Friday 12 August 2011

BERBUKA BERSAMA RAKAN-RAKAN PENGUBAT RINDU KEPADA KELUARGA

*EDISI KHAS RAMADHAN*


oleh Roslan Rusly
foto Roslan Rusly

Berjauhan dengan keluarga tersayang adalah cabaran terbesar yang perlu di tempuhi oleh seseorang yang bergelar sebagai mahasiswa. Perasaan sayu akan terasa dan tersentuh apabila tibanya bulan Ramadhan dikala rakan-rakan yang lain berkesempatan berpuasa bersama-sama keluarga.

Namun bagi para pelajar antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) ia adalah sesuatu yang perlu dihadapi ketika berjauhan dengan keluarga hanya untuk mendapatkan segulung ijazah.

Berpuasa di perantauan tidak menjadi masalah kepada sebahagian besar pelajar antarabangsa UIAM. Bagi mereka kedatangan Ramadhan memberikan mereka peluang untuk mengenali dan menikmati pelbagai juadah yang pelbagai serta pengalaman baru pada mereka.


Pelajar Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Angkasa, Md. Masutur Rahman Abin dari Bangladesh merasakan bahawa berpuasa di perantauan sedikit sebanyak dapat memberi peluang kepadanya untuk belajar cara hidup, makanan dan amalan di Malaysia.

“apa yang saya dapat lihat ialah kemeriahan sewaktu berbuka dapat dilihat dari segi pelbagai juadah yang dijual dan disediakan yang mana lain daripada yang lain. Selain itu juga, apa yang menariknya ialah kita dapat berbuka dengan rakan-rakan yang lain yang berasal daripada pelbagai negara sambil kita dapat kenalan yang ramai serta mengeratkan lagi silaturahim”.

Walaupun berbuka dan bersahur jauh daripada keluarga, akan tetapi suasananya berbeza dan mereka mengakui bahawa berbuka atau bersahur bersama-sama rakan-rakan adalah seronok.

Menurut seorang lagi rakannya Imanuddin Hadinryono daripada Indonesia yang mengambil jurusan Pengetahuan Ilmu Wahyu berkata; “walaupun rasa sedih kerana berjauhan dengan keluarga, akan tetapi saya tetap merasa gembira kerana mempunyai teman-teman yang ramai dan rasa rindu itu terubat, ini adalah kali pertama saya berjauhan dengan keluarga dalam menjalani ibadah berpuasa tetapi saya rasa tidak keseorangan dalam menjalani ibadah ini”.

Pihak Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM turut menyediakan juadah berbuka puasa yang diberikan kepada pelajar untuk mereka berbuka, jadi peluang ini tidak dilepaskan oleh pelajar antarabangsa untuk bersama-sama berbuka dan berkumpul.





Seorang lagi pelajar yang berasal dari Jawa Tengah Indonesia, Abdul Wafi Muhimin pelajar yang mengambil jurusan Fiqh berkata; “ di universiti ini kami para pelajar antarabangsa lebih gemar berbuka di Masjid, kerana kami dapat berkenalan serta mengenali rakan-rakan yang datang dari seluruh dunia, seperti dari Mesir, Guiena, Thailand, Maldive, Sudan dan sebagainya. Apa yang menarik ialah jika juadah yang disediakan di jalankan secara gotong-royong dan semangat seagama dapat di perkukuhkan lagi”.

Di UIAM sendiri mempunyai premis-premis yang menjual makanan bukan sahaja masakan tempatan, malah masakan antarabangsa di sediakan untuk para pelajar UIAM.

“Berpuasa di kampus adalah seperti berada di negara sendiri kerana makanan serta budayanya hampir sama seperti kami di Indonesia.”, katanya.

No comments:

Post a Comment