Thursday, 14 March 2013

MISI 100 JAM KEMBARA INTEGRASI ILMU PELAJAR UIAM


Para pelajar UIAM bersama sama penduduk kampung

 oleh Roslan Rusly
Seramai 43 orang pelajar daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai jurusan telah mengadakan satu program yang dinamakan 100 JAM-KEMBARA INTEGRASI ILMU 2013. Program ini telah diadakan selama 4 hari 4 malam dan merentasi beberapa buah negeri daripada Stesen KL Sentral ke Stesen KTMB Kuala Krai dan berkampung di Kampung Sungai Taku, Kuala Krai, Kelantan.
Bersempena dengan nama program, 100 JAM-KEMBARA INTEGRASI ILMU 2013, program ini memakan masa hampir 100 jam bagi para peseta untuk menjayakan misi perkongsian ilmu dan juga khidmat masyarakat. Program ini diadakan di sebuah kampung pedalaman di daerah Kuala Krai, Kelantan. Perjalanan memakan masa lebih kurang 17 jam menaiki keretapi, menyusuri sungai Kelantan dan membonceng motosikal. Kampung ini dikategorikan sebagai "landlocked" kerana terletak di tengah-tengah antara kampung lain.
Gotong royong kenduri bersama penduduk kampung
Kembara yang bertemakan “Integrasi Ilmu, Transformasi Sahsiah” juga merupakan sahutan daripada seruan Perdana Menteri kita iaitu dengan melaksanakan transformasi dalam pembentukan modal insan. Justeru, pelajar didedahkan dengan cara hidup penduduk kampung yang terletak jauh di pedalaman. Peserta terpaksa meredah kebun getah dan jalan tidak berturap dengan menaiki motosikal untuk ke kawasan kampung, tiada talian telefon, dan jauh daripada pekan. Sumber makanan pula banyaknya adalah hasil-hasil daripada persekitaran kampung seperti pucuk paku dan ikan sungai.
Pelbagai aktiviti juga dijalankan untuk menjayakan program ini yang berkonsepkan "integrasi ilmu". Formula digunakan adalah menerima dan memberi ilmu, atau erti kata lain, perkongsian ilmu tercetus daripada setiap aktiviti yang dirancang. Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah Forum Ilmiah, Qaryati Jannati (fokus kepada kanak-kanak), sukan rakyat, malam membudayakan seni warisan, dan aktiviti merewang “bekwoh” mengikut tradisi kampung.
Kerjasama daripada  penduduk kampung boleh dikatakan luar biasa. Program “100 JAM-KEMBARA INTEGRASI ILMU 2013”  mendapat tajaan sepenuhnya daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, dan dibimbing oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan kerjasama Mahallah Salahuddin Al-Ayyubi.

UIAM JUARA DEBAT INTEGRITI PERDANA 2013


UIAM Juara Debat Perdana Integriti 2013, Para pendebat UIAM menjulang trofi dan replika cek pada pertandingan akhir Debat Perdana Integriti yang berlangsung di UTHM baru-baru ini
oleh Roslan Rusly
foto Ihsan SPICE IIUM

 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadi juara  dalam Pertandingan Debat Integriti Perdana dengan menewaskan pasukan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berlangsung di Universiti Tun Hussain Onn Malaysia(UTHM) bermula 8 hingga 11 mac 2013 baru-baru ini. Pertadingan debat ini dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia dengan kerjasama Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) dan UTHM. Objektif utama pertandingan debat tersebut ialah untuk menerapkan nilai-nilai murni di kalangan mahasiswa IPT.  

Sebanyak 24 buah institut pengajian tinggi awam, swasta dan institut pengajian guru berentap dalam pertandingan debat tersebut dengan tema yang diberikan ialah “Resmi Rakyat Menjulang Integriti”. Setiap usul-usul yang di perdebatkan adalah berkisarkan dengan isu-isu integriti.  Setiap pasukan akan bertandingan di enam pusingan awal sebelum lapan pasukan terbaik bertarung di pusingan suku akhir. Pasukan UIAM mengalahkan pasukan UPNM di pertandingan suku akhir dan pasukan UTP di pusingan separuh akhir.

Pasukan debat UIAM diwakili oleh Fawza Sabila Fawzi, Abdul Muiz Mustafa, Nur Ezzah Abdullah dan Muhammad Anas Shafiee. Tajuk atau usul debat untuk pertandingan akhir ialah “Dewan ini Percaya Pembudayaan Integriti Bermula Dari Pemimpin”.

