Monday 28 March 2011

Minggu Ummah UIAM 2011



oleh Ruslan Rusly

Minggu Ummah yang berlangsung di Pusat Aktiviti Kebudayaan(CAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) Gombak baru-baru ini dimanfaatkan oleh pelajar antarabangsa yang datang dari 105buah negara untuk mereka memperkenalkan budaya-budaya negara mereka kepada masyarakat luar.

Minggu Ummah ataupun Ummatic Week adalah acara yang ditunggu-tunggu oleh seluruh pelajar antarabangsa kerana pada waktu inilah mereka akan dapat menunjukkan tarian, pakaian, makanan serta mempromosikan negara mereka kepada semua.
Minggu Ummah di anjurkan setiap tahun oleh Jabatan Pelajar Antarabangsa UIAM. Pada tahun ini temanya ialah Batik. Program tersebut berlangsung selama 1minggu, banyak acara-acara telah pun diatur antaranya ialah, Larian ummatic, festival makanan antarabangsa, persembahan kebudayaan daripada 30buah negara seperti dari Iraq, Yaman, Palestin, Indonesia dan Sudan, pameran kebudayaan, pameran batik dan jualan makanan antarabangsa.

Antara objektif penganjuran Minggu Ummah ini ialah untuk membentuk satu perpaduan antarabangsa diantara pelajar antarabangsa serta pelajar tempatan, ia juga sebagai satu landasan untuk mendedahkan kebudayaan setiap negara yang diwakili oleh pelajar serta dalam masa yang sama pelajar-pelajar bertindak sebagai duta mewakili negara masing-masing dalam memperkenalkan negara mereka yang mempunyai budaya dan cara hidup yang unik.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pelajar Antarabangsa UIAM, Dr. Ahmed Jamal Badie manakala majlis penutup oleh Rektor UIAM, Y.bhg Prof. Dato’ Sri. Dr. Syed Arabi Idid. Majlis juga turut dimeriahkan oleh dengan kehadiran para duta-duta asing yang hadir untuk memberi sokongan kepada pelajar-pelajar dari negara mereka yang belajar di UIAM.

Farina Elaina Abdul Hanif, Pengarah Program Ummatic Week 2011 berkata: “ dengan penganjuran program sebegini, kita dapat melihat pelbagai budaya dan kita dapat kenal budaya rakan-rakan sekuliah kita dan ia juga adalah sebagai satu landasan yang terbaik untuk merapatkan lagi persaudaraan sesame kita umat Islam”.katanya.

Kabinet Baru Majlis Perwakilan Pelajar UIAM 2010/2011


oleh Ruslan Rusly

Setelah menempuh hari berkempen di dalam kampus selama seminggu, dan hari pilihanraya pada 22februari lalu untuk mahasiswa memilih siapakah calon yang akan memimpin dan mendengar suara mereka, baru-baru ini Barisan Kabinet Baru Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) 2010/2011 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) telah pun dibentuk.

Seramai 31pelajar memikul tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka dengan portfolio masing-masing bagi menjaga dan menjadi jambatan diantara pihak pentadbiran dan pelajar.

Majlis Bai’ah ataupun majlis angkat sumpah telah pun berlangsung di Pejabat Timbalan Rektor(Hal Ehwal Pelajar) di UIAM Gombak baru-baru ini. Seramai 11pelajar datangya daripada Kampus Perubatan di Kuantan dan selebihnya dari Kampus Gombak sendiri.

Majlis Bai’ah yang berlangsung selama 2jam itu turut dihadiri oleh Rektor UIAM Y.bhg Prof. Dato’ Sri. Dr. Syed Arabi Idid, Timbalan Rektor(Hal Ehwal Pelajar) Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood dan Pengarah Pembangunan Pelajar Dr. Nor Asiah Mohamad.

Sebelum majlis berlangsung, Rektor UIAM sempat memberikan beberapa nasihat serta berkongsi pengalaman bersama-sama dengan MPP, selain itu juga, semua pelajar dapat berkongsi cerita dengan rektor disamping itu juga mereka dapat menyuarakan soalan-soalan serta pandangan mereka terus ke pihak pengurusan.

Menurut Syed Arabi; “apabila kita telah dipilih dan dipertangungjawabkan untuk menjadi pemimpin maka kita perlulah menjalankan tugas dengan amanah, berdedikasi dan berintegriti disamping itu tidak melupakan aspek terpenting iaitu pelajaran”
Antara tugas-tugas MPP ialah untuk membawa suara-suara pelajar ini kepada pihak pengurusan kerana mereka yang memegang jawatan dalam MPP ini perlulah memastikan bahawa kebajikan serta keluhan-keluhan pelajar didengari dan disampaikan kepada pihak pengurusan secara professional. Ini sedikit sebanyak mendidik mereka untuk menjadi pemimpin yang berkaliber dan berdedikasi.

