Para pelajar UIAM bersama sama penduduk kampung |
oleh Roslan Rusly
Seramai 43 orang pelajar daripada
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai jurusan telah
mengadakan satu program yang dinamakan 100 JAM-KEMBARA INTEGRASI ILMU 2013.
Program ini telah diadakan selama 4 hari 4 malam dan merentasi beberapa buah
negeri daripada Stesen KL Sentral ke Stesen KTMB Kuala Krai dan berkampung di
Kampung Sungai Taku, Kuala Krai, Kelantan.
Bersempena
dengan nama program, 100 JAM-KEMBARA INTEGRASI ILMU 2013, program ini memakan
masa hampir 100 jam bagi para peseta untuk menjayakan misi perkongsian ilmu dan
juga khidmat masyarakat. Program ini diadakan di sebuah kampung pedalaman di
daerah Kuala Krai, Kelantan. Perjalanan memakan masa lebih kurang 17 jam
menaiki keretapi, menyusuri sungai Kelantan dan membonceng motosikal. Kampung
ini dikategorikan sebagai "landlocked" kerana terletak di
tengah-tengah antara kampung lain.
Gotong royong kenduri bersama penduduk kampung |
Kembara
yang bertemakan “Integrasi Ilmu, Transformasi Sahsiah” juga merupakan sahutan
daripada seruan Perdana Menteri kita iaitu dengan melaksanakan transformasi dalam
pembentukan modal insan. Justeru, pelajar didedahkan dengan cara hidup penduduk
kampung yang terletak jauh di pedalaman. Peserta terpaksa meredah kebun getah dan
jalan tidak berturap dengan menaiki motosikal untuk ke kawasan kampung, tiada
talian telefon, dan jauh daripada pekan. Sumber makanan pula banyaknya adalah
hasil-hasil daripada persekitaran kampung seperti pucuk paku dan ikan sungai.
Pelbagai aktiviti juga dijalankan untuk menjayakan program
ini yang berkonsepkan "integrasi ilmu". Formula digunakan adalah
menerima dan memberi ilmu, atau erti kata lain, perkongsian ilmu tercetus daripada
setiap aktiviti yang dirancang. Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah Forum
Ilmiah, Qaryati Jannati (fokus kepada kanak-kanak), sukan rakyat, malam
membudayakan seni warisan, dan aktiviti merewang “bekwoh” mengikut tradisi
kampung.
Kerjasama daripada penduduk kampung boleh dikatakan luar biasa. Program
“100 JAM-KEMBARA INTEGRASI ILMU 2013”
mendapat tajaan sepenuhnya daripada Kementerian Pengajian Tinggi
Malaysia, dan dibimbing oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia dengan kerjasama Mahallah Salahuddin Al-Ayyubi.