Pasukan debat UIAM menang berganda apabila salah seorang wakil UIAM Abdul Muiz Mustafa telah dipilih untuk dinobatkan sebagai pendebat terbaik keseluruhan dan pendebat terbaik pertandingan akhir. Johan akan membawa pulang piala pusingan, piala iringan, hadiah wang tunai RM 7,000, komputer riba untuk setiap seorang dan sijil penyertaan.

Menurut Abdul Muiz Mustafa pelajar tahun dua jurusan ekonomi ketika ditemui berkata, ‘’ kejayaan ini adalah hasil daripada kerja keras pasukan kami yang membuat persediaan  hampir dua bulan dengan dibantu oleh tenaga-tenaga pengajar serta rakan-rakan.”

“Selain itu, juga saya berasa amat berbangga kerana dapat mengharumkan nama universiti dalam arena debat dan sekaligus menunjukkan bahawa pendebat-pendebat dari UIAM masih berbisa dan ia menaikkan lagi semangat kami untuk terus berjuang dalam arena debat ini”. ujarnya lagi.

                                                                            ###


Tuesday, 12 February 2013

PELAJAR UIAM TERIMA BAUCAR BUKU 1MALAYSIA





PELAJAR UIAM TERIMA BAUCAR BUKU 1MALAYSIA


Pelajar UIAM menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang mula diedarkan baru-baru ini.[foto ; NorAzman Shah]

 oleh Roslan Rusly
Pelajar-pelajar UIAM yang berada di Kampus Gombak, Kuantan, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya seramai 26,294 orang layak menerima Baucar Buku 1Malaysia yang bernilai RM250 seorang pada tahun ini. 

(Dari kiri) Dato' Mizan Hitam, Dato' Seri Jamil Khir, Prof. Dato' Seri Zaleha Kamarudin, Dr. Akmal Khusairi dan Presiden MPP UIAM Muhammad Hamidi. (Majlis penyerahan BB1M kepada pelajar UIAM baru-baru ini.)
 
Menteri Mentor UIAM, Mejar (B) Dato’ Seri Jamil Khir Baharom yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri turut hadir menyerahkan baucar buku tersebut kepada para pelajar UIAM baru-baru ini.

Pada tahun 2012, seramai 24,326 pelajar UIAM telah menerima baucar buku yang berjumlah RM200 seorang. Untuk tahun ini kerajaan menaikkan lagi jumlah tersebut kepada RM250 seorang. 

Dalam ucapan Rektor UIAM, Ybhg. Prof. Dato’ Seri Dr. Zaleha Kamaruddin berkata; ‘dengan adanya bantuan sebegini, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban para pelajar yang pada masa sekarang harga barang-barang keperluan pembelajaran semakin mahal’.

Rektor UIAM juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Y.A.B. Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak kerana keperihatinan tentang kebajikan para pelajar di institusi pengajian tinggi dan kesudian beliau memberi peruntukan  tambahan sebanyak RM50 kepada setiap pelajar pada tahun ini.

Bantuan Baucar Buku 1Malaysia telah diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan semasa pembentangan belanjawan 2013 pada 28 september 2012 di Parlimen. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM325 juta bagi melaksanakan inisiatif pemberian baucar buku berjumlah RM250 kepada setiap pelajar.

Monday, 7 January 2013



KAKITANGAN UIAM TURUN PADANG

Kakitangan Bahagian Pengurusan Perkhidmatan (MSD) UIAM bergambar selepas selesai menjalankan program khidmat masyarakat di Kg. Buyau, Seri Menanti, Negeri Sembilan
 Oleh ; Roslan Rusly
 Foto ; Roslan Rusly

Seramai 50 orang kakitangan Bahagian Pengurusan Perkhidmatan (MSD) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) turun padang beramai-ramai membersihkan surau dan kawasan persekitarannya di Surau Kg. Buyau, Seri Menanti , Negeri Sembilan baru-baru ini. Program khidmat masyarakat ini turut mendapat penyertaan daripada penduduk sekitar.

Antara objektif penganjuran program ini ialah untuk merapatkan lagi ukhwah di antara pihak Universiti dan penduduk kampung dan dalam pada masa yang sama dapat memberi peluang kepada warga UIAM untuk lebih mengenali rakan-rakan sekerja. Selain itu juga, ia dapat mewujudkan semangat kekitaan dan semangat bekerjasama diantara penduduk kampung dan warga universiti.