Muhammad Iqbal Ab. Wahab pelajar jurusan ekonomi tahun tiga yang dilantik sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIAM 10/11 berkata; “saya akan pikul tanggungjawab ini dengan baik disamping cabaran-cabaran yang perlu ditempuhi kerana di UIAM ini mempunyai ramai pelajar antarabangsa, disamping itu saya akan cuba mendekati pelajar-pelajar dengan cara turun padang supaya kita dapat dengar permasalahan mereka.”

Ia turut disokong oleh Timbalan Presiden 3, Siti Aminah Bt. Mohd Naim@Mohd Zuki pelajar Jurusan Teknologi Maklumat, tahun 2; “walaupun sibuk dengan belajar, tapi tanggungjawab yang diberikan akan saya laksana dengan baik serta memastikan tujuan serta dapat membantu rakan-rakan, namun sokongan serta kerjasama amat diperlukan supaya kita sama-sama dapat manfaat.”katanya.

Majlis Anugerah sukan UIAM 2010

oleh Ruslan Rusly



Setiap tahun Pusat Sukan dan Rekreasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) mengiktiraf jasa-jasa dan keringat setiap kejayaan yang dicapai oleh atlet-atlet serta jurulatih yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan dan kejayaan sukan yang telah mengharumkan nama universiti di peringkat dalam dan luar negara serta sekali gus yang mewakili negara dalam acara masing-masing.

Bertempat di Peransang Templer Golf Club, Rawang, Majlis Anugerah Sukan UIAM 2010 telah pun berlangsung baru-baru ini. Sebanyak 10 kategori anugerah disediakan kepada semua atlet-atlet serta jurulatih. Antaranya ialah Anugerah Kepimpinan Sukan, Anugerah Rakan Sukan, Anugerah Kumpulan Terbaik,Anugerah Jurulatih Terbaik dan Anugerah Ikon Sukan.

Antara ojektif penganjuran majlis ini ialah untuk menghargai jasa-jasa mereka yang telah mengharumkan nama universiti dan negara, menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam bidang sukan dan pelajaran, untuk menjadikan para atlet ini sebagai contoh atau ikon kepada pelajar yang lain serta mempergiatkan lagi aktiviti bersukan.
Turut hadir pada malam tersebut ialah Ybhg. Datuk Ab. Rahim Md.Noor , Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi(KPT) dan Ybhg. Prof. Dato’ Sri. Dr. Syed Arabi Idid, Rektor UIAM.

Dalam ucapan, Syed Arabi berkata; “dengan adanya majlis sebegini, ia adalah sebagai satu platform atau landasan untuk menaikkan lagi semangat para atlet supaya mereka dapat melakukan yang terbaik bukan sahaja untuk diri-sendiri dan Universiti malah untuk Malaysia”

Pemilihan bukan sahaja untuk mereka yang berjaya dalam bidang sukan semata-mata, malah pencapaian dalam akademik juga turut diambil kira untuk setiap kategori yang dipertandingkan.

Menurut Datuk Ab.Rahim; “Setiap kejayaan dan pencapaian perlulah dikekalkan kerana masa depan negara kita terletak di tangan generasi muda dan berharap supaya akan meneruskan kejayaan dalam bidang sukan keperingkat yang lebih tinggi”.
Bahagian Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi dalam pada itu telah pun memilih UIAM sebagai Pusat Sukan yang fokusnya kepada pembangunan sukan futsal diperingkat Universiti, Kebangsaan dan terus keperingkat antarabangsa.

Kemuncak majlis ialah Anugerah Olahragawan dan Olahragawati UIAM, antara kriteria yang ditetapkan oleh pihak penjurian ialah atlet yang pernah mewakili negara,negeri dan universiti(MASUM) sepanjang pengajian mereka di universiti dan mendapat CGPA 2.50 keatas serta mempunyai disiplin yang baik, mereka juga haruslah aktif dalam menyertai sebarang aktiviti sukan yang dianjurkan universiti.
Untuk Olahrawan UIAM 2010, pihak penjurian sebulat suara telah memilih Mohamad Nuzul Azwan B. Ahmad Temizi dari sukan Petanque(Boling Padang).

Pencapaian Mohamad Nuzul ialah mendapat tempat ke-6 di Kejohanan Dunia Petanque di Turki, tempat kedua di Petanque Pan Pacific di Sigapura, Pingat emas peringkat kumpulan dan pingat Perak dalam SUKMA,Melaka.

