Friday, 4 October 2013

WARGA UIAM TURUN PADANG DEKATI HABITAT HAIWAN LIAR

Oleh Roslan Rusly


Warga UIAM kampus Petaling Jaya menjalankan program CSR mereka di Zoo Taiping, Perak //foto Roslan Rusly

Seramai 120 orang kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) dari kampus Petaling Jaya turun padang dan memerah keringat mereka apabila mengadakan program tanggungjawab sosial korporat(CSR) mereka bertempat di Zoo Taiping, Perak baru-baru ini.

Haiwan juga makhluk ciptaan Allah dan perlu dibelai. Hasil dari kesedaran itu,  program ini dijalankan. Kasih sayang kita bukan sahaja diantara manusia akan tetapi haiwan juga turut dibelai dan disayangi.
 
Program CSR yang dijalankan pada tahun ini memberikan sedikit kelainan apabila sebuah Zoo dipilih sebagai lokasi untuk diadakan program tersebut.  Pada tahun-tahun yang lepas pusat tumpuan program khidmat masyarakat ini lebih kepada rumah anak-anak yatim, orang tua, surau dan sebagainya. Namun pada tahun ini Zoo telah dipilih untuk dijadikan lokasi program CSR ini.

Tungkus-lumus
Para sukarelawan di bahagikan dalam beberapa kumpulan dan kerja-kerja diagihkan mengikut pegawai zoo yang bertugas. Mereka juga turut membersihkan kawasan sekitar kandang dan kaki lima sepanjang laluan pejalan kaki.

Menurut coordinator program, saudara Ezmil Zulkifli berkata, program ini sedikit sebanyak memberikan kesedaran kepada kita sebagai manusia untuk kita lebih dekat dan menyayangi haiwan dan itu juga dituntut didalam agama kita.

Dengan adanya program sebegini, ia sedikit sebanyak menjadikan kita lebih prihatin dan dan lebih peka dengan keadaan sekeliling kita dan ia juga dapat mewujudkan rasa kasih kepada haiwan yang juga makhluk ciptaan Allah.” katanya.

Selain menjadi habitat kepada 1,300 haiwan daripada 180 spesies, zoo itu turut menyajikan keindahan alam semula jadi yang memukau selain aliran anak sungai, tasik serta kehijauan flora bersesuaian dengan kedudukannya di kawasan semula jadi iaitu Tasik Taiping yang berhampiran kaki Bukit Larut (Maxwell Hill) kepada pengunjungnya.

Tuesday, 17 September 2013

KONVOI KELAB SCRAMOTARD BROTHERHOOD COMMUNITY

Sebahagian daripada ahli kelab SBC turut hadir bagi memeriahkan lagi majlis
 
Kembara Ukhwah. Seramai  40 orang dari kelab bermotorsikal “Scramotard Brotherhood Community (SBC)” telah berkonvoi sejauh 500km yang bermula dari Kuala Lumpur , Melaka dan berpatah balik ke Kuala Lumpur  selama dua hari.
 
Menurut Presiden Kelab SBC, Heshram Othman berkata, Konvoi ini juga adalah bertujuan untuk merapatkan lagi ukhwah serta mengeratkan hubungan diantara pemilik motorsikal tersebut.Serta mengumpulkan seberapa ramai lagi pemilik bermotor dalam kategori "motard bike".

"Dalam konvoi ini, banyak perkara dapat dipelajari serta semua peserta konvoi dapat menimba serba sedikit ilmu tentang penjagaan serta dan serba sedikit hal-hal berkaitan mekanikal".Kembara ini juga turut mengiringi pengantin di Pekan Selandar, Melaka," katanya.

Sebelum ini, kelab SBC telah berkonvoi ke Ipoh, Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang. Kelab SBC ini juga turut menyertai acara berkonvoi yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan seperti "RIDE 1M4U" dan Karnival Belia Negara 2013.

Tuesday, 3 September 2013

PASUKAN DEBAT UIAM HARUMKAN NAMA NEGARA



 
JUARA. (dari kiri) Mubarrat Wassey,
Ameera Natasha Moore dan
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Oleh Roslan Rusly

 Pasukan Debat Bahasa Inggeris Universiti  Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) sekali lagi telah mengharumkan nama negara apabila mereka menjadi  juara Kategori “English as Second Language”(ESL) dalam Australasian Intervarsity Debating Championship yang berlangsung di UiTM, Shah Alam baru-baru ini.
Kejohanan tersebut merupakan kejohanan debat kedua terbesar dunia. Seramai 124 pasukan yang datang dari Australia, New Zealand dan Asia telah menyertai  kejohanan kali ini.  Wakil-wakil  dari universiti tempatan juga telah  mengambil bahagian memandangkan tahun ini giliran Malaysia menjadi tuan rumah.
Tiga orang pelajar yang mewakili UIAM iaitu Ameera Natasha Moore , pelajar tahun satu jurusan undang-undang, Mubarrat Wassey, pelajar tahun satu jurusan ekonomi dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pelajar tahun dua jurusan undang-undang
Pada pusingan final Kategori ESL, Pasukan UIAM menewaskan  wakil dari University Hong Kong mengenai isu pembunuhan seorang askar British, Lee Ribgy di London.  Manakala, bagi Kategori Pendebat Terbaik Keseluruhan disandang oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga wakil dari UIAM.
Ini bukan kali pertama pasukan  UIAM memperoleh keputusan yang cemerlang, sebelum ini pasukan debat UIAM banyak memenangi pertandingan debat peringkat antarabangsa. Untuk Rekod pasukan Debat UIAM pernah menjadi juara dunia pada tahun 2007, Naib juara debat dunia pada 2010.
 Kini pasukan debat UIAM  berazam akan memberikan yang terbaik bagi Kejohanan Debat Dunia yang bakal berlangsung di Chennai, India tidak lama lagi.

