke Sarawak, Kelab MISI mengadakan kem di Sekolah Menengah Agama Sandakan ,Sabah selama 3 hari 2malam bermula 8 Julai 2011.Program yang dinamakan “Educational Hearten Camp” berobjektifkan menerapkan kepentingan berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar selain menerapkan pemahaman Islam kepada mereka.

Friday 12 August 2011

BERBUKA BERSAMA RAKAN-RAKAN PENGUBAT RINDU KEPADA KELUARGA

*EDISI KHAS RAMADHAN*


oleh Roslan Rusly
foto Roslan Rusly

Berjauhan dengan keluarga tersayang adalah cabaran terbesar yang perlu di tempuhi oleh seseorang yang bergelar sebagai mahasiswa. Perasaan sayu akan terasa dan tersentuh apabila tibanya bulan Ramadhan dikala rakan-rakan yang lain berkesempatan berpuasa bersama-sama keluarga.

Namun bagi para pelajar antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) ia adalah sesuatu yang perlu dihadapi ketika berjauhan dengan keluarga hanya untuk mendapatkan segulung ijazah.

Berpuasa di perantauan tidak menjadi masalah kepada sebahagian besar pelajar antarabangsa UIAM. Bagi mereka kedatangan Ramadhan memberikan mereka peluang untuk mengenali dan menikmati pelbagai juadah yang pelbagai serta pengalaman baru pada mereka.


Pelajar Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Angkasa, Md. Masutur Rahman Abin dari Bangladesh merasakan bahawa berpuasa di perantauan sedikit sebanyak dapat memberi peluang kepadanya untuk belajar cara hidup, makanan dan amalan di Malaysia.

“apa yang saya dapat lihat ialah kemeriahan sewaktu berbuka dapat dilihat dari segi pelbagai juadah yang dijual dan disediakan yang mana lain daripada yang lain. Selain itu juga, apa yang menariknya ialah kita dapat berbuka dengan rakan-rakan yang lain yang berasal daripada pelbagai negara sambil kita dapat kenalan yang ramai serta mengeratkan lagi silaturahim”.

Walaupun berbuka dan bersahur jauh daripada keluarga, akan tetapi suasananya berbeza dan mereka mengakui bahawa berbuka atau bersahur bersama-sama rakan-rakan adalah seronok.

Menurut seorang lagi rakannya Imanuddin Hadinryono daripada Indonesia yang mengambil jurusan Pengetahuan Ilmu Wahyu berkata; “walaupun rasa sedih kerana berjauhan dengan keluarga, akan tetapi saya tetap merasa gembira kerana mempunyai teman-teman yang ramai dan rasa rindu itu terubat, ini adalah kali pertama saya berjauhan dengan keluarga dalam menjalani ibadah berpuasa tetapi saya rasa tidak keseorangan dalam menjalani ibadah ini”.

Pihak Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM turut menyediakan juadah berbuka puasa yang diberikan kepada pelajar untuk mereka berbuka, jadi peluang ini tidak dilepaskan oleh pelajar antarabangsa untuk bersama-sama berbuka dan berkumpul.





Seorang lagi pelajar yang berasal dari Jawa Tengah Indonesia, Abdul Wafi Muhimin pelajar yang mengambil jurusan Fiqh berkata; “ di universiti ini kami para pelajar antarabangsa lebih gemar berbuka di Masjid, kerana kami dapat berkenalan serta mengenali rakan-rakan yang datang dari seluruh dunia, seperti dari Mesir, Guiena, Thailand, Maldive, Sudan dan sebagainya. Apa yang menarik ialah jika juadah yang disediakan di jalankan secara gotong-royong dan semangat seagama dapat di perkukuhkan lagi”.

Di UIAM sendiri mempunyai premis-premis yang menjual makanan bukan sahaja masakan tempatan, malah masakan antarabangsa di sediakan untuk para pelajar UIAM.

“Berpuasa di kampus adalah seperti berada di negara sendiri kerana makanan serta budayanya hampir sama seperti kami di Indonesia.”, katanya.

Wednesday 3 August 2011

LIMA PELAJAR UIAM MEWAKILI NEGARA PADA SUKAN UNIVERSITI DUNIA


oleh Ruslan Rusly
foto Shamsuri Abdul Jalil

Seramai lima orang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) akan mewakili negara pada Sukan Universiti Dunia 2011(UNIVERSIADE ke-26). Sukan ini dianjurkan oleh International University Sports Federations (FISU) melalui 2011 Summer Universiade, Shenzhen, Guangdong, China.

Sukan ini akan berlangsung selama 12 hari bermula pada 12 hingga 23 Ogos 2011 dan sebanyak 24 acara sukan yang melibatkan kategori wanita dan lelaki.

Lima orang atlet UIAM telah pun terpilih untuk mewakili negara. Mereka adalah Ahmad Farhan Syarif Mohd Syarif dan Khairun Hanisah Azlan Hanif bagi acara Golf individu dan berkumpulan. Ahmad Zhafri Zamil untuk acara sukan menembak individu dan berpasukan manakala Ahmad Fadzil Nayan dan Norhaida Hussin bagi acara Chess individu dan berpasukan.

Mereka ini terpilih adalah berdasarkan pencapaian mereka yang sangat memberangsangkan serta keseimbangan akademik dan sukan juga turut diambilkira.

Menurut Mohd Hazeezy Harith, Pegawai Sukan UIAM dan juga bertindak sebagai sekretariat dan perubatan pada kejohanan tersebut berkata,; semua atlet kita telah pun membuat persediaan lima bulan sebelum mereka memasuki sukan tersebut, apa yang dapat dilihat ialah atlet UIAM ini lebih bersedia untuk menggalas nama negara di temasya sukan itu nanti”.


Mereka ditemui ketika menghadiri majlis penyerahan insentif kepada atlet yang mewakili negara dalam acara sukan. Dengan adanya pemberian insentif ini, ia sedikit sebanyak dapat memberi mereka semangat serta dorongan untuk mencapai kejayaan dan sekali gus mengharumkan nama negara.

Tuesday 2 August 2011

WARGA UIAM DEKATI MASYARAKAT KAMPUNG MERIAHKAN KEDATANGAN RAMADHAN


oleh Ruslan Rusly
foto Shamsuri Abdul Jalil

Seramai 150 orang warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar berkampung di Kg. Marhum, Kg. Beruas dan Kuala Pahang di Pekan, Pahang bagi menjalankan Program Tanggungjawab Sosial Korporat UIAM 2011. Program ini dijalankan selama tiga hari yang dianjurkan oleh Pejabat Perhubungan Awam UIAM baru-baru ini.

Program yang dijalankan ini mendapat kerjasama baik daripada ketiga-tiga buah kampung yang terlibat. Semangat dan kerjasama dapat dilihat diantara satu sama lain dalam setiap program yang di jalankan.

Antara objektif penganjuran program ini ialah untuk merapatkan lagi ukhwah di antara pihak Universiti dan penduduk kampung dan dalam pada masa yang sama dapat memberi peluang kepada warga UIAM untuk lebih mengenali rakan-rakan sekerja. Selain itu juga, ia dapat mewujudkan semangat kekitaan dan semangat bekerjasama diantara penduduk kampung dan warga universiti.


Banyak aktiviti yang dijalankan sepanjang tiga hari program tersebut, antaranya ialah gotong-royong perdana di kawasan tanah perkuburan dan masjid, mengadakan kenduri bersama-sama penduduk kampung, serta menghulurkan bantuan makanan dapur bersempena dengan kedatangan Ramadhan. Selain itu juga, pengisian rohani juga turut dijalankan dengan mengadakan majlis bertadarus, zikir, bertahlil dan doa selamat. Ceramah dan tazkirah juga turut di adakan di Masjid Kg.Marhum yang disampaikan oleh Pengarah Masjid UIAM, Y.bhg Dato’ Hamidon Abdul Hamid.

Bukan sahaja aktiviti yang melibatkan kerohanian dijalankan tetapi aktiviti seperti kempen kesedaran keselamatan jalanraya yang di anjurkan oleh Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UIAM dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya(JKJR) Pahang serta demontrasi dan penerangan pemadaman api yang di lakukan oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat dari Balai Bomba Peramu Jaya, Pekan, Pahang.



Pemeriksaan kesihatan secara percuma turut dijalankan yang dianjurkan oleh Kampus Perubatan UIAM Kuantan Pahang. Seramai 30 orang pelajar perubatan yang terdiri daripada pelajar pergigian dan perubatan. Orang kampung tidak melepaskan peluang untuk membuat pemeriksaan kesihatan yang di tawarkan secara percuma yang merangkumi pemeriksaan tekanan darah, kandungan kolesterol dan penerangan berkaitan dengan kesihatan gigi.


Menurut Penasihat Program, En. Abdul Rahim Ahmad berkata; “dengan adanya program sebegini ia sedikit sebanyak dapat mendekatkan lagi kita sebagai warga universiti dengan penduduk kampung selain itu ini juga program ini adalah salah satu usaha kami di UIAM untuk sama-sama menyemarakkan lagi kedatangan Ramadhan kepada komuniti luar. Disamping mengadakan kerja-kerja gotong-royong, pengisian jiwa dan rohani turut disemai bukan sahaja kepada penduduk kampung malah kepada semua warga UIAM yang terlibat.”

Program tanggungjawab korporat sosial ini adalah acara tahunan yang dijalankan oleh Pejabat Perhubungan Awam UIAM, sebelum ini program ini telah dijalankan di tempat perlindungan kanak-kanak HIV Rumah PERNIM Cheras pada tahun 2008. Tahun 2009 pula di rumah perlindungan untuk orang tua, anak-anak yatim di Rumah Titian Kasih, Titiwangsa dan pada tahun 2010, program tanggungjawab sosial korporat diadakan di Parlimen Jerlun, dengan membaiki dan membersihkan Masjid Ar-Rahmah, Melele dan Madrasah Al-Nahdah Hassanah, Jitra, Kedah, program tersebut turut di hadiri Ahli Parlimen Jerlun Y.Bhg Mukhriz Tun Mahathir.

“Pada tahun ini program tanggungjawab sosial korporat ini mendapat kerjasama daripada semua warga UIAM dan pihak-pihak NGO serta badan-badan kerajaan. Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menjayakan program ini dan apa yang diharapkan ini kita sama-sama dapat membantu dan merapatkan kesepaduan ummah seperti apa yang anjurkan di dalam Islam”.ujarnya lagi.

Wednesday 13 July 2011

PELAJAR UIAM HASILKAN KERETA ENJIN HYBRID JIMATKAN MINYAK DAN KUASA BATERI


oleh Ruslan Rusly
foto Ruslan Rusly

Hasil daripada penelitian dan penyelidikan yang telah dibuat, pelajar Kulliyyah Kejuruteraan UIAM jurusan Automatif telah pun mengambil inisiatif untuk menghasilkan kenderaan berenjin Hybrid yang pertama seumpamanya. Kenderaan yang diberi nama “STRIVE 1.1” ini di hasilkan oleh pelajar jurusan Automotif dibawah seliaan pensyarah mereka iaitu Dr. Mohamad Ataur Rahman dari Jabatan Mekatronik dan Electrical UIAM dan mereka adalah dari kumpulan IIUM G.E.N.E.R.8.

Secara khususnya kenderaan ini adalah salah satu hasil penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan oleh para pelajar untuk melihat penjimatan dari segi penggunaan minyak serta sistem kuasa bateri atau friendly Environment. Ini dapat dilihat dari segi penjanaan kuasa yang digerakkan oleh alternator sahaja dan pada masa yang sama alternator tersebut akan mengembalikan kuasa kepada bateri dan seluruh kenderaan.


Seramai lapan orang pelajar kejuruteraan telah melibatkan diri dalam penyelidikan dan pembangunan kenderaan ini. Mereka ialah Fadhilah Abdul Razak
(ketua pasukan),Zam Hadzami Musa (pemandu pertama),M.Nasruddin Ahmad (Pemandu kedua),Tg. Muhd Aiman Tg Abdullah,Mohd Syazwan Rahman,Hazli Abd Manaf dan Amir Hamzah Azizan

Menurut Fadilah Abd. Razak pelajar Master dalam bidang kejuruteraan Automotif yang juga sebagai ketua pasukan berkata;, “kenderaan yang dihasilkan ini adalah menggunakan teknologi hybrid sepenuhnya dan ini adalah teknologi yang pertama di Malaysia hasil daripada kajian dan pembangunan yang dijalankan”.

Apa yang menarik ialah kuasa bateri yang digunakan hanyalah selama tiga saat sahaja untuk menggerakkan alternator. Kelajuan yang maksimum yang boleh dicapai dalah 25km/h dan berdasarkan kajian yang telah dibuat dilitar menunjukkan bahawa hanya dengan menggunakan 1 liter minyak petrol boleh mencecah perjalanan sejauh 100kilometer.

“Enjin kereta ini juga dapat menjimatkan penggunaan minyak, ini kerana alternator yang bergerak akan memberi kuasa yang lebih kepada enjin dan minyak yang digunakan akan menghasilkan bahan bakar yang sedikit dan dalam masa yang sama alternator tersebut menjana tenaga kepada bateri dan keseluruhan enjin.”

Kenderaan yang dihasilkan ini telah pun dibangunkan semenjak tahun 2010 dengan penyelidikan yang dibuat banyak penambahbaikan dijalankan yang merangkumi semua aspek daripada badan kereta hinggalah enjin dan suspensinya.

Tujuan penyelidikan dan pembinaan kenderaan ini adalah salah satu inisiatif kami sebagai penyelidik untuk menjaga alam sekitar terutamanya menghasilkan kenderaan dan pada masa yang sama menghasilkan enjin yang mesra alam iaitu enjin hybrid yang pertama dicipta menggunakan kuasa elektrik yang tenaganya dibekalkan melalui cas alternator.

Kenderaan ini juga menyertai pertandingan Shell Eco Marathon Asia 2011 yang berlangsung di Litar Sepang baru-baru ini.

“Apa yang diharapkan ialah mungkin teknologi ini sedikit sebanyak dapat membantu pengeluar-pengeluar kenderaan tempatan yang ada untuk melihat dengan lebih dekat lagi teknologi ini dan mungkin boleh di buat dalam kapasiti yang besar.”.katanya.

Monday 4 July 2011

PELAJAR UIAM BAWA PULANG LIMA ANUGERAH

oleh Ruslan Rusly

Seramai lima orang pelajar daripada jurusan seni gunaan dan reka bentuk, Kuliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) telah pun berjaya meraih lima anugerah di Pameran Ciptaan, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX2011) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur(KLCC) baru-baru ini.

Sebanyak dua pingat perak, dua gangsa dan satu emas telahpun dibawa pulang oleh para pelajar yang masing-masing mempamerkan hasil ciptaan dan penemuan mereka pada majlis tersebut. Antara hasil ciptaan mereka ialah Hexo-Multifunctional Kid’s Furniture(gangsa), Repose-Flat-Packed furniture(emas), Flick-modernized traditional game(gangsa), Qenit-Compact personal modility(perak) dan ILM-Portable arabic alphabet toy design(perak).


