Monday, 7 July 2014

PENDEBAT UIAM HARUMKAN NAMA NEGARA



Dari kiri Ahmad Hazim Norahmadi, Ameera Natasha Moore dan Mubarrat Wassey
 oleh Roslan Rusly
//foto ihsan IIUM IWON

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) di nobatkan sebagai juara pada Kejohanan Debat Antara Universiti Australasia 2014 dalam Kategori Bahasa Inggeris bahasa kedua (ESL Category) yang di adakan di Otago Universiti, New Zealand pada 6 julai baru-baru ini. Kejohanan debat ini adalah pertandingan debat kedua terbesar di dunia. Sebanyak 84 pasukan dari Australasian dan pasukan dari Asia menyertai kejohanan tersebut.

Pasukan dari Malaysia yang menyertai kejohanan ini ialah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM), Universti Malaya(UM), Universiti Teknologi Mara(UiTM), Multimedia Universiti dan Kolej Universiti KDU. 

Pasukan UIAM yang diwakili oleh pelajar tahun kedua iaitu Mubarrat Wassey pelajar jurusan ekonomi, Ameera Natasha Moore dan Ahmad Hazim Norahmadi yang masing-masing dari jurusan undang-undang. Selain berjaya menjadi juara untuk kategori tersebut, pendebat UIAM iaitu Mubarrat Wassey dan Ameera Natasha Moore turut bersama-sama berkongsi mendapat Anugerah Pendebat Terbaik dalam kategori yang sama.

Dalam pertandingan akhir tersebut pasukan debat UIAM menewaskan pasukan debat daripada Universiti Malaya. Tajuk yang diberikan pada pertandingan akhir tersebut ialah “The first ladies/gentlemen should not advocate for policies or political positions during their partner’s term in office.”

Ini adalah kemenangan kali kedua selepas memenangi kejuaraan dalam kategori yang sama pada tahun 2013. UIAM juga adalah satu-satunya pasukan daripada Asia yang layak ke peringkat 16 pasukan teratas untuk Kategori Terbuka. Namun pasukan daripada Universiti Victoria, Wellington di nobatkan sebagai juara.

Menurut Ketua Pasukan Mubarrat Wassey berkata,

“ kejayaan ini adalah hasil daripada kesungguhan serta sokongan yang tidak berbelah bahagi pihak pentadbiran Universiti serta latihan dan motivasi yang diberikan adalah penyumbang kepada kejayaan ini.”ujarnya.
                                                                     ###




Thursday, 3 July 2014

PENYELIDIK UIAM HASILKAN “BURGER SAYURAN” UNTUK KESIHATAN



Dr.Ibrahim bersama produk burger sayur yang dihasilkannya.

 oleh Roslan Rusly
 foto// Roslan Rusly

Gambar Hiasan
Kini ramai rakyat Malaysia amat gemar dengan sajian barat terutama golongan muda. Kini yang menjadi pilihan dan semakin popular adalah makanan seperti burger yang mempunyai banyak citarasa yang berlainan seperti burger bakar, burger kukus dan banyak lagi.  Namun dari sudut kesihatan pula, pengambilan makanan tersebut secara berlebihan akan menyebabkan kemudaratan seperti kadar lemak berlebihan seperti lemak tepu yang boleh menyebabkan risiko tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Penyelidikan yang dilakukan yang memakan masa lebih kurang dua tahun membuahkan hasil. Kini sekumpulan penyelidik daripada Jabatan Pemakanan, Kulliyyah Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) Kampus Kuantan telah berjaya menghasilkan burger sayuran yang lebih sihat dan kandungan lemaknya yang kurang.


Satu lagi kelebihan burger sayur yang dibuat daripada jerami nangka muda ini ialah kandungan airnya yang tinggi berbanding burger biasa. 

Kandungan air yang tinggi mampu menghalang penyerapan minyak yang banyak ketika proses penggorengan. Ini menjadikan burger sayur mempunyai jumlah kandungan lemak yang rendah berbanding burger biasa. 

Menurut ketua penyelidiknya Dr. Ibrahim Abu Bakar, buat permulaan ini burger sayur ditampilkan dalam dua perisa utama iaitu perisa ayam dan perisa daging, ia sesuai dimakan oleh semua golongan pengguna termasuk kanak-kanak kerana ia lebih lembut dan senang untuk dikunyah.

Selain itu burger sayur juga mengandungi kandungan lemak yang sangat rendah di samping kandungan serat yang tinggi. Ia juga tiada bahan pengawet dan pewarna tiruan yang tidak dibenarkan. 