Tuesday, 16 April 2013

KERJASAMA STRATEGIK UIAM DAN UAI



KERJASAMA STRATEGIK UIAM DAN UAI

dari kiri Prof. Dr. AbdelAziz Berghout, Timbalan Rektor Pengantarabangsaan dan Hubungan Industri serta Komuniti bersalaman dengan Rektor UAI sebagai tanda termeterainya perjanjian
oleh Roslan Rusly
 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) menjalinkan kerjasama strategik dengan Universitas Al-Azhar Indonesia(UAI). Majlis menandatangani memorandum persefahaman(MoU) ini berlangsung di UIAM Kampus Gombak baru-baru ini.

  Universiti Islam Antarabangsa Malaysia diwakili oleh Prof. Dr. AbdelAziz Berghout, Timbalan Rektor (Pengantarabangsaan dan hubungan Industri serta Komuniti) manakala Universitas Al-Azhar Indonesia diwakili oleh Prof. Dr. Ir. Muh. Zuhal, Rektor Universitas Al-Azhar Indonesia.

Kerjasama ini adalah untuk mengukuh dan menguatkan lagi sistem akademik dan keberhasilan penyelidikan dalam semua bidang. Ia juga adalah satu kerjasama yang membawa faedah kepada bidang pendidikan, penyelidik dan juga bukan akademik.
Kedua-dua universiti ini bersetuju untuk menjalankan beberapa program berkembar, pembangunan kokurikulum, pertukaran pelajar serta kerjasama dalam mengadakan seminar, workshop dan latihan.

UIAM dipilih sebagai rakan strategik adalah kerana melihat kepada kemajuan serta pencapaiannya dalam semua bidang yang boleh dibanggakan di dalam dunia Islam serta peringkat antarabangsa. Ia juga dijadikan sebagai satu model yang boleh dijadikan ikutan dalam kemajuan sistem pendidikan yang mempunyai nilai-nilai Islami.

Universitas Al-Azhar Indonesia adalah sebuah Institut Pengajian Swasta yang ditubuhkan pada Ogos tahun 2000 yang terletak di Kompleks Masjid Agung Al-Azhar, Jakarta Indonesia.

Wednesday, 3 April 2013

PELAJAR UIAM RENTAS LAUTAN JALANKAN PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT DI INDONESIA



PELAJAR UIAM RENTAS LAUTAN JALANKAN PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT DI INDONESIA
   
Kenangan bersama, pelajar UIAM bergambar bersama
 
oleh Roslan Rusly
foto ihsan censerve
Seramai 18 orang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mewakili Quranic Youth Club (QYC)UIAM telah menjalankan program khidmat masyarakat di Yogyakarta, Indonesia selama tujuh hari ke sebuah pesantren di Gunung Kidul iaitu Madrasah Al-Hikmah,Yogyakarta baru-baru ini. Madrasah Al-Hikmah menempatkan pelajar-pelajar dalam lingkungan usia 12-17 tahun.

Penganjuran program ini adalah bertujuan untuk mengeratkan hubungan dengan  para pelajar serta guru-guru di madrasah tersebut. Bukan itu sahaja, program ini sekali gus dapat mengeratkan lagi hubungan di antara kedua-dua negara yang majoritinya adalah umat Islam.

Pelbagai aktiviti diatur dan dijalankan antaranya ialah, bersama-sama bergotong-royong membersihkan kawasan madrasah dan persekitarannya memandangkan kawasan tersebut tidak teratur. Selain itu juga pelajar UIAM turut menyumbangkan beberapa buah rak buku serta membaik pulih keadaan perpustakaan madrasah tersebut untuk kegunaan para pelajar.

Selain itu, pelajar UIAM turut menghadiahkan kepada pelajar madrasah tersebut beberapa buah buku tulis serta kamus dan buku rujukan untuk kegunaan mereka dalam meneruskan pembelajaran mereka. Para pelajar UIAM juga turut mengadakan sessi ulangkaji bersama-sama pelajar madrasah tersebut.

Menurut Guru Besar madrasah tersebut, Ustaz Harun Ar-Rasyid berkata; “ saya sangat gembira dengan kedatangan para pelajar UIAM yang datang jauh beribu batu dan memilih madrasah kami untuk sama-sama membantu dalam membentuk ummah yang terbaik”.

Walaupun menempuh perjalanan yang jauh, namun semangat setiap peserta dapat dilihat apabila mereka bersama-sama menjalankan aktiviti walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan.

Muhammad Irfan bin Md.Nor selaku pengarah program berharap program yang dijalankan tidak terhenti disini dan mungkin program ini akan menjadi program yang berterusan dan dimasukkan didalam kalendar kelab.

“Semoga khidmat masyarakat ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara 2 buah negara. Sebagai saudara seislam, sepatutnya kita membantu mereka untuk menuntut ilmu.” ujarnya lagi.