 Mereka di bahagikan dalam beberapa kumpulan untuk memulakan kerja-kerja membersih, mengecat dan menghias surau berkenaan. Antara kerja-kerja yang dilakukan ialah seperti membersihkan kawasan luar dan persekitaran surau, mengecat semula keseluruhan surau, membersihkan longkang dan bilik air, membersihkan stor, susun atur didalam surau dan kawasan untuk mandian jenazah. Orang kampung dan penduduk sekitar turut hadir bersama-sama dengan warga UIAM dalam membersihkan surau mereka.

Warga MSD bertungkus lumus membersihkan kawasan surau
Sebahagian daripada tugasan yang dijalankan
Membersihkan tempat mandian jenazah
Kawasan belakang surau juga turut dibersihkan
 














Menurut Ketua Kampung Buyau, Tanah Datar Seri Menanti, Mohd Din Mohd Nor berkata “dengan adanya program sebegini sedikit sebanyak dapat membantu penduduk kampung yang rata-rata yang tinggal hanya golongan warga emas sahaja dan orang-orang muda semua ke Kuala Lumpur mencari rezeki.”

Ketua Kampung Buyau 

Sebelum ini ada juga terdapat beberapa kumpulan datang membuat program yang sama, tetapi untuk program ini, ia adalah kali pertama kerja-kerja pembaikan di lakukan sepenuhnya oleh warga UIAM.
“Saya berasa sangat berbesar hati dan berterima kasih yang teramat sangat kepada warga UIAM yang sudi datang dan memilih kampung ini untuk menjalankan program khidmat masyarakat, dan ini adalah pertama kali kerja-kerja pembersihan surau ini dilakukan sepenuhnya dan keseluruhan kawasan surau ini sangat bersih”. ujarnya lagi.





Pengarah Eksekutif, Bahagian Pengurusan Perkhidmatan, Dato’ Hj. Wan Mohd Hilmi Wan Kamal juga turut hadir bergotong-royong bersama-sama dengan kakitangan yang lain. Ternyata dapat dilihat bahawa dengan adanya program yang sebegini ia sedikit sebanyak dapat mengeratkan lagi semangat dan ukhwah setiap warga UIAM.

Menurut Dato’ Wan Mohd Hilmi dalam ucapannya beliau berasa sangat berbesar hati kerana warga Kampung Buyau menerima kehadiran serta sangat membantu sepanjang program berjalan.
“Saya berharap agar semua warga UIAM dapat bersama-sama turun ke padang bertemu dengan penduduk kampung dan semangat bergotong-royong dan saling membantu dapat diterapkan dan ukhwah yang terjalin diantara pihak universiti dan penduduk kampung dapat diteruskan.” ujarnya lagi.

Wednesday, 29 February 2012

PELAJAR DAN KELAB DAPAT PENGIKTIRAFAN DARI UNIVERSITI


oleh Ruslan Rusly
foto Shamsuri Abdul Jalil

Adalah sangat membanggakan apabila para pelajar dan kelab yang aktif dalam penganjuran khidmat masyarakat mendapat pengiktirafan pihak universiti hasil daripada titik peluh mereka sendiri. Malam Anugerah Kemanusiaan 2011 dianjurkan oleh Pusat Tanggungjawab Sosial Universiti (CENSERVE) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini.

Tujuan penganjuran majlis ini ialah untuk menghargai sumbangan mereka yang telah banyak melakukan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di dalam dan di luar negara, selain itu juga ia adalah untuk memberikan galakan dan semangat kepada semua sukarelawan termasuklah kakitangan universiti.

Malam Kemanusiaan 2011 adalah majlis yang ditunggu-tunggu oleh 13 kelab yang bernaung di bawah Censerve. Majlis penganugerahan kelab terbaik, program terbaik dan projek terbaik. Para pelajar yang mewakili kelab masing-masing turut menerima anugerah serta kakitangan universiti juga menerima anugerah dalam kategori “Heart Of Gold (student)” dan “Heart Of Gold(Staff)”.

Sebanyak 18 anugerah disampaikan pada malam itu. Untuk projek terbaik jatuh kepada SENDI Mentoring Project manakala kelab Titian Asli menggondol dua anugerah iaitu program terbaik dan kelab terbaik 2011. Untuk kategori kakitangan universiti pula pensyarah dari Kulliyyah Perubatan, Prof. Dr. Ariff bin Osman menerima anugerah “Heart of Gold”.

Kelab Titian Asli adalah kelab yang lebih mengkhususkan aktiviti kemasyarakatan mereka kepada kaum Orang Asli manakala Kelab SENDI lebih menjurus kepada penganjuran program motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah rendah.