Olahragawati UIAM 2010 telah dimenangi oleh Ruwaida bt. Rosdin dari sukan Bola Jaring. Beliau dipilih kerana telah menjadi penjaring terbaik dan pemain terbaik daalm sukan MASUM.

Sambutan Maulidur Rasul UIAM meriah


oleh Ruslan Rusly

Seramai 800 orang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) menggunakan masa cuti perkualiahan mereka untuk bersama-sama menyambut hari kelahirahan Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1432H di UIAM Kampus Gombak baru-baru ini.
Majlis sambutan Maulidur Rasul ini dianjurkan oleh Pejabat Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM bersama-sama dengan Mahallah(hostel) Siddiq, Farouq dan Halimatus Sa’adiah.

Antara objektif penganjuran Majlis Sambutan ini ialah untuk mengajak semua pelajar UIAM bersama mengenang kembali sejarah hidup dan perjuangan Baginda.
Pada tahun ini, perarakan bermula di Stadium Komplek Sukan Lelaki dan berakhir di Masjid UIAM. Setiap pelajar mewakili Mahallah mereka masing-masing. Sebanyak 7 mahallah perempuan dan 10 mahallah lelaki mengambil bahagian di dalam perarakan tersebut yang jaraknya hampir 2kilometer. Setiap kumpulan membawa sepanduk serta berselawat memuji Rasulullah..

Walaupun cahaya matahari mula memancar tetapi setiap pesertanya bersemangat. Selain pelajar, turut serta juga ialah Prof. Dr. Ahmad Faris Ismail, Timbalan Rektor (Penyelidikan & Innovasi), Dato’ Hamidon Abdul Hamid, Pengarah Masjid UIAM, felo-felo dan kakitangan UIAM.


Banyak program yang dijalankan sepanjang penganjuran Sambutan Maulidur Rasul tersebut yang berlangsung di Masjid, antaranya ialah Qasidah, Taranum dan Qiraat, Bacaan Al-Quran, Selawat, Tayangan Drama Maulidur Rasul.

Bersempena dengan Majlis sambutan tersebut minggu zikrulmaut turut berlangsung dengan mengadakan pelbagai program menarik seperti pengurusan jenazah,kursus penyembelihan, forum dan bual bicara.
Majlis sambutan tersebut turut di meriahkan dengan kehadiran kumpulan nasyid tanahair Kumpulan Inteam. Mereka menyampaikan qasidah, bacaan Al-Quran dan selawat Nabi.

Pihak penganjur juga turut mengadakan pertandingan untuk peserta iaitu pertandingan Kumpulan Terbaik Lelaki & Wanita serta Sepanduk Terbaik.
Menurut salah seorang peserta Mohd Azizul Fadzli bin Azman, pelajar tahun 3, kulliyah Kejuruteraan berkata; “dengan adanya sambutan sebegini, kami sebagai mahasiswa dapat mengenang kembali sejarah serta perjuangan Baginda serta ia sebagai motivasi kepada kami untuk terus berjuang dalam pembelajaran sehingga berjaya.”
Nabi Muhammad S.A.W boleh dijadikan sebagai idola kepada semua mahasiswa kerana perjuangan Baginda untuk menegakkan syiar Islam tidak pernah berhenti dan ia perlu dijadikan sebagai contoh kepada mahasiswa untuk terus berusaha didalam pembelajaran mereka.

Pendapat tersebut turut disokong oleh seorang lagi perserta sambutan, Siti Nor Amirah bt Sheikh Ahmad Tajuddin pelajar tahun2, kulliyyah Kejuruteraan; ”sambutan maulidur Rasul ini bukan sekadar berarak dan berselawat yang penting ialah penghayatan serta pengisian, kita belajar kepayahan, kesusahan serta kesabaran dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar universiti yang jauh daripada keluarga.”

Dalam ucapan Prof. Dr. Ahmad Faris berkata; “setiap pelajar perlulah mengambil iktibar daripada sejarah kehidupan Baginda kerana semangat serta kekuatan Baginda boleh dijadikan sebagai pembakar semangat kepada kita semua dan Baginda perlulah dijadikan idola sampai bila-bila kerana sikap dan sifat Rasulullah S.A.W adalah yang terpuji.”


Pengarah Program Muhammad Farid Izzuddin bin Kamarudin,pelajar tahun2 mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat didalam menjayakan majlis ini serta pada tahun ini penyertaan amat menggalakkan dimana pada tahun lepas jumlah penyertaan hanya 500orang pelajar dan pada tahun ini meningkat dan ini menunjukkan bahawa semangat dan cinta pelajar UIAM kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W tetap utuh,katanya.

