Thursday 3 July 2014

PENYELIDIK UIAM HASILKAN “BURGER SAYURAN” UNTUK KESIHATAN



Dr.Ibrahim bersama produk burger sayur yang dihasilkannya.

 oleh Roslan Rusly
 foto// Roslan Rusly

Gambar Hiasan
Kini ramai rakyat Malaysia amat gemar dengan sajian barat terutama golongan muda. Kini yang menjadi pilihan dan semakin popular adalah makanan seperti burger yang mempunyai banyak citarasa yang berlainan seperti burger bakar, burger kukus dan banyak lagi.  Namun dari sudut kesihatan pula, pengambilan makanan tersebut secara berlebihan akan menyebabkan kemudaratan seperti kadar lemak berlebihan seperti lemak tepu yang boleh menyebabkan risiko tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Penyelidikan yang dilakukan yang memakan masa lebih kurang dua tahun membuahkan hasil. Kini sekumpulan penyelidik daripada Jabatan Pemakanan, Kulliyyah Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) Kampus Kuantan telah berjaya menghasilkan burger sayuran yang lebih sihat dan kandungan lemaknya yang kurang.


Satu lagi kelebihan burger sayur yang dibuat daripada jerami nangka muda ini ialah kandungan airnya yang tinggi berbanding burger biasa. 

Kandungan air yang tinggi mampu menghalang penyerapan minyak yang banyak ketika proses penggorengan. Ini menjadikan burger sayur mempunyai jumlah kandungan lemak yang rendah berbanding burger biasa. 

Menurut ketua penyelidiknya Dr. Ibrahim Abu Bakar, buat permulaan ini burger sayur ditampilkan dalam dua perisa utama iaitu perisa ayam dan perisa daging, ia sesuai dimakan oleh semua golongan pengguna termasuk kanak-kanak kerana ia lebih lembut dan senang untuk dikunyah.

Selain itu burger sayur juga mengandungi kandungan lemak yang sangat rendah di samping kandungan serat yang tinggi. Ia juga tiada bahan pengawet dan pewarna tiruan yang tidak dibenarkan. 

Dari segi rasa, ia hampir menyamai burger biasa yang ditambah dengan rasa nangka.  75 peratus daripada keseluruhan daging burger tersebut adalah daripada jerami nangka muda dan 15 peratus yang lainnya ialah daging burger itu sendiri.

“burger ini juga mempunyai tekstur yang lebih lembut, senang dikunyah malah mudah dihadam. Ini kerana sifat jerami nangka muda itu sendiri mempunyai serat yang tinggi.”

Burger sayur UIAM kini dikeluarkan di makmal penyelidikan makanan Kuliah Sains Kesihatan Bersekutu di Kuantan di mana selepas ini ia akan di pindahkan ke tempat yang lebih sesuai di Bandar Indera Mahkota Kuantan. 

“Dengan adanya burger sayur ini di pasaran ibubapa secara tidak langsung boleh menggalakkan anak-anak mereka memakan sayur yang terkenal kaya dengan vitamin dan bahan mineral”.ujarnya lagi.   
  
Pertama kali produk burger sayur ini diperkenalkan adalah setahun yang lepas di mana ia telah memenangi pingat emas semasa pertandingan rekacipta International Technology Exhibition (ITEX 2013)

Ia juga memenangi beberapa pingat emas di pertandingan rekacipta di peringkat universiti iaitu Pameran Ciptaan, Inovasi dan Penyelidikan (IRIIE 2013) anjuran UIAM dan I-Envec 2013 anjuran Universiti Malaysia Perlis. Kini ia ditampilkan dalam bentuk yang lebih komersial dengan nama baru ‘I-Jack Burg’. 

UIAM telah mengorak langkah kehadapan dalam mengkomersilkan hasil-hasil penyelidikan di mana kini mereka bukan sahaja menyertai pertandingan rekacipta dan pameran penyelidikan sahaja tetapi mula menyertai pameran-pameran jualan bagi memasarkan hasil penyelidikan untuk manafaat orang ramai. 

Usahawan yang berminat untuk menjadi pengedar bagi pasaran di seluruh Malaysia boleh menghubungi Dr. Ibrahim Abu Bakar di talian 019-9312573. Beliau juga boleh dihubungi melalui email iab@iium.edu.my.

###

1 comment: