Sunday 29 May 2011

Pelajar UIAM manfaat peluang belajar di negara orang


oleh Ruslan Rusly

Berpeluang untuk belajar di negara orang adalah satu perkara yang diimpikan oleh kebanyakan pelajar. Oleh itu, dengan kesempatan yang telah diberikan oleh International Islamic University Malaysia (IIUM) dan ditaja oleh Kerajaan Australia melalui Endeavour Scholarship Award, 8 orang pelajar telah terpilih untuk mengikuti Program Pertukaran Pelajar di University of South Australia (UniSA), di Adelaide, Australia. Bermula dari Februari yang lalu, Nur Ainaa binti Mokhtar (Kejuruteraan Mekatronik), Shazrul Afiq bin Zulkifli (Kejuruteraan Aeroangkasa), Afiq bin Nordin (Kejuruteraan Automotif), Siti Noraini Mohd Khalidi (Kejuruteraan Pembuatan), Mohamad Nazmi Mohamad Zaki (Pengurusan Perniagaan), Nur Aqilah Izham (Pengurusan Perniagaan), Syifaa' binti Omar (Pengurusan Perniagaan) dan Nazreen bin Ahmad (Ekonomi) telah dihantar untuk menjalani program pertukaran pelajar selama satu semester.
Program Pertukaran Pelajar yang dijayakan bersama University of South Australia ini adalah program tahunan International Islamic University Malaysia kerana ini merupakan kali keempat pelajar dari universiti ini dihantar untuk mengikuti pelajaran selama satu semester di UniSA. Namun, ini adalah kali pertama pelajar dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dihantar untuk mengikuti program yang sama. Projek dua hala ini juga melibatkan pelajar dari UniSA datang ke IIUM untuk belajar selama satu semester.

Mereka yang terpilih telah dinilai melalui prestasi akademik dan juga kokurikulum. Majoriti dari mereka adalah pelajar tahun tiga di IIUM kerana di tahap ini, mereka telah mampu untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari sepanjang di IIUM. Selain dari itu, interview juga dibuat untuk mengetahui tahap keyakinan dan penguasaan mereka terhadap Bahasa Inggeris.

Shazrul Afiq bin Zulkifli dari Fakulti Kejuruteraan, mengucapkan syukur di atas peluang yang ditawarkan oleh pihak universiti kerana, “ini merupakan peluang yang jarang sekali didapati oleh pelajar-pelajar lain”.

Hari-hari pertama di Adelaide telah melakarkan sejarah yang berharga kepada mereka yang terpilih kerana ini adalah kali pertama menjejakkan kaki ke Australia. Namun demikian, dengan keramahan dan keprihatinan rakyat Australia, mereka dapat menyesuaikan diri terhadap keadaan di sana dengan mudah.

Siti Noraini Mohd Khalidi menyatakan perasaan gembira beliau apabila terpilih menjadi salah seorang dari pelajar yang terpilih untuk menyertai program ini. Melalui program ini, selain dari dapat menimba ilmu, beliau juga dapat menambah koleksi kenalan dari pelbagai negara. Malah, beliau menambah sebagai pelajar International Islamic University Malaysia yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di kelas, sedikit sebanyak telah membantu mereka sepanjang berada di Australia.

Mohamad Nazmi Mohamad Zaki mengakui bahawa pembelajaran di sini adalah lebih mencabar kerana University of South Australia menggunakan sistem kuliah manakala IIUM menggunakan sistem kelas. Ini menjadikan interaksi antara pelajar dan pengajar menjadi terhad. Beliau yang juga dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan berkata, menjadi penuntut University South Australia selama tiga bulan telah melatih dirinya supaya menjadi seorang yang lebih berdikari, kompetitif dan pro-aktif.

Program Pertukaran Pelajar adalah satu program yang digalakkan oleh kerajaan untuk membantu pelajar menambahkan ilmu kerana, universiti yang berlainan mempraktikkan budaya pembelajaran yang berlainan. Dengan mengikuti program pertukaran pelajar adalah diharap supaya dapat membuka minda pelajar kepada sebuah dunia baru dan member peluang kepada mereka supaya dapat mempelajari adat dan budaya yang berlainan. Pihak university berharap supaya pelajar-pelajar yang terpilih akan menjadi seorang yang lebih matang, berdikari, bertolak-ansur dan saling memahami apabila pulang ke Malaysia kelak.

No comments:

Post a Comment