Thursday, 3 July 2014

PENYELIDIK UIAM HASILKAN “BURGER SAYURAN” UNTUK KESIHATAN



Dr.Ibrahim bersama produk burger sayur yang dihasilkannya.

 oleh Roslan Rusly
 foto// Roslan Rusly

Gambar Hiasan
Kini ramai rakyat Malaysia amat gemar dengan sajian barat terutama golongan muda. Kini yang menjadi pilihan dan semakin popular adalah makanan seperti burger yang mempunyai banyak citarasa yang berlainan seperti burger bakar, burger kukus dan banyak lagi.  Namun dari sudut kesihatan pula, pengambilan makanan tersebut secara berlebihan akan menyebabkan kemudaratan seperti kadar lemak berlebihan seperti lemak tepu yang boleh menyebabkan risiko tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Penyelidikan yang dilakukan yang memakan masa lebih kurang dua tahun membuahkan hasil. Kini sekumpulan penyelidik daripada Jabatan Pemakanan, Kulliyyah Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) Kampus Kuantan telah berjaya menghasilkan burger sayuran yang lebih sihat dan kandungan lemaknya yang kurang.


Satu lagi kelebihan burger sayur yang dibuat daripada jerami nangka muda ini ialah kandungan airnya yang tinggi berbanding burger biasa. 

Kandungan air yang tinggi mampu menghalang penyerapan minyak yang banyak ketika proses penggorengan. Ini menjadikan burger sayur mempunyai jumlah kandungan lemak yang rendah berbanding burger biasa. 

Menurut ketua penyelidiknya Dr. Ibrahim Abu Bakar, buat permulaan ini burger sayur ditampilkan dalam dua perisa utama iaitu perisa ayam dan perisa daging, ia sesuai dimakan oleh semua golongan pengguna termasuk kanak-kanak kerana ia lebih lembut dan senang untuk dikunyah.

Selain itu burger sayur juga mengandungi kandungan lemak yang sangat rendah di samping kandungan serat yang tinggi. Ia juga tiada bahan pengawet dan pewarna tiruan yang tidak dibenarkan. 

Dari segi rasa, ia hampir menyamai burger biasa yang ditambah dengan rasa nangka.  75 peratus daripada keseluruhan daging burger tersebut adalah daripada jerami nangka muda dan 15 peratus yang lainnya ialah daging burger itu sendiri.

“burger ini juga mempunyai tekstur yang lebih lembut, senang dikunyah malah mudah dihadam. Ini kerana sifat jerami nangka muda itu sendiri mempunyai serat yang tinggi.”

Burger sayur UIAM kini dikeluarkan di makmal penyelidikan makanan Kuliah Sains Kesihatan Bersekutu di Kuantan di mana selepas ini ia akan di pindahkan ke tempat yang lebih sesuai di Bandar Indera Mahkota Kuantan. 

“Dengan adanya burger sayur ini di pasaran ibubapa secara tidak langsung boleh menggalakkan anak-anak mereka memakan sayur yang terkenal kaya dengan vitamin dan bahan mineral”.ujarnya lagi.   
  
Pertama kali produk burger sayur ini diperkenalkan adalah setahun yang lepas di mana ia telah memenangi pingat emas semasa pertandingan rekacipta International Technology Exhibition (ITEX 2013)

Ia juga memenangi beberapa pingat emas di pertandingan rekacipta di peringkat universiti iaitu Pameran Ciptaan, Inovasi dan Penyelidikan (IRIIE 2013) anjuran UIAM dan I-Envec 2013 anjuran Universiti Malaysia Perlis. Kini ia ditampilkan dalam bentuk yang lebih komersial dengan nama baru ‘I-Jack Burg’. 

UIAM telah mengorak langkah kehadapan dalam mengkomersilkan hasil-hasil penyelidikan di mana kini mereka bukan sahaja menyertai pertandingan rekacipta dan pameran penyelidikan sahaja tetapi mula menyertai pameran-pameran jualan bagi memasarkan hasil penyelidikan untuk manafaat orang ramai. 

Usahawan yang berminat untuk menjadi pengedar bagi pasaran di seluruh Malaysia boleh menghubungi Dr. Ibrahim Abu Bakar di talian 019-9312573. Beliau juga boleh dihubungi melalui email iab@iium.edu.my.

###

Wednesday, 2 July 2014

KESELAMATAN WARGA KAMPUS MENJADI KEUTAMAAN


Tan Sri Dr. Rais(tengah) bersama pihak pengurusan melihat kesan kebakaran yang berlaku.

Oleh Roslan Rusly
foto// Roslan Rusly

Gombak, 27 Jun (UIAM) – Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM), Tan Sri Dato’ Seri Dr. Rais Yatim yang juga Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaanhari ini meluangkan masa lebih kurang satu jam melawat kesan kejadian kebakaran yang berlaku semalam(26 Jun) di Pusat Asasi UIAM, Kampus Petaling Jaya.

Kebakaran yang berlaku hanya melibatkan sebuah bilik stor di asrama lelaki Mahallah Abu Bakar yang menempatkan tilam-tilam dan beberapa perabot lama yang tidak boleh digunakan lagi.

