Oleh Roslan Rusly
Seramai 30 orang warga Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia(UIAM) menjalankan aktiviti Tangggungjawab Sosial Korporatnya yang
berlangsung di Madrasah Nadratul Hasanah di Jitra Kedah. Kembara ini turut
mendapat kerjasama daripada kelab bermotosikal UIAM iaitu IIUM Bikers
baru-baru ini.
Konvoi kembara ini bermula di UIAM Kampus Gombak dan berakhir
di Jitra Kedah. Sepanjang perjalanan program yang berlangsung selama 3 hari,
banyak aktiviti dijalankan antaranya ialah program gotong-royong membersihkan
kawasan Madrasah, Program Motivasi kepada pelajar Madrasah, Program
Pembelajaran dan Pengajaran untuk guru-guru serta program Hal Ehwal Islam.
Antara objektif penganjuran program ini adalah untuk
merapatkan lagi ukhwah diantara warga universiti dan juga penduduk sekitar.
Selain itu juga, dengan adanya program motivasi yang dianjur, ia sedikit
sebanyak dapat memberikan semangat serta persiapan para pelajar maahad tersebut
yang bakal menduduki peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia(SPM)
dan Penilaian Menengah Rendah(PMR).
Selain mengadakan program motivasi pelajar, program gotong-royong
turut berlangsung dengan mendapat kerjasama daripada guru-guru serta para
pelajar. Halaman dewan utama sekolah tersebut di telah di dekorasi menjadi
sebuah taman untuk menaikkan lagi semangat para pelajar dengan persekitaran
yang baru serta segar.
Program Hal EhwaI Islam turut diadakan pada sebelah malam di
dewan sekolah tersebut. Majlis Ilmu ini turut dihadiri penduduk sekitar serta
warga Maahad tersebut. Majlis ini di pengerusikan oleh penasihat IIUM Bikers,
Ybhg Dato’ Hamidon Hamid. Dua orang ustaz dijemput untuk bersama-sama
memberikan ilmu dan ceramah.
Program yang dijalankan ini adalah salah satu cara dakwah
serta menunjukkan keperihatinan pihak universiti kepada masyarakat luar yang
sama-sama boleh memberi dorongan atau motivasi kepada para pelajar sekolah
serta masyarakat. Ia juga adalah salah satu cara dakwah dengan menggunakan
medium motorsikal untuk mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Satu lawatan turut diadakan di Prince Songkhla University(PSU)
Thailand. Lawatan yang dilakukan ini adalah untuk merapatkan kerjasama diantara
UIAM dan PSU.