Antara penerima pingat tersebut ialah, NurFatihah Anis Mat Seman, Aziera Nadia Azmi, Nurfadila Ramli, Emma Nur Adzliyanna Azali dan Siti Nurbalqis Kamaruddin.

Ciptaan yang mereka hasilkan ialah menjurus kepada rekabentuk industri yang memerlukan seseorang itu perlu berfikir secara kreatif bagaimana untuk mereka mencipta satu produk yang boleh menyelesaikan masalah-masalah disekitar mereka.




Aziera Nadia Azmi yang memenangi pingat emas telah menghasilkan “REPOSE –Flat-packed furniture”. Beliau telah mencipta sebuah tikar yang mana pada masa yang sama fungsinya boleh ditukarkan menjadi sebuah kerusi yang mempunyai penyandar. Menurut beliau, ciptaanya ini boleh digunakan untuk mereka yang gemar pergi beriadah kerana ianya mudah untuk dibawa.

“Hasil ciptaan ini direka khas untuk mereka yang suka beriadah seperti di tepi pantai, memancing, berkelah dan sebagainya, apa yang menarik ialah tikar ini boleh dijadikan kerusi berbanding dengan tikar tradisional yang hanya boleh duduk sahaja. Flat-packed furniture ini juga dibuat daripada getah EVA iaitu getah yang sangat fleksibel yang mana jika seseorang itu duduk bersandar tikar tersebut akan ikut bentuk badan.”

En. Muhammad B. Hussin adalah pensyarah daripada Jabatan reka bentuk dan gunaan bertindak sebagai ketua pasukan berkata; “.ITEX 2011 merupakan peyertaan kali ke empat [4] para pelajar dari Jabatan Seni Gunaan & Rekabentuk, Kuliah Senibina & Rekabentuk Alam Sekitar,IIUM semenjak tahun 2008 sehingga 2011 ini.Kejayaan merangkul 5 anugerah ini amat berbaloi dengan usaha yang telah dilakukan oleh
para pensyarah dan pelajar terlibat selama ini.Namun, pihak jabatan
Seni Gunaan & Rekabentuk akan terus berusaha untuk mengetengahkan idea
serta inovasi rekabentuk yang lebih menarik pada masa-masa akan
datang.”

Tuesday 28 June 2011

Pelajar UIAM beri pendedahan penjagaan dan kesihatan gigi kepada Orang Asli


oleh Ruslan Rusly

Seramai 40 orang pelajar dari Kelab Titian Asli, Pusat Tanggungjawab Sosial, Universiti Islam Antabangsa Malaysia (UIAM) telah pun mengadakan Kempen Kesedaran Penjagaan Gigi dengan bertemakan “Gigi Sihat Senyuman Memikat” yang dijalankan di Kampung Orang Asli Batu 12 Gombak, Kampung Bukit Kala selama dua hari baru-baru ini.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memberi galakan dan pendedahan kepada masyarakat Orang Asli tentang kepentingan menjaga kebersihan gigi. Disamping itu, ia turut bertujuan untuk berkongsi informasi bersama mereka mengenai perkara-perkara yang perlu dititik beratkan dalam penjagaan kesihatan diri secara umumnya.


Program ini mendapat kerjasama daripada Kumpulan Kesihatan Unit Pergigian Bergerak, Bahagian Kesihatan dan Perubatan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Menurut Presiden Kelab Titian Asli, Fakhrurrazi bin Mohammad berkata;“ dengan adanya program sebegini, sedikit sebanyak ia dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat Orang Asli ini untuk menjaga kesihatan dan dapat mendidik anak-anak Orang Asli ini tentang penjagaan gigi lebih awal”.

Pelajar UIAM beri pendedahan awal keusahawanan kepada Orang Asli


oleh Ruslan Rusly

Seramai 40 orang pelajar yang mewakili Kelab Titian Asli dibawah Pusat Tanggungjawab Sosial (CENSERVE) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah pun menjalankan satu program keusahawanan di perkampungan Orang Asli bertempat di Kampung Ulu Tamu, Batang Kali Selangor baru-baru ini.

Antara objektif penganjuran program ini ialah untuk berkongsi maklumat mengenai peluang keusahawanan dan pelbagai rancangan, mendedahkan mereka dengan kemahiran pengurusan asas yang diperlukan dalam perniagaan, memberi maklumat mengenai bagaimana untuk menggunakan teknik asas pengurusan dan pemasaran dalam keusahawanan, untuk meningkatkan kemahiran Orang Asli dalam berkomunikasi dan berurusan dengan orang luar dan melatih Orang Asli menjadi lebih bebas, kreatif dan inovatif dalam perniagaan.


Beberapa program telah pun diatur dan dirancang supaya majlis tersebut dapat memberikan manfaat kepada masyarakat Orang Asli yang hadir. Selain itu, beberapa orang usahawan turut diundang untuk memberikan ceramah berkenaan dengan keusahawanan. Program tersebut telah dirasmikan oleh En. Mohd Yusof Abu Naib, Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli(JAKOA) negeri Selangor/Wilayah Persekutuan.

Antara ceramah-ceramah keusahawanan yang di jalankan ialah usahawan kerepek, usahawan lintah atau cacing dan bahulu. Selain daripada itu, terdapat juga ceramah-ceramah daripada pegawai-pegawai daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kumpulan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (SME Group) yang berkaitan dengan modal perniagaan, bagaimana menguruskan perbelanjaan dan pengkomersilan produk.

Apa yang menarik pada majlis itu juga, apa yang menarik ialah terdapat juga demontrasi memuat bahulu yang di usahakan oleh usahawan yang dijadikan sebagai contoh kepada masyarakat Orang Asli. Program tersebut bukan sahaja dihadiri masyarakat kampung tersebut malah mendapat sambutan daripada Kampung Songkok yang berhampiran dengan Kampung Ulu Tamu di batang kali, selangor.

Menurut Pengarah Program, Siti Radhiah Syahida bt. Mohd Hamdan pelajar jurusan pendidikan berkata; “kebanyakan Orang Asli masih menjana pendapatan mereka dari hasil hutan.Mereka tidak terdedah dengan peluang pekerjaan lain yang boleh menjana pendapatan mereka.Kami merancang untuk mendedahkan dan memberi jalan kepada mereka untuk memulakan perniagaan seperti cara untuk memohon pinjaman, proses pembuatan dan bagaimana untuk memasarkan produk mereka”.

Monday 30 May 2011

Wakil UIAM sertai penjelajahan tujuh negara”Jejak Warisan Jawi 2”


oleh Ruslan Rusly

Untuk menjejaki warisan melayu dari zaman dahulu lagi, satu program telah dijalankan untuk membongkar kembali sejarah penulisan persuratan melayu iaitu tulisan jawi. Hasil daripada kesedaran tersebut maka program Jejak Warisan Jawi 2 telah dilancarkan untuk merungkai kembali tulisan jawi yang dulunya menjadi tulisan yang digunakan diseluruh nusantara bagi kebanyakkan masyarakat melayu.

Jejak Warisan Jawi 2(JWJ2) yang akan menjelajah tujuh negara iaitu Malaysia, Thailand,Kemboja,Vietnam, Laos,China dan Myanmar telah dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim baru-baru ini. Program Jejak Warisan Jawi 2 ini dianjurkan oleh Kelab Putera 1Malaysia, Majma’ Budaya dan Warisan Jawi dan disokong oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.




