Sunday 20 July 2014

LAWATAN ILMIAH PELAJAR UNDANG-UNDANG UIAM KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM



 
Oleh Roslan Rusly
Seramai 21 orang pelajar jurusan undang-undang daripada Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah membuat satu lawatan Ilmiah di negara Brunei Darussalam. Selama lima hari mereka memperoleh pengalaman serta ilmu berkaitan dengan sistem perundangan Islam di negara tersebut baru-baru ini.

Objektif utama program ini adalah untuk mengetahui peranan agensi-agensi perundangan yang berkaitan dan pihak berkuasa di Brunei Darussalam sebagai struktur organisasi utama dalam mengurus selia Sistem Perundangan Islam yang baru berkuat kuasa pada tahun ini.
Banyak tempat yang dilawati oleh para pelajar tersebut. Matlamat program ini adalah sebagai salah satu cara untuk mereka mengetahui struktur serta cara pengendalian hukum-hukum dalam ruang lingkup syariah. 

Antara tempat mereka lawati ialah University Islam Sultan Sharif Ali (Unissa), Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei.

Kedatangan rombongan disambut mesra oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Tuan yang Terutama Datuk Awang Sahak Bin Awang Salleh dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Puan Haznah Md Hashim serta pegawai dan kakitangan kedutaan.

Persatuan Pelajar Undang-Undang UIAM juga mengambil peluang untuk mengukuhkan hubungan antara Persatuan Pelajar Undang-Undang Pelajar UIAM dan Persatuan Pelajar undang-undang UNISSA. Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei.

Lawatan ini mendapat sokongan daripada Presiden UIAM sendiri iaitu Ybhg. Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dengan memberi penajaan melalui Tabung  Amanah Presiden UIAM.  Presiden UIAM juga adalah seorang pegamal undang-undang dan sentiasa memberi sokongan terhadap apa juga aktiviti ilmiah pelajar dalam mengembangkan lagi ilmu.

No comments:

Post a Comment