Majlis malam itu turut disertai seramai 1,000 orang pelajar yang mewakili pelbagai kelab. Timbalan Ketua Setiausaha(pengurusan) Kementerian Pengajian Tinggi Dato’ Omar Abd. Rahman, Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Inovasi UIAM Prof. Dr. Ahmad Faris Ismail dan Mantan Rektor Prof. Dato’ Sri Dr. Syed Arabi Idid turut hadir bagi memeriahkan acara tersebut.

Wednesday, 1 February 2012

PELAJAR UIAM KORBANKAN WAKTU CUTI BANTU MASYARAKAT ORANG ASLI


oleh Ruslan Rusly
foto ihsan CENSERVE IIUM

Seramai 74 orang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) sanggup mengorbankan waktu cuti mereka untuk menyertai aktiviti khidmat masayarakat yang dianjurkan oleh Kelab Comrade UIAM dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA),Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia(PERKIM) yang di adakan di Kg Pos Rual, Jeli Kelantan baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama tujuh hari itu di melibatkan pelajar-pelajar yang terdiri daripada pelbagai kulliyyah antaranya dari kuliyah ilmu wahyu, senibina dan rekacipta, kuliyyah ekonomi, sains kemanusiaan, undang-undang dan lain-lain lagi.
Antara objektif program ini ialah untuk mendekatkan lagi para pelajar untuk bergaul dengan masyarakat Orang Asli. Selain itu juga ia mengajar para pelajar untuk belajar ikhtiar hidup di kawasan terpencil bersama-sama masyarakat disana dan mendekati dan rapat dengan orang kampung disamping dapat mengukuhkan lagi pendidikan agama Islam di kalangan komuniti Orang Asli di kampung tersebut.


Banyak aktiviti yang dijalankan sepanjang mereka berkampung di sana. Antara aktiviti yang dijalankan bersama-sama masyarakat orang asli seperti Kenduri, Projek Kecantikan dan Hiasan kampung, Sukaneka, Mass Gathering Fardhu Ain, Penyediaan Poster Bergambar Agama dan Helwani atau Hal Ehwal Wanita. Selain itu juga, para peserta juga mengambil peluang untuk mengadakan ziarah ke kampung Manok untuk merapatkan lagi ukhwah setiap peserta dan penduduk kampung.

Menurut Mohd Hafis Mahmud pelajar jurusan kejuruteraan yang merangkap pengurus program berkata; ““program ini berjaya mengeratkan lagi persaudaraan kami dengan orang kampung. Komitmen yang diberikan oleh penduduk kampung memang mengujakan kami."

"Setiap aktiviti kami pasti dihadiri oleh orang kampung, dan yang paling menarik, kanak-kanak di sini sangat seronok. Ini yang membuatkan saya dan rakan-rakan begitu bersemangat dalam menyampaikan dakwah kami kepada masyarakat dan juga kanak-kanak di perkampungan ini.”ujarnya lagi

Tuesday, 31 January 2012

Majlis minum petang rakan Facebook Tun Dr. Mahathir meriah.


oleh Ruslan Rusly
foto Ruslan Rusly & Daniel

KENANGAN. Seramai 160 rakan Facebook Tun Dr Mahathir menyertai majlis minum petang bersama idola mereka bekas perdana menteri Malaysia Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad. Majlis bersama Tun Mahathir itu turut disertai dengan isteri beliau Tun Siti Hasmah. Semua rakan-rakan Facebook tidak melepaskan peluang untuk bersua muka serta bertanyakan khabar dan mengambil gambar bersama idola mereka.

Pada majlis itu juga, Tun Mahathir menyampaikan ucapan dengan menegaskan bahawa kita perlu sayangkan negara kita dan beliau amat berterima kasih kerana ada yang menghargai jasanya melalui Facebook Group Tun Dr Mahathir.

Menurut pengasas Facebook Group Tun Dr Mahathir, Pn. Eranee Rusli berkata; “tujuan mewujudkan Facebook Tun Dr Mahathir adalah tanda kita sebagai rakyat Malaysia yang sangat menghargai jasa-jasa yang telah di buat oleh Tun Mahathir dan sebagai tanda terima kasih dari rakyat Malaysia”.

Semua rakan-rakan facebook Tun Dr Mahathir amat berpuas hati dengan penganjuran majlis minum petang ini kerana mereka dapat bersama-sama idola mereka. Pada majlis ini juga sebuah keluarga daripada Bosnia Herzegovina turut hadir untuk menemui Tun Dr Mahathir.