Sokong komuniti daripada tiga Institut Pengajian Tinggi dan antaranya ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) yang menghantar wakil seramai tiga orang. Mereka ialah Mohd Afiq Zulkifli mahasiswa jurusan Sains politik, Ahmad Syafiq Mohd Yuhaizad dari jurusan Undang-undang dan Ustaz Zaid Muhammad Mohd Rais, pensyarah dari Jabatan Tilawah Pusat Pembangunan Bahasa dan Pra-Universiti(CELPAD) UIAM.

Antara peranan yang dimainkan oleh wakil UIAM ini ialah dengan mengadakan program-program yang lebih kepada kemasyarakatan dan mengembalikan budaya melayu yang diwarisi selama turun temurun antaranya ialah membuat aktiviti mini kelas jawi, kelas tafsir dan bacaan Al-Fatihah serta menyampaikan sumbangan kepada masyarakat melayu di sana. Program ini juga akan mendekati masyarakat melayu yang ada di seluruh nusantara.

Menurut Mohd Afiq berkata; “ dengan adanya program sebegini sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada masyarakat kita di Malaysia kerana kita patut rasa bertuah dapat hidup di negara ini dan ia akan menguji semangat dan kekentalan kami sebagai mahasiswa UIAM untuk turut merasai keperitan yang dialami oleh masyarakat di sana nanti”.

Sunday 29 May 2011

Pelajar UIAM manfaat peluang belajar di negara orang


oleh Ruslan Rusly

Berpeluang untuk belajar di negara orang adalah satu perkara yang diimpikan oleh kebanyakan pelajar. Oleh itu, dengan kesempatan yang telah diberikan oleh International Islamic University Malaysia (IIUM) dan ditaja oleh Kerajaan Australia melalui Endeavour Scholarship Award, 8 orang pelajar telah terpilih untuk mengikuti Program Pertukaran Pelajar di University of South Australia (UniSA), di Adelaide, Australia. Bermula dari Februari yang lalu, Nur Ainaa binti Mokhtar (Kejuruteraan Mekatronik), Shazrul Afiq bin Zulkifli (Kejuruteraan Aeroangkasa), Afiq bin Nordin (Kejuruteraan Automotif), Siti Noraini Mohd Khalidi (Kejuruteraan Pembuatan), Mohamad Nazmi Mohamad Zaki (Pengurusan Perniagaan), Nur Aqilah Izham (Pengurusan Perniagaan), Syifaa' binti Omar (Pengurusan Perniagaan) dan Nazreen bin Ahmad (Ekonomi) telah dihantar untuk menjalani program pertukaran pelajar selama satu semester.
Program Pertukaran Pelajar yang dijayakan bersama University of South Australia ini adalah program tahunan International Islamic University Malaysia kerana ini merupakan kali keempat pelajar dari universiti ini dihantar untuk mengikuti pelajaran selama satu semester di UniSA. Namun, ini adalah kali pertama pelajar dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dihantar untuk mengikuti program yang sama. Projek dua hala ini juga melibatkan pelajar dari UniSA datang ke IIUM untuk belajar selama satu semester.

Mereka yang terpilih telah dinilai melalui prestasi akademik dan juga kokurikulum. Majoriti dari mereka adalah pelajar tahun tiga di IIUM kerana di tahap ini, mereka telah mampu untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari sepanjang di IIUM. Selain dari itu, interview juga dibuat untuk mengetahui tahap keyakinan dan penguasaan mereka terhadap Bahasa Inggeris.

Shazrul Afiq bin Zulkifli dari Fakulti Kejuruteraan, mengucapkan syukur di atas peluang yang ditawarkan oleh pihak universiti kerana, “ini merupakan peluang yang jarang sekali didapati oleh pelajar-pelajar lain”.

Hari-hari pertama di Adelaide telah melakarkan sejarah yang berharga kepada mereka yang terpilih kerana ini adalah kali pertama menjejakkan kaki ke Australia. Namun demikian, dengan keramahan dan keprihatinan rakyat Australia, mereka dapat menyesuaikan diri terhadap keadaan di sana dengan mudah.

Siti Noraini Mohd Khalidi menyatakan perasaan gembira beliau apabila terpilih menjadi salah seorang dari pelajar yang terpilih untuk menyertai program ini. Melalui program ini, selain dari dapat menimba ilmu, beliau juga dapat menambah koleksi kenalan dari pelbagai negara. Malah, beliau menambah sebagai pelajar International Islamic University Malaysia yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di kelas, sedikit sebanyak telah membantu mereka sepanjang berada di Australia.

Mohamad Nazmi Mohamad Zaki mengakui bahawa pembelajaran di sini adalah lebih mencabar kerana University of South Australia menggunakan sistem kuliah manakala IIUM menggunakan sistem kelas. Ini menjadikan interaksi antara pelajar dan pengajar menjadi terhad. Beliau yang juga dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan berkata, menjadi penuntut University South Australia selama tiga bulan telah melatih dirinya supaya menjadi seorang yang lebih berdikari, kompetitif dan pro-aktif.

Program Pertukaran Pelajar adalah satu program yang digalakkan oleh kerajaan untuk membantu pelajar menambahkan ilmu kerana, universiti yang berlainan mempraktikkan budaya pembelajaran yang berlainan. Dengan mengikuti program pertukaran pelajar adalah diharap supaya dapat membuka minda pelajar kepada sebuah dunia baru dan member peluang kepada mereka supaya dapat mempelajari adat dan budaya yang berlainan. Pihak university berharap supaya pelajar-pelajar yang terpilih akan menjadi seorang yang lebih matang, berdikari, bertolak-ansur dan saling memahami apabila pulang ke Malaysia kelak.

Thursday 5 May 2011

MISI BANTUAN KEMANUSIAAN ISLAM KEMBOJA PELAJAR PERUBATAN UIAM KAMPUS KUANTAN


oleh Ruslan Rusly

Sepasukan sukarelawan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) Kampus Kuantan telah pun menyertai misi bantuan kemanusiaan Islam di Kemboja selama lapan hari baru-baru ini.

Seramai 15orang pelajar perubatan yang terdiri daripada pelbagai jurusan seperti Farmasi, kejururawatan, sains kesihatan bersekutu dan perubatan serta diiringi 2orang pegawai perubatan dan 3orang pegawai pengiring menjalankan misi untuk membantu umat Islam di Kg. Phum Ambil, Daerah Srok Kroch Chma dan Wilayah Kg. Cham.
Program misi bantuan ke-6 kali ini diketuai oleh Pengarah Kampus UIAM Kuantan Ybhg. Prof. Dato’ Dr. Kamaruzaman Wan Su dan mendapat kerjasama Persatuan Kebajikan Islam Kemboja serta mendapat sumbangan masyarakat di sekitar kampus UIAM Kuantan dengan memberikan bantuan dari segi kewangan, makanana dan barangan seperti telekong, Al-Quran dan sejadah.Ini adalah misi bantuan kemanusiaan di Kemboja yang pertama bagi Kampus Kuantan.

Antara objektif misi ini ialah untuk membantu umat Islam yang daif, memberikan penerangan dan tunjuk ajar kepada kanak-kanak dan ibu bapa berkenaan dengan penjagaan kesihatan serta menyediakan perkhidmatan kesihatan.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan merangkumi kempen kebersihan, pemeriksaan kesihatan, program motivasi, riadah bersama, bergotong -royong membersihkan masjid dan kenduri bersama penduduk setempat. Kedhaifan hidup menyebabkan masyarakat di sini kurang peka dengan aspek kebersihan dan kesihatan diri terutama kebersihan gigi,tangan dan kaki selain isu pendidikan yang tidak begitu dititik-beratkan.

