Tuesday 27 May 2014

MISI SUKARELAWAN GLOBAL UIAM HULUR BANTUAN DI SELATAN THAILAND



Para sukarelawan bergambar bersama penduduk Kg.Puyu, Wilayah Satun, Selatan Thailand
 oleh Roslan Rusly
//foto; sumbangan Censerve

Seramai 45 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) dan Persatuan Alumni Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim bersama-sama menjalankan misi sukarelawan antarabangsa dengan memilih Kampung Puyu, Wilayah Satun di Selatan Thailand, baru-baru ini.

Program Global Ummatic Outreach ke Thailand ini adalah merupakan salah satu projek yang terkandung dalam kalendar IIUM Serving the World Project dan ini juga merupakan projek sulung untuk Kelab UMission di bawah naungan Pusat Khidmat Masyarakat (CENSERVE) UIAM yang dijalankan di negara gajah putih itu. 

Antara objektif penganjuran program ini adalah untuk merapatkan lagi ukhwah diantara warga universiti dan juga penduduk kawasan kampung tersebut. Selain itu juga, ia adalah salah satu langkah UIAM untuk melebarkan lagi sayap program khidmat masyarakat setelah berbakti di bumi Kemboja, Sri Lanka, Indonesia dan Vietnam.

Akikah dan Penyembelihan
Banyak aktiviti dijalankan yang sepanjang empat hari program berlangsung. Aktiviti yang dijalankan turut mendapat penyertaan daripada seluruh penduduk kampung yang rata-rata sangat mengalu-alukan kehadiran para sukarelawan ke kampung mereka. Antara aktiviti yang dijalakan adalah Ibadah Aqiqah dan kenduri, gotong-royong, acara sukan rakyat, aktiviti ziarah, pengagihan sumbangan pakaian serta peralatan solat dan upacara berkhatan beramai-ramai dan juga pemeriksaan kesihatan turut dijalankan.

Dalam pada itu juga, Tabung Pendidikan Kanak-kanak dan Wakaf Muqadam turut dilancarkan. Program Tabung Pendidikan Kanak-kanak ini merupakan projek pembangunan pendidikan yang direka untuk membantu kanak-kanak Islam miskin dari Kg Puyu, Satun. 


 Projek ini  dapat membantu pihak pengurusan sekolah dan madrasah dengan meningkatkan utiliti mereka dengan menyediakan papan putih, meja dan kerusi dan dana sebagai gaji guru. Bantuan dari segi sumbangan Al-Quran dan peralatan pembelajaran turut disumbangkan oleh sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) iaitu pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).


Dalam masa yang sama program “Charity for Change” juga telah berjaya mengumpul 100 muqadam dan 50 naskah Al Quran. Muqadam telah diagihkan kepada Masjid Kg Puyu dan Masjid Kg Tanjung Gabus manakala Al Quran dan set uniform persekolahan telah diserahkan kepada Pihak Pengurusan Madrasah Tahfiz untuk diagihkan kepada pelajar.

Menurut Pengarah Program yang juga Presiden CENSERVE Team UIAM, Muhammad Asri bin Ismail berkata, “Penerimaan penduduk setempat amatlah diluar jangkaan kerana kami menjangkakan hanya sebilangan penduduk sahaja yang melibatkan diri secara langsung dan tidak langsung dalam misi ini. Jika dilihat pada hari kedua semasa Aqiqah dan kenduri diadakan dianggarkan lebih 2000 penduduk daripada berbeza lapisan umur hadir.”
 

Misi ini dilihat telah memberi impak yang besar kepada penduduk kampung dan sukarelawan, sukarelawan yang didedahkan dengan cabaran merentas laut lepas menggunakan bot nelayan Thailand mungkin merupakan satu pengalaman berharga kepada setiap sukrelawan dengan keadaan kawasan sekitar kampung yang serba kekurangan ini sudah cukup memberi kesedaran kepada sukarelawan yang mana keperluan untuk meraka membantu insan-insan yang lebih memerlukan.

Harapan saya selaku pengarah program Global Ummatic Outreach ke Thailand 2014 adalah misi seperti haruslah tidak hanya berhenti begitu sahaja dan mesti diteruskan dimasa akan datang. Perbezaan budaya, adat, bahasa dan latar belakang bukan batu penghalang untuk seorang mahasiswa mengadakan misi kemanusiaan di dalam dan luar Malaysia.” ujarnya lagi.

###

Utusan Malaysia 16 Jun 2014

No comments:

Post a Comment