Monday 14 September 2015

MAJLIS PENGHARGAAN PASUKAN BOLA SEPAK UIAM

Prof. Dr. Mizan Hitam(tengah) bersama para pemain Pasukan Bola Sepak UIAM "IIUM Mustang" pada majlis penghargaan yang diadakan di UIAM Kampus Gombak

Oleh Roslan Rusly

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) Ybhg. Prof Datuk Dr. Mizan Hitam hari ini hadir pada majlis penghargaan untuk pasukan bola sepak UIAM di Kampus Gombak. Majlis yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Sukan UIAM adalah untuk menghargai dan meraikan para pelajar yang  cemerlang dalam bidang sukan bola sepak.

Untuk rekod Pasukan Bola Sepak UIAM iaitu Pasukan IIUM Mustang telah menjadi Johan Divisyen tiga tahun 2014 pada kejohanan liga Institut Pengajian Tinggi(IPT).

Pada tahun 2015, pasukan ini juga telah menjadi Johan Divisyen dua dan tahun hadapan pasukan bola sepak ini akan bermain untuk divisyen satu.

Selain itu juga, pasukan bola sepak IIUM MUSTANG ini turut merangkul pingat gangsa untuk Kejohanan Piala FA iaitu Liga IPT. Untuk Kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia(MASUM) pasukan bola sepak ini layak hingga ke separuh akhir dan suku akhir untuk piala menteri pengajian tinggi.

Salah seorang pemain daripada pasukan ini terpilih dalam mewakili Malaysia untuk Kejohanan Bola Sepak MasThai di Chiang Mai yang akan berlangsung pada 18 hingga 22 september ini.

Prof. Mizan ketika ditemui berkata beliau amat menghargai penat lelah yang telah ditunjukkan oleh para pelajar dalam menaikkan lagi nama Universiti dalam arena sukan.

"Saya mengharapkan agar semua pemain dapat bersama-sama menaikkan lagi nama Universiti namun dalam masa yang sama kecermelangan dalam bidang akademik sama seiring dengan bidang sukan".Ujarnya

Tuesday 26 August 2014

MAJLIS TAHLIL DAN DOA SELAMAT WARGA UIAM UNTUK JENAZAH MH17



Tan Sri Rais(tengah) turut bersama-sama warga UIAM menunaikan solat Jenazah Gahib untuk Jenazah mangsa MH17 yang tiba.
 Oleh Roslan Rusly
 Pix// Roslan Rusly

 Warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) turut berasa sedih dan terkesan keatas kejadian yang berlaku kepada semua penumpang MH17.

 Bersempena dengan hari berkabung pada hari ini, Pejabat Masjid Sultan Hj.Ahmad Shah UIAM Gombak mengadakan Majlis Tahlil dan Doa Selamat untuk mangsa  MH17 yang tiba di tanahair pada hari ini.

Majlis ini turut dihadiri Presiden UIAM yang juga penasihat Kerajaan dalam Sosio dan Kebudayaan, Tan Sri Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim serta barisan pihak pengurusan UIAM.

Dalam majlis yang sama khutbah Jumaat khas turut disampaikan oleh Dr. Noor Amali Mohd Daud, Pensyarah Kulliyyah Ilmu Wahyu UIAM.Topik yang  berkaitan dengan tragedi yang berlaku yang disampaikan kepada 1500 jemaah yang hadir.

Rais ketika ditemui berkata," Majlis tahlil yang diadakan ini adalah salah satu cara kita warga UIAM bersama-sama dengan jutaan rakyat Malaysia merasai kesedihan yang dialami oleh keluarga mangsa, selain itu juga kita semua turut mendoakan agar negara kita sentiasa dalam keadaan harmoni dan kita turut mendoakan agar kejadian seperti yang sama tidak berulang."

Selesai sahaja solat jumaat, satu solat Jenazah Ghaib turut di adakan untuk jenazah-jenazah yang tiba pada hari ini. Solat tersebut diImamkan oleh Pegawai Agama Masjid UIAM, Ust. Ramadhan Subky Abdullah.

