Sunday 20 July 2014

LAWATAN ILMIAH PELAJAR UNDANG-UNDANG UIAM KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM



 
Oleh Roslan Rusly
Seramai 21 orang pelajar jurusan undang-undang daripada Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah membuat satu lawatan Ilmiah di negara Brunei Darussalam. Selama lima hari mereka memperoleh pengalaman serta ilmu berkaitan dengan sistem perundangan Islam di negara tersebut baru-baru ini.

Objektif utama program ini adalah untuk mengetahui peranan agensi-agensi perundangan yang berkaitan dan pihak berkuasa di Brunei Darussalam sebagai struktur organisasi utama dalam mengurus selia Sistem Perundangan Islam yang baru berkuat kuasa pada tahun ini.
Banyak tempat yang dilawati oleh para pelajar tersebut. Matlamat program ini adalah sebagai salah satu cara untuk mereka mengetahui struktur serta cara pengendalian hukum-hukum dalam ruang lingkup syariah. 

Antara tempat mereka lawati ialah University Islam Sultan Sharif Ali (Unissa), Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei.

Kedatangan rombongan disambut mesra oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Tuan yang Terutama Datuk Awang Sahak Bin Awang Salleh dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Puan Haznah Md Hashim serta pegawai dan kakitangan kedutaan.

Persatuan Pelajar Undang-Undang UIAM juga mengambil peluang untuk mengukuhkan hubungan antara Persatuan Pelajar Undang-Undang Pelajar UIAM dan Persatuan Pelajar undang-undang UNISSA. Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei.

Lawatan ini mendapat sokongan daripada Presiden UIAM sendiri iaitu Ybhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dengan memberi penajaan melalui Tabung  Amanah Presiden UIAM.  Presiden UIAM juga adalah seorang pegamal undang-undang dan sentiasa memberi sokongan terhadap apa juga aktiviti ilmiah pelajar dalam mengembangkan lagi ilmu.

Sunday 13 July 2014

PELAJAR UIAM TERIMA ANUGERAH KEMANUSIAAN MUHAMMAD ALI DARI AMERIKA SYARIKAT


Mastura Mohd Rashid(kiri) bersama rakan sukarelawan "The Nasi Lemak Project"
Oleh Roslan Rusly
pix// The Nasi Lemak Project

Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) Mastura Mohd Rashid, 24tahun  pelajar jurusan Sains Kemanusiaan dalam bidang Sejarah menerima Anugerah Kemanusiaan Muhammad Ali daripada Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur atas usaha beliau memberi makan dan membantu untuk golongan yang kurang bernasib baik. 

Pada tahun 2012, hasil cetusan idea untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik maka tertubuhlah “The Nasi Lemak Projek”. Menerusi program Dapur Jalanan projek ini lebih terarah kepada golongan gelandangan dengan mengedarkan makanan yang berada disekitar bandaraya.

Mastura yang juga pengasas The Nasi Lemak Project ini ketika ditemui berkata, “Projek Nasi Lemak ini tidak terikat dengan mana-mana pihak  dan inisiatif yang dilakukan oleh golongan belia sendiri.”

Selain itu juga, projek ini mendapat kerjasama daripada NGO yang lain seperti dari Kechara Soup kitchen, Pertiwi Soup Kitchen dengan bantuan para sukarelawan yang rata-rata daripada pelajar UIAM dan rakan-rakan sukarelawan yang lain dan hampir 300 sukarelawan bertungkus –lumus menggerakkan projek ini.


Projek yang dijalankan ini bukan sahaja berfokus kepada golongan gelandangan, malah ia juga mempunyai kumpulan sasar iaitu di kawasan luar bandar dengan mengadakan program kelas percuma setiap minggu untuk anak-anak miskin bandar yang tidak mampu tuisyen, pencapaian rendah dan tidak mampu sekolah serta mengadakan pembelajaran secara intensif dengan membimbing kanak-kanak sekolah mula dari UPSR,PMR dan SPM.