Dari segi rasa, ia hampir menyamai burger biasa yang ditambah dengan rasa nangka.  75 peratus daripada keseluruhan daging burger tersebut adalah daripada jerami nangka muda dan 15 peratus yang lainnya ialah daging burger itu sendiri.

“burger ini juga mempunyai tekstur yang lebih lembut, senang dikunyah malah mudah dihadam. Ini kerana sifat jerami nangka muda itu sendiri mempunyai serat yang tinggi.”

Burger sayur UIAM kini dikeluarkan di makmal penyelidikan makanan Kuliah Sains Kesihatan Bersekutu di Kuantan di mana selepas ini ia akan di pindahkan ke tempat yang lebih sesuai di Bandar Indera Mahkota Kuantan. 

“Dengan adanya burger sayur ini di pasaran ibubapa secara tidak langsung boleh menggalakkan anak-anak mereka memakan sayur yang terkenal kaya dengan vitamin dan bahan mineral”.ujarnya lagi.   
  
Pertama kali produk burger sayur ini diperkenalkan adalah setahun yang lepas di mana ia telah memenangi pingat emas semasa pertandingan rekacipta International Technology Exhibition (ITEX 2013)

Ia juga memenangi beberapa pingat emas di pertandingan rekacipta di peringkat universiti iaitu Pameran Ciptaan, Inovasi dan Penyelidikan (IRIIE 2013) anjuran UIAM dan I-Envec 2013 anjuran Universiti Malaysia Perlis. Kini ia ditampilkan dalam bentuk yang lebih komersial dengan nama baru ‘I-Jack Burg’. 

UIAM telah mengorak langkah kehadapan dalam mengkomersilkan hasil-hasil penyelidikan di mana kini mereka bukan sahaja menyertai pertandingan rekacipta dan pameran penyelidikan sahaja tetapi mula menyertai pameran-pameran jualan bagi memasarkan hasil penyelidikan untuk manafaat orang ramai. 

Usahawan yang berminat untuk menjadi pengedar bagi pasaran di seluruh Malaysia boleh menghubungi Dr. Ibrahim Abu Bakar di talian 019-9312573. Beliau juga boleh dihubungi melalui email iab@iium.edu.my.

###

Wednesday, 2 July 2014

KESELAMATAN WARGA KAMPUS MENJADI KEUTAMAAN


Tan Sri Dr. Rais(tengah) bersama pihak pengurusan melihat kesan kebakaran yang berlaku.

Oleh Roslan Rusly
foto// Roslan Rusly

Gombak, 27 Jun (UIAM) – Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM), Tan Sri Dato’ Seri Dr. Rais Yatim yang juga Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaanhari ini meluangkan masa lebih kurang satu jam melawat kesan kejadian kebakaran yang berlaku semalam(26 Jun) di Pusat Asasi UIAM, Kampus Petaling Jaya.

Kebakaran yang berlaku hanya melibatkan sebuah bilik stor di asrama lelaki Mahallah Abu Bakar yang menempatkan tilam-tilam dan beberapa perabot lama yang tidak boleh digunakan lagi.

 Dalam lawatan tersebut, Rais juga turut melihat sendiri kemusnahan yang berlaku serta turut mengambil kesempatan berjumpa dengan beberapa pelajar di Mahallah tersebut.

Ketika di temui, Rais berkata, “kerja-kerja pembersihan dan pembaikan akan dijalankan dengan segera serta pihak pengurusan Universiti juga akan memastikan keselamatan para pelajar khususnya dan warga kampus secara keseluruhannya adalah menjadi keutamaan.”

Kejadian kebakaran yang berlaku semalam melibatkan bilik stor aras satu sahaja dan  buat masa ini, penghuni asrama berkenaan tidak dipindahkan ke bangunan lain kerana insiden tersebut tidak menjejaskan bilik penginapan pelajar kecuali mereka yang tinggal di tingkat satu yang akan dipindahkan ke tingkat atas.

"Ibu-bapa tidak perlu risau dengan keadaan anak-anak mereka kerana pihak Universiti sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan yakin bangunan berkenaan masih selamat untuk didiami," ujarnya lagi.

Turut menyertai lawatan tersebut adalah pihak pengurusan Pusat Asasi UIAM serta para pegawai untuk melihat kesan kemusnahan yang berlaku.
                                                                           ###
Utusan Malaysia 28 Jun 2014