Thursday 14 August 2014

IIUM BIKERS REALISASI IMPIAN PESAKIT JANTUNG MELIHAT MOTORSIKAL BERKUASA TINGGI LEBIH DEKAT

Muhammad Fikri Hakim Sikin @ Jaudin, 13, bergambar bersama motorsikal berkuasa tinggi milik seorang ahli IIUM Bikers ketika berkunjung ke rumahnya baru-baru ini.
Oleh Muhammad Fakhrurrazi
Pix // Roslan Rusly

Muar, Johor 10 Ogos  – Penyakit yang dihidapinya hanya satu dalam sejuta, walaupun disahkan menghidap sejenis penyakit jantung yang jarang di jumpai, tidak menghalang ibu bapanya menyempurnakan impian adik Muhammad Fikri Hakim Sikin @ Jaudin, 13, ingin melihat motorsikal berkuasa tinggi dengan lebih dekat.
Sebanyak 13 buah motorsikal berkuasa tinggi milik pensyarah dan kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari jenis Kawasaki, Harley Davidson, Honda dan pelbagai jenama lain menyertai kembara menziarahi adik Muhammad Fikri dari ibu negara ke rumah beliau di Bukit Pasir, Muar, Johor bagi merealisasikan hasrat insan malang itu sebelum menutup mata. 

Penyakit ‘Double outlet right bentrical’ yang dihidapi Muhammad Fikri dikesan sejak beliau berusia enam bulan akibat saluran darah dibahagian jantungnya dan jantung berlubang menyebabkan beliau sering demam dan batuk berpanjangan.
Ibunya seorang suri rumah, Kamariah Mat Daud, 44, ketika ditemui berkata keadaan Muhammad Fikri semakin kritikan semenjak Mei lepas dan kini bergantung hidup kepada bantuan oksigen yang terpaksa digunakan seharian.
  "Terima kasih diucapkan kepada IIUM Bikers kerana sanggup mengembara ke Muar bagi merealisasikan impian anak saya yang sejak kecil teringin sangat melihat motorsikal berkuasa tinggi dengan lebih dekat,” katanya ketika ditemui dirumahnya baru-baru ini.

Kunjungan berkenaan turut disertai wakil Ikram Bikers dan Muar Bikers. Kamariah berkata sejak anak keduanya menghidap penyakit berkenaan, beliau dan suaminya kerap membawa Muhammad Fikri ke Hospital Muar dan ke Institut Jantung Negara di ibu negara untuk mendapatkan rawatan.
Seorang ahli IIUM Bikers memakaikan topi kepada Muhammad Fikri
  
 “Hati saya semakin sayu dan bimbang apabila memikirkan nasib yang menimpa Muhammad Fikri apatah lagi sejak kebelakangan ini beliau terpaksa kerap berulang-alik ke hospital dan kini terpaksa bergantung hidup dengan tabung gas oksigen sahaja sepanjang hari.



Ribuan ringgit telah dilaburkan untuk kos rawatan Muhammad Fikri, dan kini terpaksa pula menggunakan bantuan oksigen sepanjang hari, nasib baiklah mesin oksigen diberi pinjam oleh pihak Hospital Muar selama tiga bulan bermula Julai lepas, kini kami sedang mengumpul dana pula untuk membeli mesin itu apabila tempoh pinjaman tamat kelak,” katanya.
Kamariah berkata keadaan kesihatan Muhammad Fikri yang semakin tenat menyebabkan pembelajarannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Pasir sering terganggu kerana kerap ke hospital. Kamariah mempunyai dua lagi anak iaitu Muhammad Farhan Harith, 13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Pasir dan Nur Fatini Nadhirah 12 tahun di Sekolah Rendah Sri Bukit Pasir.


Menambah derita keluarga berkenaan apabila Kamariah disahkan menghidap kanser payu dara pada Ogos 2012 dan terpaksa menjalani pembedahan membuang payudara sebelah kanannya.Kamariah berkata kini keluarganya hanya bergantung kepada suaminya Sikin@Jaudin Lasas, 45, yang berkerja sebagai pemandu lori di sebuah kilang perabot di Muar.
“Setakat ini Muhammad Fikri telah mendapat bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150 bermula bulan ini dan say pernah juga memohon bantuan daripada Baitulmal pada 2012 tetapi sehingga kini belum ada jawapan,” katanya.

Sementara itu Muhammad Fikri ketika ditemui enggan ditemuramah dan kelihatan terkejut dengan kehadiran IIUM Bikers ke rumahnya. Bagaimanapun selepas hampir sejam bersama IIUM Bikers , beliau mula menunjukkan reaksi gembira apabila dapat bergambar bersama motorsikal Harley Davidson milik seorang ahli IIUM Bikers.





Penasihat IIUM Bikers Datuk Hamidon Abdul Hamid ketika ditemui berkata sebaik mendengar mengenai masalah adik Muhammad Fikri, beliau terus berbincang bersama rakan lain untuk berkonvoi ke Muar untuk menziarah.
Ahli IIUM Bikers bergambar bersama adik Muhammad Fikri Hakim Sikin @ Jaudin, 13, (tengah) yang menghidap penyakit jantung berlubang ketika berkunjung ke rumahnya baru-baru ini.
"Kumpulan motorsikal berkuasa tinggi ini bukanlah hanya untuk berseronok dan beriadah sahaja, malahan ia boleh menjadi satu program kebajikan seperti menggembirakan pesakit jantung seperi Muhammad Fikri," katanya.
Pertemuan itu turut diisi dengan solat hajat dan tazkirah ringkas dan seterusnya Hamidon turut menyampaikan sumbangan duit raya dan sehelai baju t-shirt IIUM Bikers kepada Muhammad Fikri.
   Orang-ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada adik Muhammad Fikri boleh berbuat demikian ke akaun Maybank Kamariah Mat Daud nombor akaun 151101140981 atau menghubungi Kamariah di nombor 019-7875070 di alamat Nombor 27, Taman Bahagia, Bukit Pasir, 84300, Muar, Johor.
                                                                              ###

Sunday 20 July 2014

LAWATAN ILMIAH PELAJAR UNDANG-UNDANG UIAM KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM



 
Oleh Roslan Rusly
Seramai 21 orang pelajar jurusan undang-undang daripada Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah membuat satu lawatan Ilmiah di negara Brunei Darussalam. Selama lima hari mereka memperoleh pengalaman serta ilmu berkaitan dengan sistem perundangan Islam di negara tersebut baru-baru ini.

Objektif utama program ini adalah untuk mengetahui peranan agensi-agensi perundangan yang berkaitan dan pihak berkuasa di Brunei Darussalam sebagai struktur organisasi utama dalam mengurus selia Sistem Perundangan Islam yang baru berkuat kuasa pada tahun ini.
Banyak tempat yang dilawati oleh para pelajar tersebut. Matlamat program ini adalah sebagai salah satu cara untuk mereka mengetahui struktur serta cara pengendalian hukum-hukum dalam ruang lingkup syariah. 

Antara tempat mereka lawati ialah University Islam Sultan Sharif Ali (Unissa), Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei.

Kedatangan rombongan disambut mesra oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Tuan yang Terutama Datuk Awang Sahak Bin Awang Salleh dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Puan Haznah Md Hashim serta pegawai dan kakitangan kedutaan.

Persatuan Pelajar Undang-Undang UIAM juga mengambil peluang untuk mengukuhkan hubungan antara Persatuan Pelajar Undang-Undang Pelajar UIAM dan Persatuan Pelajar undang-undang UNISSA. Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei.

Lawatan ini mendapat sokongan daripada Presiden UIAM sendiri iaitu Ybhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dengan memberi penajaan melalui Tabung  Amanah Presiden UIAM.  Presiden UIAM juga adalah seorang pegamal undang-undang dan sentiasa memberi sokongan terhadap apa juga aktiviti ilmiah pelajar dalam mengembangkan lagi ilmu.

Sunday 13 July 2014

PELAJAR UIAM TERIMA ANUGERAH KEMANUSIAAN MUHAMMAD ALI DARI AMERIKA SYARIKAT


Mastura Mohd Rashid(kiri) bersama rakan sukarelawan "The Nasi Lemak Project"
Oleh Roslan Rusly
pix// The Nasi Lemak Project

Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) Mastura Mohd Rashid, 24tahun  pelajar jurusan Sains Kemanusiaan dalam bidang Sejarah menerima Anugerah Kemanusiaan Muhammad Ali daripada Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur atas usaha beliau memberi makan dan membantu untuk golongan yang kurang bernasib baik. 