"untuk projek motivasi kami para sukarelawan akan masuk kekawasan yang penduduknya rata-rata mengamalkan cara bersederhana seperti kawasan kampung,sekitar rumah flat dan merata tempat".tambahnya lagi.




Anugerah Kemanusiaan Muhammad Ali

Anugerah Kemanusiaan Muhammad Ali adalah anugerah yang diberikan Yayasan Ali yang berpengkalan di Kentucky, Amerika Syarikat. 

"pihak kedutaan Amerika ada membuka geran penbiayaan untuk projek-projek kemanusiaan di bawah Yayasan Muhammad Ali, jadi saya tidak melepaskan peluang untuk menghantar penyertaan dan Alhamdulillah projek ini terpilih dan kami mendapat dana sebanyak RM10,000.00 dari pihak kedutaan."ujarnya.

Pihak kedutaan Amerika juga telah mencalonkan "The Nasi Lemak Project" kerana projek ini mendapat pembiayaan dari pihak kedutaan sendiri. Setiap kedutaan akan menyediakan geran untuk menjalankan projek-projek kemanusiaan.

"Saya tidak pernah tahu tentang wujudnya anugerah ini sehinggalah pihak Yayasan Ali menghantar email serta menghubungi pihak kedutaan Amerika mengesahkan tentang kejayaan ini",katanya lagi.



Mastura akan ke Amerika Syarikat pada bulan september nanti untuk majlis penganugerahan yang akan berlangsung di Kentucky, Amerika Syarikat.Semua pembiayaan tiket penerbangan dan kemudahan disana adalah ditanggung oleh Kedutaan Amerika.


Beliau menambah di samping gembira, beliau juga tidak pernah menjangkakan akan memenangi anugerah itu.
"The Nasi Lemak Projek" telah pun didaftarkan di Pertubuhan Pendaftaran Persatuan(R.O.S) di bawah nama Pertubuhan Kebajikan Sukarelawan Malaysia.


"perasaan saya adalah amat gembira kerana hasil daripada kerjasama semua pihak serta semangat para sukarelawan yang terlibat dan ia juga menyuntik semangat kami untuk terus berbakti".,ujarnya lagi.




Anugerah Kemanusiaan Muhammad Ali dinamakan sempena bekas lagenda peninju profesional Amerika dan anugerah ini ialah untuk menghargai kehebatan orang-orang dari seluruh dunia yang membuat perbezaan dalam komuniti mereka.


Selain anugerah ini diberikan kepada mereka yang banyak membuat aktiviti kemanusiaan, Terdapat juga anugerah untuk generasi-generasi muda yang menunjukkan kesungguhan mengikut Enam Prinsip Teras Anugerah tersebut antaranya ialah, Keyakinan, Penglibatan, Dedikasi, Sifat memberi, Hormat-menghormati dan Kerohanian.
Berita Harian 21/7/2014

Utusan Malaysia 16/7/2014


Friday 11 July 2014

UIAM DAN UNIVERSITI CHUN CHENG TAIWAN JALIN KERJASAMA PINTAR



 
 oleh Roslan Rusly
 foto// IIUM Today

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kebangsaan Chun Cheng (NCCU) Taiwan telah ditandatangani di UIAM Kampus Gombak baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, UIAM diwakili oleh Timbalan Rektor(Akademik dan Perancangan), Ybhg. Prof. Dato’ Dr. Md. Tahir Md. Azhar serta Timbalan Rektor(Pengantarabangsaan, Jaringan Industri dan Komuniti) manakala NCCU diwakili oleh Presidennya Dr.Jyh-Yang Wu dan Dekan Perhubungan Antarabangsa Dr. huey-Ling Amy Shee.

Pemeteraian MoU membawa kedua-dua universiti untuk bekerjasama dalam beberapa bidang termasuk perkongsian penyelidikan, pertukaran pelajar dan kakitangan, dan banyak lagi.

