oleh Ruslan Rusly
Bagi meningkatkan kesedaran berkenaan dengan keselamatan jalan raya, Unit Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan(OSHU) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) telah pun bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya(JKJR) Selangor bersama-sama menjalankan Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya di UIAM Gombak.
Kempen yang dijalankan selama satu hari ini banyak memberikan pendedahan kepada warga UIAM tentang perlunya keselamatan jalan raya terutamanya penggunaan tali pinggang dan topi keledar.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah pemeriksaan topi keledar, pertukaran topi keledar lama kepada yang baru, pemeriksaan pemakaian tali pinggang keledar dan mengedarkan risalah.
Turut hadir pada kempen tersebut ialah Pengarah Unit Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan UIAM En. Hamdan Adnan, En. Yusoff Hashim penolong Pengarah JKJR Selangor.
Antara objektif penganjuran kempen ini ialah untuk memberikan kesedaran dan pendedahan kepada warga UIAM secara khususnya dan kepada orang diluar sana secara amnya. Kempen yang dijalankan secara berterusan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kemalangan dan kecederaan yang berlaku di dalam kampus walaupun peratusannya tidak tinggi.
Menurut En. Hamdan; “ kempen keselamatan jalanraya kali ini sudah masuk tahun ke empat dan kita di UIAM sangat berterima kasih dengan JKJR Selangor kerana sudi bersama-sama UIAM untuk anjurkan kempen kesedaran ini secara berterusan”.
Seorang pelajar tahun 3, kulliyyah kejuruteraan Muhammad Yusof Mohamed Bakary berkata; “ dengan adanya kempen ini, kami para pelajar dapat didedahkan dengan risiko-risiko yg boleh menyebabkan kemalangan dan kecederaan, selain itu juga, kami dapat maklumat seperti tempoh hayat atau tempoh luput sesebuah topi keledar.”
Selain penunggang motosikal, mereka yang memandu kereta juga turut tidak terlepas di dalam penganjuran kempen ini, pegawai daripada JKJR dan Unit Keselamatan Trafik UIAM turut mengadakan pemeriksaan pemakaian tali pinggang keselamatan baik pemandu dan penumpang di depan dan di belakang.
Penolong Pengarah JKJR Selangor, En. Yusoff Hashim berkata; “ sepanjang pengajuran kempen keselamatan jalanraya ini berlangsung, apa yang dapat dilihat ialah seluruh warga UIAM mematuhi segala aspek keselamatan dan papan-papan tanda memakai topi dan tali pinggang keledar di sekitar UIAM juga di pamerkan, ini adalah sebagai salah satu advokasi berterusan yang baik untuk didedahkan kepada semua supaya mereka dapat menjaga keselamatan diri mereka dan orang lain.”
No comments:
Post a Comment