Tuesday 12 February 2013

PELAJAR UIAM TERIMA BAUCAR BUKU 1MALAYSIA





PELAJAR UIAM TERIMA BAUCAR BUKU 1MALAYSIA


Pelajar UIAM menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang mula diedarkan baru-baru ini.[foto ; NorAzman Shah]

 oleh Roslan Rusly
Pelajar-pelajar UIAM yang berada di Kampus Gombak, Kuantan, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya seramai 26,294 orang layak menerima Baucar Buku 1Malaysia yang bernilai RM250 seorang pada tahun ini. 

(Dari kiri) Dato' Mizan Hitam, Dato' Seri Jamil Khir, Prof. Dato' Seri Zaleha Kamarudin, Dr. Akmal Khusairi dan Presiden MPP UIAM Muhammad Hamidi. (Majlis penyerahan BB1M kepada pelajar UIAM baru-baru ini.)
 
Menteri Mentor UIAM, Mejar (B) Dato’ Seri Jamil Khir Baharom yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri turut hadir menyerahkan baucar buku tersebut kepada para pelajar UIAM baru-baru ini.

Pada tahun 2012, seramai 24,326 pelajar UIAM telah menerima baucar buku yang berjumlah RM200 seorang. Untuk tahun ini kerajaan menaikkan lagi jumlah tersebut kepada RM250 seorang. 

Dalam ucapan Rektor UIAM, Ybhg. Prof. Dato’ Seri Dr. Zaleha Kamaruddin berkata; ‘dengan adanya bantuan sebegini, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban para pelajar yang pada masa sekarang harga barang-barang keperluan pembelajaran semakin mahal’.

Rektor UIAM juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Y.A.B. Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak kerana keperihatinan tentang kebajikan para pelajar di institusi pengajian tinggi dan kesudian beliau memberi peruntukan  tambahan sebanyak RM50 kepada setiap pelajar pada tahun ini.

Bantuan Baucar Buku 1Malaysia telah diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan semasa pembentangan belanjawan 2013 pada 28 september 2012 di Parlimen. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM325 juta bagi melaksanakan inisiatif pemberian baucar buku berjumlah RM250 kepada setiap pelajar.