Pada tahun 2012, hasil cetusan idea untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik maka tertubuhlah “The Nasi Lemak Projek”. Menerusi program Dapur Jalanan projek ini lebih terarah kepada golongan gelandangan dengan mengedarkan makanan yang berada disekitar bandaraya.

Mastura yang juga pengasas The Nasi Lemak Project ini ketika ditemui berkata, “Projek Nasi Lemak ini tidak terikat dengan mana-mana pihak  dan inisiatif yang dilakukan oleh golongan belia sendiri.”

Selain itu juga, projek ini mendapat kerjasama daripada NGO yang lain seperti dari Kechara Soup kitchen, Pertiwi Soup Kitchen dengan bantuan para sukarelawan yang rata-rata daripada pelajar UIAM dan rakan-rakan sukarelawan yang lain dan hampir 300 sukarelawan bertungkus –lumus menggerakkan projek ini.


Projek yang dijalankan ini bukan sahaja berfokus kepada golongan gelandangan, malah ia juga mempunyai kumpulan sasar iaitu di kawasan luar bandar dengan mengadakan program kelas percuma setiap minggu untuk anak-anak miskin bandar yang tidak mampu tuisyen, pencapaian rendah dan tidak mampu sekolah serta mengadakan pembelajaran secara intensif dengan membimbing kanak-kanak sekolah mula dari UPSR,PMR dan SPM.

"untuk projek motivasi kami para sukarelawan akan masuk kekawasan yang penduduknya rata-rata mengamalkan cara bersederhana seperti kawasan kampung,sekitar rumah flat dan merata tempat".tambahnya lagi.




Anugerah Kemanusiaan Muhammad Ali

Anugerah Kemanusiaan Muhammad Ali adalah anugerah yang diberikan Yayasan Ali yang berpengkalan di Kentucky, Amerika Syarikat. 

"pihak kedutaan Amerika ada membuka geran penbiayaan untuk projek-projek kemanusiaan di bawah Yayasan Muhammad Ali, jadi saya tidak melepaskan peluang untuk menghantar penyertaan dan Alhamdulillah projek ini terpilih dan kami mendapat dana sebanyak RM10,000.00 dari pihak kedutaan."ujarnya.

Pihak kedutaan Amerika juga telah mencalonkan "The Nasi Lemak Project" kerana projek ini mendapat pembiayaan dari pihak kedutaan sendiri. Setiap kedutaan akan menyediakan geran untuk menjalankan projek-projek kemanusiaan.

"Saya tidak pernah tahu tentang wujudnya anugerah ini sehinggalah pihak Yayasan Ali menghantar email serta menghubungi pihak kedutaan Amerika mengesahkan tentang kejayaan ini",katanya lagi.



Mastura akan ke Amerika Syarikat pada bulan september nanti untuk majlis penganugerahan yang akan berlangsung di Kentucky, Amerika Syarikat.Semua pembiayaan tiket penerbangan dan kemudahan disana adalah ditanggung oleh Kedutaan Amerika.


Beliau menambah di samping gembira, beliau juga tidak pernah menjangkakan akan memenangi anugerah itu.
"The Nasi Lemak Projek" telah pun didaftarkan di Pertubuhan Pendaftaran Persatuan(R.O.S) di bawah nama Pertubuhan Kebajikan Sukarelawan Malaysia.


"perasaan saya adalah amat gembira kerana hasil daripada kerjasama semua pihak serta semangat para sukarelawan yang terlibat dan ia juga menyuntik semangat kami untuk terus berbakti".,ujarnya lagi.




Anugerah Kemanusiaan Muhammad Ali dinamakan sempena bekas lagenda peninju profesional Amerika dan anugerah ini ialah untuk menghargai kehebatan orang-orang dari seluruh dunia yang membuat perbezaan dalam komuniti mereka.


Selain anugerah ini diberikan kepada mereka yang banyak membuat aktiviti kemanusiaan, Terdapat juga anugerah untuk generasi-generasi muda yang menunjukkan kesungguhan mengikut Enam Prinsip Teras Anugerah tersebut antaranya ialah, Keyakinan, Penglibatan, Dedikasi, Sifat memberi, Hormat-menghormati dan Kerohanian.
Berita Harian 21/7/2014

Utusan Malaysia 16/7/2014