Wednesday, 12 February 2014

Latihan Tahunan Pegawai Muda PALAPES Darat 2014


Sebahagian daripada kumpulan kadet senior bergambar bersama tetamu khas yang hadir.

oleh Roslan Rusly
foto// Roslan Rusly

Seramai 291 orang Pegawai Kadet Pasukan PALAPES Darat yang terdiri daripada para pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) dan Universiti Malaya menjalani Latihan Tahunan Pegawai Muda PALAPES Darat yang berlangsung di Kuala Lipis, Pahang baru-baru ini.

Pegawai Kadet  bersemangat untuk melancarkan serangan.
Latihan tahunan ini berlangsung selama 11 hari yang diadakan di Kem 8, Rejimen Askar Melayu Diraja(RAMD) Kuala Lipis Pahang. Sepanjang latihan Pegawai Kadet akan didedahkan dengan pelbagai Ilmu ketenteraan dan disiplin. Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Pegawai Kadet Pangkat Dua dan Tiga.Pegawai Kadet berpangkat dua adalah mereka yang junior manakala Pegawai Kadet Pangkat tiga adalah mereka yang senior.

Antara objektif penganjuran latihan tahunan ini adalah untuk memberikan pendedahan tentang konsep peperangan konvensional, memupuk semangat setiakawan, membina ketahanan mental dan membentuk disiplin, menguji dan menilai tahap asas ketenteraan dan dapat memberikan pendedahan tentang tugas-tugas yang sebenar jika berlaku peperangan.

 Modul latihan ini dibahagikan kepada dua iaitu Fasa Medan(hutan) dan Fasa Kem.  Fasa Kem mereka akan menjalani latihan seperti kawad kaki dan kawad senjata, membaca peta, latihan senjata dan mereka akan menduduki ujian bertulis. Manakala untuk Fasa Medan pula mereka akan ditempatkan di Ladang Kelapa Sawit Felda Kechau 8, Kuala Lipis untuk menjalani latihan hutan. Pegawai Kadet intermediate akan menjalani latihan offensive iaitu mara dan serang manakala Pegawai Kadet Senior akan melalui fasa defensive iaitu pertahanan dan pengunduran.

 
Timbalan Rektor(Hal Ehwal Pelajar)UIAM hadir.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM, Mejar (K) Prof. Dato’ Dr. Mizan Hitam dan Timbalan Komandan UM Mejar Dr. Abdul Halim Mokhtar turut hadir bagi memberikan semangat serta memantau perlajanan sepanjang latihan berlangsung.  Mejar Azali Jaya bertindak sebagai Ketua Jurulatih untuk sepanjang perjalanan latihan tahunan ini.




Menurut Dato’ Dr. Mizan dengan adanya latihan sebegini ia sedikit sebanyak membantu pelajar untuk membentuk sahsiah diri yang mantap dan berdisiplin. Ia juga adalah salah satu cara untuk melahirkan rasa cinta kita kepada negara.
“Latihan ini dapat membantu untuk membentuk disiplin para pelajar, jika mereka pulang ke kampus dapat menerapkan nilai disiplin kepada rakan-rakan sekuliah manakala jika mereka tamat belajar kelak pegawai yang terlatih ini dapat berbakti kepada masyarakat, keluarga serta kepada negara”. katanya.


Hari terakhir latihan tahunan ini diadakan satu pertempuran diantara Pegawai Kadet Intermidiate dan Pegawai Kadet Senior. Pertempuran ini adalah sebagai medan pertempuran yang terakhir mereka untuk menggunakan segala kecekapan serta segala kemahiran yang telah mereka pelajari  sepanjang latihan tahunan ini berlangsung. 





No comments:

Post a Comment