Selain itu, aktiviti utama yang dijalankan dalam misi kali ini ialah masjlis berkhatan beramai-ramai yang dibuat selama 3 hari berturut dari jam 8pagi sehingga 4 petang waktu tempatan di mana seramai 135 orang kanak-kanak berjaya dikhatankan oleh dua orang pegawai perubatan UIAM iaitu Dr. Dinon (Ketua Pegawai Perubatan, Pusat Kesihatan UIAM) dan Prof. Madya Dr. Murad (Pengarah, Pusat Kesuburan UIAM) dengan dibantu oleh pelajar-pelajar yang menyertai misi kali ini. 5 orang -pelajar dari Kulliyyah Perubatan dan juga kulliyyah Kejururawatan mengambil peluang mempraktikkan pengetahuan mereka.

Bantuan kebajikan turut diberikan kepada golongan yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal, warga tua dan anak-anak yatim Kg Ambil yang serba dhaif. Bantuan seperti alatan belajar turut dihulurkan ke sekolah-sekolah berhampiran Kg. Ambil. Barang-barang derma yang dibawa seperti sejadah, telekung, kain batik, kain pelikat, baju orang dewasa dan kanak-kanak, naskah al-Quran dan Yaasin,wang derma dan sebagainya diagih-agihkan oleh para peserta semasa aktiviti ziarah. Misi kali ini juga turut membantu menyumbangan pemasangan pam air elektrik dari sebuah telaga ke tangki masjid dan sekolah bagi memudahkan penduduk untuk beribadah .

Menurut pengarah projek Prof. Dato’ Dr. Kamaruzaman Wan Su berkata; “ dengan adanya program sebegini, sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan kepada para pelajar perubatan UIAM tentang kedaifahan mereka yang berada di sana, selain itu juga para pelajar dapat mempraktikan ilmu-ilmu perubatan mereka dari segi memberi penerangan dan tunjuk ajar kepada masyarakat di sana tentang hal penjagaan kesihatan. Program khidmat kesihatan juga dijalankan. Apa yang diharapkan program misi bantuan kemanusiaan ini dapat diteruskan”.

Wednesday 27 April 2011

Pasukan Palapes TUDM UIAM jalani kursus asas menembak.


oleh Ruslan Rusly

Seramai 82 orang pelajar yang memasuki Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia(Palapes TUDM) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) menjalani kursus asas menembak di Lapang Sasar Menembak Kem Sg.Besi baru-baru ini.
Antara objektif penganjuran latihan ini ialah untuk mendedahkan para pelajar berkenaan dengan asas-asas menembak, mengenali dan mengendali senjata dengan betul, memberikan mereka peluang serta pengalaman yang baru dan ia juga termasuk dalam silibus pembelajaran untuk pasukan palapes TUDM UIAM.

Pasukan tersebut haruslah menjalani 6latihan penggunaan senjata. Senjata yang di gunakan adalah jenis “stayyer AUG”. Antara latihan atau disiplin pengendalian senjata yang digunakan ialah dalam keadaan meniarap, duduk, berdiri dan melutut. Latihan itu juga memberikan pendedahan kepada peserta berkenaan jarak tembakan iaitu tembakan 100 dan 200 meter.

Kepentingan latihan menembak ini ialah untuk memberikan para pelajar pengetahuan berkenaan bahaya serta cara mengendalikan senjata dengan betul tanpa boleh menyebabkan kecuaian sehingga boleh menyebabkan kehilangan nyawa.
Selain itu juga, ia adalah sebagai persediaan awal para pelajar sebelum mereka memasuki kerjaya sebagai seorang pegawai tentera.

Salah seorang ahli palapes Muhamad Sharul Nizam Shuhaimi, pelajar jurusan Undang-undang berkata; “dengan adanya latihan sebegini, ia sedikit sebanyak memberi peluang kepada kami mengetahui cara-cara menggunakan senjata dengan betul serta ia juga menambahkan lagi keyakinan kami semua dan memotivasikan kami untuk terus bersemangat”.

Pada tahun lepas, mereka juga menjalani latihan asas ketenteraan di Kem TUDM Ipoh, antara aktiviti yang dijalankan ialah merempuh halangan, berkawad serta pembentukkan siasah diri.
Turut hadir pada kursus tersebut ialah Timbalan Komander Palapes TUDM UIAM, Ybhg. Leftenan Kol Dato’ Hamidon Abdul Hamid, Pengarah Institut Perubatan Penerbangan, Ybhg Brig Jen Dato ‘ (DR) Zahari Bin Jusoh dan Pengarah Eksekutif Jabatan Kewangan UIAM, Ybhg. Dato’ Hj. Ahmad Zailan Shaari.

Friday 1 April 2011

Pelajar UIAM dekati murid sekolah pendidikan khas.


oleh Ruslan Rusly

Seramai 35orang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) yang mewakili Kelab Titian Wahyu daripada Biro Pembangunan Sosial menganjurkan program “Lend Me Your Eye”. Program yang dijalankan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur. 30orang murid-murid yang cacat penglihatan mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan baru-baru ini.

Antara objektif program tersebut ialah untuk menerapkan rasa simpati dengan membantu golongan kurang upaya terutamanya pelajar-pelajar buta, belajar bagaimana cara berkomunikasi dengan betul bersama pelajar buta, mempelajari bagaimana cara hidup sebagai pelajar buta dan yang paling penting ialah untuk mengukuhkan semangat persaudaraan seIslam.

Banyak acara telah pun diatur untuk murid-murid sekolah tersebut sebagai salah satu cara untuk berinteraksi dengan mereka. Walaupun murid-murid tersebut mempunyai kekurangan dari segi penglihatan tetapi mereka mempunyai semangat dan iltizam yang tinggi untuk menyertai semua aktiviti yang disediakan.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah, Taaruf, Mini Explorace(mixed songs,kenali rakan anda,teka ajelah,terowong berhalangan & sukaneka) serta perkongsian pengalaman. Semua aktiviti yang disediakan adalah untuk mem bentuk dan membina semangat setiap murid-murid tersebut agar mereka mempunyai keyakinan diri, walaupun mereka mempunyai masalah penglihatan tetapi mereka juga adalah sebahagian daripada masyarakat yang lain.

Menurut Pengarah Program Mohammad Saufi Bin Mohd Zawawi, pelajar tahun2, jurusan pendidikan berkata; ‘dengan adanya program sebegini, kami para pelajar IPT dalam menyelami apa yang mereka rasa, dapat memahami perasaan mereka sebagai Orang Kelainan Upaya(OKU), apa yang saya dapat lihat ialah mereka ini perlu mendapat perhatian masyarakat kerena mereka adalah makhluk Allah juga. Kami agak terharu apabila kedatangan rombongan kami disambut meriah”.

Sebanyak lima modul telah disediakan untuk murid-murid tersebut belajar antaranya ialah Modul yang pertama dinamakan “Nenek-nenek”, Modul yang kedua ialah “Don’t do what I say”,yang ketiga pula ialah “Teka Rasa”, keempat dipanggil “Art and Craft” dan Modul yang kelima ialah sesi mengambil video.

Menurutnya lagi “saya berharap agar program sebegini dapat diteruskan supaya kita boleh bina keyakinan murid-murid tersebut supaya mereka tidak merasa rendah untuk berhadapan dengan masyarakat.”katanya.