Karnival sukan Universiti semarakkan semangat kesukanan pelajar UIAM



oleh Ruslan Rusly

Dalam usaha untuk mencari bakat-bakat baru yang bergiat aktif didalam sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) menganjurkan Karnival Sukan Universiti. Karnival ini di anjurkan oleh kolej-kolej kediaman(Mahallah) seperti Mahallah Ali,Mahallah Uthman,Mahallah Farouq, Mahallah Maryam dan Mahallah Saffiyah dengan kerjasama daripada Pusat Sukan dan Rekreasi UIAM. Karnival yang berlangsung selama 5 hari bermula 10 hingga 15 januari 2011 di adakan di Komplek Sukan lelaki dan wanita.
Karnival Sukan Universiti ini adalah salah satu peristiwa yang paling ditunggu-tunggu oleh pelajar yang diadakan oleh Mahallah setiap tahun. Semua pelajar dari Mahallah akan menyertai dalam pelbagai permainan diadakan sepanjang karnival. Tema Karnival Sukan Universiti pada tahun ini ialah “Roaring to Glory”.

Sebanyak 16 pasukan yang mewakili mahallah masing-masing untuk menyertai 6 acara yang dipertandingkan yang dibahagikan kepada 2 kategori iaitu wanita dan lelaki seperti futsal, permianan chess, bola jaring, hoki, bola tampar dan ping-pong.

Antara tujuan atau objektif penganjuran Karnival Sukan Universiti ini ialah untuk mempromosikan integrasi antara pelajar melalui sukan, menghasilkan atlet berpotensi untuk mewakili universiti untuk Masum dan kejohanan kebangsaan yang lain serta mendorong pelajar untuk terlibat dalam pelbagai kegiatan sukan sepanjang karnival.



Apa yang menariknya ialah karnival sukan ini di uruskan oleh para pelajar dari setiap mahallah dan ini memberikan kesempatan bagi para pelajar baik tempatan mahupun antarabangsa untuk terlibat bersama-sama dalam acara ini bermakna.

Hal ini akan mengembangkan kemampuan mereka dalam pengurusan acara dan komunikasi dan memperkukuhkan persaudaraan Islam mereka. Pada masa yang sama, Karnival Sukan Universiti ini juga menyediakan platform bagi para pelajar untuk meningkatkan kecergasan fizikal dan bakat dalam sukan dan permainan selain dapat mengurangkan tekanan mereka dalam belajar.

Pada majlis penutup dan penyampaian hadiah, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, Timbalan Rektor(Hal Ehwal Pelajar ) berkata; “dengan adanya program sebegini kita dapat melahirkan generasi yang sihat bukan sahaja melahirkan cendiakawan tetapi melahirkan insan yang cemerlang yang mempunyai akal yang bijak dan tubuh yang sihat dan semangat persaudaraan dapat dipereratkan lagi”.

Penyelidik UIAM hasilkan Teh Herba bantu baiki masalah buah pinggang dan hati.

oleh Ruslan Rusly


Hasil daripada kajian dan penyelidikan yang menyeluruh, Pensyarah dari BIOHEAL RESEARCH GROUP, Jabatan Sains Pemakanan, Kulliyah Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) Kampus Kuantan, Dr. Norazlanshah Hazali telah berjaya menghasilkan Teh Herba Misai Kucing dan Mas Cotek di bawah jenama UIA HERBS.

Orthosiphon Stamineus adalah nama saintifik untuk Misai Kucing manakala ficus deltoidea merujuk kepada Mas Cotek. Kajian yang dijalankan selama tiga tahun telah membawa kepada satu penemuan baru dalam industri sains makanan. Hasil gabungan diantara Herba Misai Kucing dan Herba Mas Cotek dapat membantu mereka yang mempunyai masalah buah pinggang serta memulihkan sel-sel hati.

Menurut Dr. Norazlan, kajian yang dilakukan memakan masa selama tiga tahun adalah untuk memastikan bahawa kandungan-kandungan yang terdapat pada herba-herba tersebut adalah baik serta kajian yang dilakukan keatas produk tersebut diformula secara sainstifik yang mana kajian demi kajian dilakukan adalah berturut-turut untuk memastikan ia capai kepada satu standart yang di tetapkan.