MoU yang menjurus ke arah berkongsi pengalaman dan pengetahuan dari kedua-dua universiti dan memperluaskan sumbangan mereka di peringkat antarabangsa.

UIAM juga dijadikan sebagai Universiti rujukan mereka kerana NCCU sudah mula mengambil pelajar-pelajar yang beragama Islam. UIAM akan memberikan mereka panduan serta bertindak sebagai pakar rujuk.

Menurut presiden NCCU, Dr Jyh Yang Wu, beliau berkata, “mereka(NCCU) memilih untuk berganding dengan UIAM kerana kejayaan yang ditunjukkan serta reputasinya bertahan dipentas pendidikan dunia serta yang amat menarik UIAM mempunyai populasi pelajar yang datang dari 120 buah negara”.

NCCU merupakan sebuah universiti penyelidikan awam yang terletak di Chiayi, Taiwan.
Ia juga adalah salah sebuah universiti yang terbaik di Taiwan.

Timbalan Rektor UIAM (Akademik & Perancangan), Prof Dato 'Dr Md Tahir Md Azhar berkata, “ ini adalah salah satu peluang yang terbaik dan ia sangat positif untuk kedua-dua universiti secara khususnya dan pada kedua-dua negara secara amnya.”

Sebelum termeterainya MoU ini, kerjasama telah pun bermula dimana Universiti Kebangsaan Chun Cheng ini bekerjasama dengan Kulliyyah Pendidikan UIAM. 


Monday 7 July 2014

PENDEBAT UIAM HARUMKAN NAMA NEGARA



Dari kiri Ahmad Hazim Norahmadi, Ameera Natasha Moore dan Mubarrat Wassey
 oleh Roslan Rusly
//foto ihsan IIUM IWON

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) di nobatkan sebagai juara pada Kejohanan Debat Antara Universiti Australasia 2014 dalam Kategori Bahasa Inggeris bahasa kedua (ESL Category) yang di adakan di Otago Universiti, New Zealand pada 6 julai baru-baru ini. Kejohanan debat ini adalah pertandingan debat kedua terbesar di dunia. Sebanyak 84 pasukan dari Australasian dan pasukan dari Asia menyertai kejohanan tersebut.

Pasukan dari Malaysia yang menyertai kejohanan ini ialah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM), Universti Malaya(UM), Universiti Teknologi Mara(UiTM), Multimedia Universiti dan Kolej Universiti KDU. 

Pasukan UIAM yang diwakili oleh pelajar tahun kedua iaitu Mubarrat Wassey pelajar jurusan ekonomi, Ameera Natasha Moore dan Ahmad Hazim Norahmadi yang masing-masing dari jurusan undang-undang. Selain berjaya menjadi juara untuk kategori tersebut, pendebat UIAM iaitu Mubarrat Wassey dan Ameera Natasha Moore turut bersama-sama berkongsi mendapat Anugerah Pendebat Terbaik dalam kategori yang sama.

Dalam pertandingan akhir tersebut pasukan debat UIAM menewaskan pasukan debat daripada Universiti Malaya. Tajuk yang diberikan pada pertandingan akhir tersebut ialah “The first ladies/gentlemen should not advocate for policies or political positions during their partner’s term in office.”

Ini adalah kemenangan kali kedua selepas memenangi kejuaraan dalam kategori yang sama pada tahun 2013. UIAM juga adalah satu-satunya pasukan daripada Asia yang layak ke peringkat 16 pasukan teratas untuk Kategori Terbuka. Namun pasukan daripada Universiti Victoria, Wellington di nobatkan sebagai juara.

Menurut Ketua Pasukan Mubarrat Wassey berkata,

“ kejayaan ini adalah hasil daripada kesungguhan serta sokongan yang tidak berbelah bahagi pihak pentadbiran Universiti serta latihan dan motivasi yang diberikan adalah penyumbang kepada kejayaan ini.”ujarnya.
                                                                     ###