Monday 28 March 2011

Minggu Ummah UIAM 2011



oleh Ruslan Rusly

Minggu Ummah yang berlangsung di Pusat Aktiviti Kebudayaan(CAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) Gombak baru-baru ini dimanfaatkan oleh pelajar antarabangsa yang datang dari 105buah negara untuk mereka memperkenalkan budaya-budaya negara mereka kepada masyarakat luar.

Minggu Ummah ataupun Ummatic Week adalah acara yang ditunggu-tunggu oleh seluruh pelajar antarabangsa kerana pada waktu inilah mereka akan dapat menunjukkan tarian, pakaian, makanan serta mempromosikan negara mereka kepada semua.
Minggu Ummah di anjurkan setiap tahun oleh Jabatan Pelajar Antarabangsa UIAM. Pada tahun ini temanya ialah Batik. Program tersebut berlangsung selama 1minggu, banyak acara-acara telah pun diatur antaranya ialah, Larian ummatic, festival makanan antarabangsa, persembahan kebudayaan daripada 30buah negara seperti dari Iraq, Yaman, Palestin, Indonesia dan Sudan, pameran kebudayaan, pameran batik dan jualan makanan antarabangsa.

Antara objektif penganjuran Minggu Ummah ini ialah untuk membentuk satu perpaduan antarabangsa diantara pelajar antarabangsa serta pelajar tempatan, ia juga sebagai satu landasan untuk mendedahkan kebudayaan setiap negara yang diwakili oleh pelajar serta dalam masa yang sama pelajar-pelajar bertindak sebagai duta mewakili negara masing-masing dalam memperkenalkan negara mereka yang mempunyai budaya dan cara hidup yang unik.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pelajar Antarabangsa UIAM, Dr. Ahmed Jamal Badie manakala majlis penutup oleh Rektor UIAM, Y.bhg Prof. Dato’ Sri. Dr. Syed Arabi Idid. Majlis juga turut dimeriahkan oleh dengan kehadiran para duta-duta asing yang hadir untuk memberi sokongan kepada pelajar-pelajar dari negara mereka yang belajar di UIAM.

Farina Elaina Abdul Hanif, Pengarah Program Ummatic Week 2011 berkata: “ dengan penganjuran program sebegini, kita dapat melihat pelbagai budaya dan kita dapat kenal budaya rakan-rakan sekuliah kita dan ia juga adalah sebagai satu landasan yang terbaik untuk merapatkan lagi persaudaraan sesame kita umat Islam”.katanya.

Kabinet Baru Majlis Perwakilan Pelajar UIAM 2010/2011


oleh Ruslan Rusly

Setelah menempuh hari berkempen di dalam kampus selama seminggu, dan hari pilihanraya pada 22februari lalu untuk mahasiswa memilih siapakah calon yang akan memimpin dan mendengar suara mereka, baru-baru ini Barisan Kabinet Baru Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) 2010/2011 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) telah pun dibentuk.

Seramai 31pelajar memikul tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka dengan portfolio masing-masing bagi menjaga dan menjadi jambatan diantara pihak pentadbiran dan pelajar.

Majlis Bai’ah ataupun majlis angkat sumpah telah pun berlangsung di Pejabat Timbalan Rektor(Hal Ehwal Pelajar) di UIAM Gombak baru-baru ini. Seramai 11pelajar datangya daripada Kampus Perubatan di Kuantan dan selebihnya dari Kampus Gombak sendiri.

Majlis Bai’ah yang berlangsung selama 2jam itu turut dihadiri oleh Rektor UIAM Y.bhg Prof. Dato’ Sri. Dr. Syed Arabi Idid, Timbalan Rektor(Hal Ehwal Pelajar) Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood dan Pengarah Pembangunan Pelajar Dr. Nor Asiah Mohamad.

Sebelum majlis berlangsung, Rektor UIAM sempat memberikan beberapa nasihat serta berkongsi pengalaman bersama-sama dengan MPP, selain itu juga, semua pelajar dapat berkongsi cerita dengan rektor disamping itu juga mereka dapat menyuarakan soalan-soalan serta pandangan mereka terus ke pihak pengurusan.

Menurut Syed Arabi; “apabila kita telah dipilih dan dipertangungjawabkan untuk menjadi pemimpin maka kita perlulah menjalankan tugas dengan amanah, berdedikasi dan berintegriti disamping itu tidak melupakan aspek terpenting iaitu pelajaran”
Antara tugas-tugas MPP ialah untuk membawa suara-suara pelajar ini kepada pihak pengurusan kerana mereka yang memegang jawatan dalam MPP ini perlulah memastikan bahawa kebajikan serta keluhan-keluhan pelajar didengari dan disampaikan kepada pihak pengurusan secara professional. Ini sedikit sebanyak mendidik mereka untuk menjadi pemimpin yang berkaliber dan berdedikasi.

Muhammad Iqbal Ab. Wahab pelajar jurusan ekonomi tahun tiga yang dilantik sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIAM 10/11 berkata; “saya akan pikul tanggungjawab ini dengan baik disamping cabaran-cabaran yang perlu ditempuhi kerana di UIAM ini mempunyai ramai pelajar antarabangsa, disamping itu saya akan cuba mendekati pelajar-pelajar dengan cara turun padang supaya kita dapat dengar permasalahan mereka.”

Ia turut disokong oleh Timbalan Presiden 3, Siti Aminah Bt. Mohd Naim@Mohd Zuki pelajar Jurusan Teknologi Maklumat, tahun 2; “walaupun sibuk dengan belajar, tapi tanggungjawab yang diberikan akan saya laksana dengan baik serta memastikan tujuan serta dapat membantu rakan-rakan, namun sokongan serta kerjasama amat diperlukan supaya kita sama-sama dapat manfaat.”katanya.

Majlis Anugerah sukan UIAM 2010

oleh Ruslan Rusly



Setiap tahun Pusat Sukan dan Rekreasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) mengiktiraf jasa-jasa dan keringat setiap kejayaan yang dicapai oleh atlet-atlet serta jurulatih yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan dan kejayaan sukan yang telah mengharumkan nama universiti di peringkat dalam dan luar negara serta sekali gus yang mewakili negara dalam acara masing-masing.

Bertempat di Peransang Templer Golf Club, Rawang, Majlis Anugerah Sukan UIAM 2010 telah pun berlangsung baru-baru ini. Sebanyak 10 kategori anugerah disediakan kepada semua atlet-atlet serta jurulatih. Antaranya ialah Anugerah Kepimpinan Sukan, Anugerah Rakan Sukan, Anugerah Kumpulan Terbaik,Anugerah Jurulatih Terbaik dan Anugerah Ikon Sukan.

Antara ojektif penganjuran majlis ini ialah untuk menghargai jasa-jasa mereka yang telah mengharumkan nama universiti dan negara, menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam bidang sukan dan pelajaran, untuk menjadikan para atlet ini sebagai contoh atau ikon kepada pelajar yang lain serta mempergiatkan lagi aktiviti bersukan.
Turut hadir pada malam tersebut ialah Ybhg. Datuk Ab. Rahim Md.Noor , Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi(KPT) dan Ybhg. Prof. Dato’ Sri. Dr. Syed Arabi Idid, Rektor UIAM.

Dalam ucapan, Syed Arabi berkata; “dengan adanya majlis sebegini, ia adalah sebagai satu platform atau landasan untuk menaikkan lagi semangat para atlet supaya mereka dapat melakukan yang terbaik bukan sahaja untuk diri-sendiri dan Universiti malah untuk Malaysia”

Pemilihan bukan sahaja untuk mereka yang berjaya dalam bidang sukan semata-mata, malah pencapaian dalam akademik juga turut diambil kira untuk setiap kategori yang dipertandingkan.