“saya memilih herba MasCotek dan Misai Kucing ini untuk dijadikan minuman adalah supaya kita dapat mengetengahkan herba-herba yang kita ada, apa yang dapat kita lihat ialah herba yang popular sekarang ini ialah Tongkat Ali dan Kacip Fatimah, jadi rentetan itu saya memilih kedua-dua herba ini untuk dijadikan bahan kajian supaya dapat lihat apa khasiat yang tersembunyi pada herba tersebut dan ia juga salah satu langkah untuk kita mempromosi produk herba kita ke peringkat yang lebih tinggi”.

Antara khasiat-khasiat yang boleh didapati dalam Teh Herba gabungan Misai Kucing dan Mas Cotek ini ialah ianya kaya dengan agen antioksidan, dapat menyingkirkan toksik dalam badan dan yang paling utama ialah ia beupaya untuk memulihkan sel hati sesuai untuk penghidap darah tinggi dan mampu memperbaiki sel ginjal ataupun mereka yang mempunyai masalah buah pinggang seperti batu karang dan mereka yang sedang menjalani rawatan hemodialisis.

“ Produk minuman teh herba ini telah pun terbukti khasiatnya dimana seramai 200 testimoni yang telah saya temui dan kebanyakkan daripada testimoni tersebut adalah mereka yang mengalami masalah darah tinggi dan buah pinggang memberikan maklum balas yang positif”.ujarnya.

Produk yang dihasilkan bukan semata-mata untuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan, ia juga boleh diminum oleh sesiapa sahaja walaupun mereka tidak mempunyai penyakit seperti buah pinggang dan masalah hati.
“Minuman teh herba ini boleh dijadikan sebagai minuman kesihatan atau minuman harian sebagai supplemen untuk mencegah daripada penyakit dan membuang toksin dalam badan”.katanya

Dr.Norazlanshah juga merupakan pemenang tunggal pingat emas dari UIAM di Malaysia Technology Expo(MTE2011) dalam kategori Inovasi, Penemuan dan Teknologi baru-baru ini.

Kempen Keselamatan Jalanraya UIAM


oleh Ruslan Rusly
Bagi meningkatkan kesedaran berkenaan dengan keselamatan jalan raya, Unit Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan(OSHU) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) telah pun bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya(JKJR) Selangor bersama-sama menjalankan Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya di UIAM Gombak.
Kempen yang dijalankan selama satu hari ini banyak memberikan pendedahan kepada warga UIAM tentang perlunya keselamatan jalan raya terutamanya penggunaan tali pinggang dan topi keledar.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah pemeriksaan topi keledar, pertukaran topi keledar lama kepada yang baru, pemeriksaan pemakaian tali pinggang keledar dan mengedarkan risalah.
Turut hadir pada kempen tersebut ialah Pengarah Unit Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan UIAM En. Hamdan Adnan, En. Yusoff Hashim penolong Pengarah JKJR Selangor.
Antara objektif penganjuran kempen ini ialah untuk memberikan kesedaran dan pendedahan kepada warga UIAM secara khususnya dan kepada orang diluar sana secara amnya. Kempen yang dijalankan secara berterusan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kemalangan dan kecederaan yang berlaku di dalam kampus walaupun peratusannya tidak tinggi.
Menurut En. Hamdan; “ kempen keselamatan jalanraya kali ini sudah masuk tahun ke empat dan kita di UIAM sangat berterima kasih dengan JKJR Selangor kerana sudi bersama-sama UIAM untuk anjurkan kempen kesedaran ini secara berterusan”.
Seorang pelajar  tahun 3, kulliyyah kejuruteraan Muhammad Yusof Mohamed Bakary berkata; “ dengan adanya kempen ini, kami para pelajar dapat didedahkan dengan risiko-risiko yg boleh menyebabkan kemalangan dan kecederaan, selain itu juga, kami dapat maklumat seperti tempoh hayat atau tempoh luput sesebuah topi keledar.”
Selain penunggang motosikal, mereka yang memandu kereta juga turut tidak terlepas di dalam penganjuran kempen ini, pegawai daripada JKJR dan Unit Keselamatan Trafik UIAM turut mengadakan pemeriksaan pemakaian tali pinggang keselamatan baik pemandu dan penumpang di depan dan di belakang.
Penolong Pengarah JKJR Selangor, En. Yusoff Hashim berkata; “ sepanjang pengajuran kempen keselamatan jalanraya ini berlangsung, apa yang dapat dilihat ialah seluruh warga UIAM mematuhi segala aspek keselamatan dan papan-papan tanda memakai topi dan tali pinggang keledar di sekitar UIAM juga di pamerkan, ini adalah sebagai salah satu advokasi berterusan yang baik untuk didedahkan kepada semua supaya mereka dapat menjaga keselamatan diri mereka dan orang lain.”