 Dalam lawatan tersebut, Rais juga turut melihat sendiri kemusnahan yang berlaku serta turut mengambil kesempatan berjumpa dengan beberapa pelajar di Mahallah tersebut.

Ketika di temui, Rais berkata, “kerja-kerja pembersihan dan pembaikan akan dijalankan dengan segera serta pihak pengurusan Universiti juga akan memastikan keselamatan para pelajar khususnya dan warga kampus secara keseluruhannya adalah menjadi keutamaan.”

Kejadian kebakaran yang berlaku semalam melibatkan bilik stor aras satu sahaja dan  buat masa ini, penghuni asrama berkenaan tidak dipindahkan ke bangunan lain kerana insiden tersebut tidak menjejaskan bilik penginapan pelajar kecuali mereka yang tinggal di tingkat satu yang akan dipindahkan ke tingkat atas.

"Ibu-bapa tidak perlu risau dengan keadaan anak-anak mereka kerana pihak Universiti sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan yakin bangunan berkenaan masih selamat untuk didiami," ujarnya lagi.

Turut menyertai lawatan tersebut adalah pihak pengurusan Pusat Asasi UIAM serta para pegawai untuk melihat kesan kemusnahan yang berlaku.
                                                                           ###
Utusan Malaysia 28 Jun 2014

PASUKAN IBNU SINA JUARA KESELURUHAN KEJOHANAN SUKAN ANTARA KAKITANGAN UIAM



Pasukan Ibnu Sina juara keseluruhan Kejohanan Sukan Antara Kakitangan UIAM 2014

Oleh Roslan Rusly
//foto Samsuri Abdul Jalil

 Hampir sebulan warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) memerah keringat mewakili pasukan masing-masing dalam pelbagai acara sepanjang penganjuran Kejohanan Sukan Antara Kakitangan UIAM yang berlangsung baru-baru ini. Kejohanan ini di anjurkan oleh Pusat Sukan dan Rekreasi UIAM.

Sebanyak 10 kontigen yang diwakili oleh jabatan-jabatan pentadbiran Universiti. Sebanyak 11 acara sukan dipertandingkan diantaranya ialah bola sepak, sepak takraw, bola baling, bowling, tennis dan sebagainya.

Antara objektif penganjuran kejohanan ini ialah yang merapatkan lagi ukhwah diantara kakitangan serta ia juga sedikit sebanyak dapat melahirkan kakitangan yang sentiasa aktif dalam bersukan. Ia juga adalah sebagai salah satu saringan untuk melihat bakat-bakat sukan yang selama ini terpendam di kalangan kakitangan yang mana boleh mewakili Universiti dalam kejohanan-kejohanan besar seperti Kejohanan Sukan Kakitangan Universiti yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Kontigen dari pasukan Ibnu Sina berjaya menjadi juara keseluruhan dengan pungutan pingat sebanyak empat(4) Emas, empat(4) Gangsa dan satu(1) Perak. Pasukan ini berjaya menewaskan sembilan pasukan lain dengan lebihan pungutan pingat emas.

Kontigen Ibnu Sina yang diwakili oleh Jabatan Komunikasi Korporat, Jabatan Bendahari, Jabatan Pembangunan, Unit Kaunseling, Jabatan Audit, Pusat Pengajian Siswazah, Pusat Keusahawanan, Unit Zakat dan Bahagian Perkhidmatan dan Makanan.

Monday, 30 June 2014

BUBUR LAMBUK UIAM SEMARAK KEDATANGAN BULAN RAMADAN




Dato Mizan(tengah)bersama-sama menyertai program bubur lambuk
Oleh Roslan Rusly-
 foto//Roslan Rusly
Kedatangan bulan Ramadhan amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam seluruh dunia. Bulan yang menjanjikan beribu ganjaran untuk mereka yang betul-betul menjalankan ibadah di dalam bulan Ramadan ini. Begitu juga untuk warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) yang bersemangat serta mengalu-alukan kedatangan bulan Ramadan.

Bubur Lambuk adalah sinonim dengan kedatangan bulan Ramadan. Salah satu juadah yang menjadi kemestian setiap kali tiba waktu berbuka. Bagi memeriahkan dan menyambut kehadiran Ramadan, pelbagai program telah di atur dan dirancang dalam usaha untuk mengimarahkan bulan yang mulia ini.

Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM Kampus Gombak telah mengadakan program memasak bubur lambuk. Apa yang menarik ialah, program ini dijalankan secara gotong-royong yang melibatkan pelajar dan kakitangan Universiti baru-baru ini.


Pada tahun ini sebanyak lima buah periuk bubur lambuk telah dimasak. 1000 bungkusan bubur lambuk diedarkan kepada warga UIAM pada hari tersebut. Ia adalah sebagai salah satu sambutan kedatangan Ramadan.

Program memasak bubur lambuk ini adalah salah satu program Karnival Masjid yang di anjurkan oleh Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM yang objektif penganjuran karnival ini adalah untuk bersama-sama mengimarahkan dan menyemarakkan lagi sambutan kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini.

Turut hadir pada majlis ini ialah Ybhg. Prof. Dato Dr. Mizan Hitam(Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM), Pengarah Masjid UIAM Dr. Majdan Alias dan Penasihat Undang-Undang UIAM, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.