Menurut Datuk Ab.Rahim; “Setiap kejayaan dan pencapaian perlulah dikekalkan kerana masa depan negara kita terletak di tangan generasi muda dan berharap supaya akan meneruskan kejayaan dalam bidang sukan keperingkat yang lebih tinggi”.
Bahagian Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi dalam pada itu telah pun memilih UIAM sebagai Pusat Sukan yang fokusnya kepada pembangunan sukan futsal diperingkat Universiti, Kebangsaan dan terus keperingkat antarabangsa.

Kemuncak majlis ialah Anugerah Olahragawan dan Olahragawati UIAM, antara kriteria yang ditetapkan oleh pihak penjurian ialah atlet yang pernah mewakili negara,negeri dan universiti(MASUM) sepanjang pengajian mereka di universiti dan mendapat CGPA 2.50 keatas serta mempunyai disiplin yang baik, mereka juga haruslah aktif dalam menyertai sebarang aktiviti sukan yang dianjurkan universiti.
Untuk Olahrawan UIAM 2010, pihak penjurian sebulat suara telah memilih Mohamad Nuzul Azwan B. Ahmad Temizi dari sukan Petanque(Boling Padang).

Pencapaian Mohamad Nuzul ialah mendapat tempat ke-6 di Kejohanan Dunia Petanque di Turki, tempat kedua di Petanque Pan Pacific di Sigapura, Pingat emas peringkat kumpulan dan pingat Perak dalam SUKMA,Melaka.

Olahragawati UIAM 2010 telah dimenangi oleh Ruwaida bt. Rosdin dari sukan Bola Jaring. Beliau dipilih kerana telah menjadi penjaring terbaik dan pemain terbaik daalm sukan MASUM.

Sambutan Maulidur Rasul UIAM meriah


oleh Ruslan Rusly

Seramai 800 orang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) menggunakan masa cuti perkualiahan mereka untuk bersama-sama menyambut hari kelahirahan Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1432H di UIAM Kampus Gombak baru-baru ini.
Majlis sambutan Maulidur Rasul ini dianjurkan oleh Pejabat Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM bersama-sama dengan Mahallah(hostel) Siddiq, Farouq dan Halimatus Sa’adiah.

Antara objektif penganjuran Majlis Sambutan ini ialah untuk mengajak semua pelajar UIAM bersama mengenang kembali sejarah hidup dan perjuangan Baginda.
Pada tahun ini, perarakan bermula di Stadium Komplek Sukan Lelaki dan berakhir di Masjid UIAM. Setiap pelajar mewakili Mahallah mereka masing-masing. Sebanyak 7 mahallah perempuan dan 10 mahallah lelaki mengambil bahagian di dalam perarakan tersebut yang jaraknya hampir 2kilometer. Setiap kumpulan membawa sepanduk serta berselawat memuji Rasulullah..

Walaupun cahaya matahari mula memancar tetapi setiap pesertanya bersemangat. Selain pelajar, turut serta juga ialah Prof. Dr. Ahmad Faris Ismail, Timbalan Rektor (Penyelidikan & Innovasi), Dato’ Hamidon Abdul Hamid, Pengarah Masjid UIAM, felo-felo dan kakitangan UIAM.


Banyak program yang dijalankan sepanjang penganjuran Sambutan Maulidur Rasul tersebut yang berlangsung di Masjid, antaranya ialah Qasidah, Taranum dan Qiraat, Bacaan Al-Quran, Selawat, Tayangan Drama Maulidur Rasul.

Bersempena dengan Majlis sambutan tersebut minggu zikrulmaut turut berlangsung dengan mengadakan pelbagai program menarik seperti pengurusan jenazah,kursus penyembelihan, forum dan bual bicara.
Majlis sambutan tersebut turut di meriahkan dengan kehadiran kumpulan nasyid tanahair Kumpulan Inteam. Mereka menyampaikan qasidah, bacaan Al-Quran dan selawat Nabi.

Pihak penganjur juga turut mengadakan pertandingan untuk peserta iaitu pertandingan Kumpulan Terbaik Lelaki & Wanita serta Sepanduk Terbaik.
Menurut salah seorang peserta Mohd Azizul Fadzli bin Azman, pelajar tahun 3, kulliyah Kejuruteraan berkata; “dengan adanya sambutan sebegini, kami sebagai mahasiswa dapat mengenang kembali sejarah serta perjuangan Baginda serta ia sebagai motivasi kepada kami untuk terus berjuang dalam pembelajaran sehingga berjaya.”
Nabi Muhammad S.A.W boleh dijadikan sebagai idola kepada semua mahasiswa kerana perjuangan Baginda untuk menegakkan syiar Islam tidak pernah berhenti dan ia perlu dijadikan sebagai contoh kepada mahasiswa untuk terus berusaha didalam pembelajaran mereka.

Pendapat tersebut turut disokong oleh seorang lagi perserta sambutan, Siti Nor Amirah bt Sheikh Ahmad Tajuddin pelajar tahun2, kulliyyah Kejuruteraan; ”sambutan maulidur Rasul ini bukan sekadar berarak dan berselawat yang penting ialah penghayatan serta pengisian, kita belajar kepayahan, kesusahan serta kesabaran dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar universiti yang jauh daripada keluarga.”

Dalam ucapan Prof. Dr. Ahmad Faris berkata; “setiap pelajar perlulah mengambil iktibar daripada sejarah kehidupan Baginda kerana semangat serta kekuatan Baginda boleh dijadikan sebagai pembakar semangat kepada kita semua dan Baginda perlulah dijadikan idola sampai bila-bila kerana sikap dan sifat Rasulullah S.A.W adalah yang terpuji.”


Pengarah Program Muhammad Farid Izzuddin bin Kamarudin,pelajar tahun2 mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat didalam menjayakan majlis ini serta pada tahun ini penyertaan amat menggalakkan dimana pada tahun lepas jumlah penyertaan hanya 500orang pelajar dan pada tahun ini meningkat dan ini menunjukkan bahawa semangat dan cinta pelajar UIAM kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W tetap utuh,katanya.

Karnival sukan Universiti semarakkan semangat kesukanan pelajar UIAM



oleh Ruslan Rusly

Dalam usaha untuk mencari bakat-bakat baru yang bergiat aktif didalam sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) menganjurkan Karnival Sukan Universiti. Karnival ini di anjurkan oleh kolej-kolej kediaman(Mahallah) seperti Mahallah Ali,Mahallah Uthman,Mahallah Farouq, Mahallah Maryam dan Mahallah Saffiyah dengan kerjasama daripada Pusat Sukan dan Rekreasi UIAM. Karnival yang berlangsung selama 5 hari bermula 10 hingga 15 januari 2011 di adakan di Komplek Sukan lelaki dan wanita.
Karnival Sukan Universiti ini adalah salah satu peristiwa yang paling ditunggu-tunggu oleh pelajar yang diadakan oleh Mahallah setiap tahun. Semua pelajar dari Mahallah akan menyertai dalam pelbagai permainan diadakan sepanjang karnival. Tema Karnival Sukan Universiti pada tahun ini ialah “Roaring to Glory”.

Sebanyak 16 pasukan yang mewakili mahallah masing-masing untuk menyertai 6 acara yang dipertandingkan yang dibahagikan kepada 2 kategori iaitu wanita dan lelaki seperti futsal, permianan chess, bola jaring, hoki, bola tampar dan ping-pong.

Antara tujuan atau objektif penganjuran Karnival Sukan Universiti ini ialah untuk mempromosikan integrasi antara pelajar melalui sukan, menghasilkan atlet berpotensi untuk mewakili universiti untuk Masum dan kejohanan kebangsaan yang lain serta mendorong pelajar untuk terlibat dalam pelbagai kegiatan sukan sepanjang karnival.



Apa yang menariknya ialah karnival sukan ini di uruskan oleh para pelajar dari setiap mahallah dan ini memberikan kesempatan bagi para pelajar baik tempatan mahupun antarabangsa untuk terlibat bersama-sama dalam acara ini bermakna.

Hal ini akan mengembangkan kemampuan mereka dalam pengurusan acara dan komunikasi dan memperkukuhkan persaudaraan Islam mereka. Pada masa yang sama, Karnival Sukan Universiti ini juga menyediakan platform bagi para pelajar untuk meningkatkan kecergasan fizikal dan bakat dalam sukan dan permainan selain dapat mengurangkan tekanan mereka dalam belajar.

Pada majlis penutup dan penyampaian hadiah, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, Timbalan Rektor(Hal Ehwal Pelajar ) berkata; “dengan adanya program sebegini kita dapat melahirkan generasi yang sihat bukan sahaja melahirkan cendiakawan tetapi melahirkan insan yang cemerlang yang mempunyai akal yang bijak dan tubuh yang sihat dan semangat persaudaraan dapat dipereratkan lagi”.

Penyelidik UIAM hasilkan Teh Herba bantu baiki masalah buah pinggang dan hati.

oleh Ruslan Rusly


Hasil daripada kajian dan penyelidikan yang menyeluruh, Pensyarah dari BIOHEAL RESEARCH GROUP, Jabatan Sains Pemakanan, Kulliyah Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) Kampus Kuantan, Dr. Norazlanshah Hazali telah berjaya menghasilkan Teh Herba Misai Kucing dan Mas Cotek di bawah jenama UIA HERBS.

Orthosiphon Stamineus adalah nama saintifik untuk Misai Kucing manakala ficus deltoidea merujuk kepada Mas Cotek. Kajian yang dijalankan selama tiga tahun telah membawa kepada satu penemuan baru dalam industri sains makanan. Hasil gabungan diantara Herba Misai Kucing dan Herba Mas Cotek dapat membantu mereka yang mempunyai masalah buah pinggang serta memulihkan sel-sel hati.

Menurut Dr. Norazlan, kajian yang dilakukan memakan masa selama tiga tahun adalah untuk memastikan bahawa kandungan-kandungan yang terdapat pada herba-herba tersebut adalah baik serta kajian yang dilakukan keatas produk tersebut diformula secara sainstifik yang mana kajian demi kajian dilakukan adalah berturut-turut untuk memastikan ia capai kepada satu standart yang di tetapkan.

“saya memilih herba MasCotek dan Misai Kucing ini untuk dijadikan minuman adalah supaya kita dapat mengetengahkan herba-herba yang kita ada, apa yang dapat kita lihat ialah herba yang popular sekarang ini ialah Tongkat Ali dan Kacip Fatimah, jadi rentetan itu saya memilih kedua-dua herba ini untuk dijadikan bahan kajian supaya dapat lihat apa khasiat yang tersembunyi pada herba tersebut dan ia juga salah satu langkah untuk kita mempromosi produk herba kita ke peringkat yang lebih tinggi”.

Antara khasiat-khasiat yang boleh didapati dalam Teh Herba gabungan Misai Kucing dan Mas Cotek ini ialah ianya kaya dengan agen antioksidan, dapat menyingkirkan toksik dalam badan dan yang paling utama ialah ia beupaya untuk memulihkan sel hati sesuai untuk penghidap darah tinggi dan mampu memperbaiki sel ginjal ataupun mereka yang mempunyai masalah buah pinggang seperti batu karang dan mereka yang sedang menjalani rawatan hemodialisis.

“ Produk minuman teh herba ini telah pun terbukti khasiatnya dimana seramai 200 testimoni yang telah saya temui dan kebanyakkan daripada testimoni tersebut adalah mereka yang mengalami masalah darah tinggi dan buah pinggang memberikan maklum balas yang positif”.ujarnya.

Produk yang dihasilkan bukan semata-mata untuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan, ia juga boleh diminum oleh sesiapa sahaja walaupun mereka tidak mempunyai penyakit seperti buah pinggang dan masalah hati.
“Minuman teh herba ini boleh dijadikan sebagai minuman kesihatan atau minuman harian sebagai supplemen untuk mencegah daripada penyakit dan membuang toksin dalam badan”.katanya

Dr.Norazlanshah juga merupakan pemenang tunggal pingat emas dari UIAM di Malaysia Technology Expo(MTE2011) dalam kategori Inovasi, Penemuan dan Teknologi baru-baru ini.

Kempen Keselamatan Jalanraya UIAM


oleh Ruslan Rusly
Bagi meningkatkan kesedaran berkenaan dengan keselamatan jalan raya, Unit Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan(OSHU) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) telah pun bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya(JKJR) Selangor bersama-sama menjalankan Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya di UIAM Gombak.
Kempen yang dijalankan selama satu hari ini banyak memberikan pendedahan kepada warga UIAM tentang perlunya keselamatan jalan raya terutamanya penggunaan tali pinggang dan topi keledar.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah pemeriksaan topi keledar, pertukaran topi keledar lama kepada yang baru, pemeriksaan pemakaian tali pinggang keledar dan mengedarkan risalah.
Turut hadir pada kempen tersebut ialah Pengarah Unit Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan UIAM En. Hamdan Adnan, En. Yusoff Hashim penolong Pengarah JKJR Selangor.
Antara objektif penganjuran kempen ini ialah untuk memberikan kesedaran dan pendedahan kepada warga UIAM secara khususnya dan kepada orang diluar sana secara amnya. Kempen yang dijalankan secara berterusan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kemalangan dan kecederaan yang berlaku di dalam kampus walaupun peratusannya tidak tinggi.
Menurut En. Hamdan; “ kempen keselamatan jalanraya kali ini sudah masuk tahun ke empat dan kita di UIAM sangat berterima kasih dengan JKJR Selangor kerana sudi bersama-sama UIAM untuk anjurkan kempen kesedaran ini secara berterusan”.
Seorang pelajar  tahun 3, kulliyyah kejuruteraan Muhammad Yusof Mohamed Bakary berkata; “ dengan adanya kempen ini, kami para pelajar dapat didedahkan dengan risiko-risiko yg boleh menyebabkan kemalangan dan kecederaan, selain itu juga, kami dapat maklumat seperti tempoh hayat atau tempoh luput sesebuah topi keledar.”
Selain penunggang motosikal, mereka yang memandu kereta juga turut tidak terlepas di dalam penganjuran kempen ini, pegawai daripada JKJR dan Unit Keselamatan Trafik UIAM turut mengadakan pemeriksaan pemakaian tali pinggang keselamatan baik pemandu dan penumpang di depan dan di belakang.
Penolong Pengarah JKJR Selangor, En. Yusoff Hashim berkata; “ sepanjang pengajuran kempen keselamatan jalanraya ini berlangsung, apa yang dapat dilihat ialah seluruh warga UIAM mematuhi segala aspek keselamatan dan papan-papan tanda memakai topi dan tali pinggang keledar di sekitar UIAM juga di pamerkan, ini adalah sebagai salah satu advokasi berterusan yang baik untuk didedahkan kepada semua supaya mereka dapat menjaga keselamatan diri mereka dan orang lain.”