Monday, 30 May 2011

Wakil UIAM sertai penjelajahan tujuh negara”Jejak Warisan Jawi 2”


oleh Ruslan Rusly

Untuk menjejaki warisan melayu dari zaman dahulu lagi, satu program telah dijalankan untuk membongkar kembali sejarah penulisan persuratan melayu iaitu tulisan jawi. Hasil daripada kesedaran tersebut maka program Jejak Warisan Jawi 2 telah dilancarkan untuk merungkai kembali tulisan jawi yang dulunya menjadi tulisan yang digunakan diseluruh nusantara bagi kebanyakkan masyarakat melayu.

Jejak Warisan Jawi 2(JWJ2) yang akan menjelajah tujuh negara iaitu Malaysia, Thailand,Kemboja,Vietnam, Laos,China dan Myanmar telah dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim baru-baru ini. Program Jejak Warisan Jawi 2 ini dianjurkan oleh Kelab Putera 1Malaysia, Majma’ Budaya dan Warisan Jawi dan disokong oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.




Sokong komuniti daripada tiga Institut Pengajian Tinggi dan antaranya ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) yang menghantar wakil seramai tiga orang. Mereka ialah Mohd Afiq Zulkifli mahasiswa jurusan Sains politik, Ahmad Syafiq Mohd Yuhaizad dari jurusan Undang-undang dan Ustaz Zaid Muhammad Mohd Rais, pensyarah dari Jabatan Tilawah Pusat Pembangunan Bahasa dan Pra-Universiti(CELPAD) UIAM.

Antara peranan yang dimainkan oleh wakil UIAM ini ialah dengan mengadakan program-program yang lebih kepada kemasyarakatan dan mengembalikan budaya melayu yang diwarisi selama turun temurun antaranya ialah membuat aktiviti mini kelas jawi, kelas tafsir dan bacaan Al-Fatihah serta menyampaikan sumbangan kepada masyarakat melayu di sana. Program ini juga akan mendekati masyarakat melayu yang ada di seluruh nusantara.

Menurut Mohd Afiq berkata; “ dengan adanya program sebegini sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada masyarakat kita di Malaysia kerana kita patut rasa bertuah dapat hidup di negara ini dan ia akan menguji semangat dan kekentalan kami sebagai mahasiswa UIAM untuk turut merasai keperitan yang dialami oleh masyarakat di sana nanti”.

Sunday, 29 May 2011

Pelajar UIAM manfaat peluang belajar di negara orang


oleh Ruslan Rusly

Berpeluang untuk belajar di negara orang adalah satu perkara yang diimpikan oleh kebanyakan pelajar. Oleh itu, dengan kesempatan yang telah diberikan oleh International Islamic University Malaysia (IIUM) dan ditaja oleh Kerajaan Australia melalui Endeavour Scholarship Award, 8 orang pelajar telah terpilih untuk mengikuti Program Pertukaran Pelajar di University of South Australia (UniSA), di Adelaide, Australia. Bermula dari Februari yang lalu, Nur Ainaa binti Mokhtar (Kejuruteraan Mekatronik), Shazrul Afiq bin Zulkifli (Kejuruteraan Aeroangkasa), Afiq bin Nordin (Kejuruteraan Automotif), Siti Noraini Mohd Khalidi (Kejuruteraan Pembuatan), Mohamad Nazmi Mohamad Zaki (Pengurusan Perniagaan), Nur Aqilah Izham (Pengurusan Perniagaan), Syifaa' binti Omar (Pengurusan Perniagaan) dan Nazreen bin Ahmad (Ekonomi) telah dihantar untuk menjalani program pertukaran pelajar selama satu semester.
Program Pertukaran Pelajar yang dijayakan bersama University of South Australia ini adalah program tahunan International Islamic University Malaysia kerana ini merupakan kali keempat pelajar dari universiti ini dihantar untuk mengikuti pelajaran selama satu semester di UniSA. Namun, ini adalah kali pertama pelajar dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dihantar untuk mengikuti program yang sama. Projek dua hala ini juga melibatkan pelajar dari UniSA datang ke IIUM untuk belajar selama satu semester.

Mereka yang terpilih telah dinilai melalui prestasi akademik dan juga kokurikulum. Majoriti dari mereka adalah pelajar tahun tiga di IIUM kerana di tahap ini, mereka telah mampu untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari sepanjang di IIUM. Selain dari itu, interview juga dibuat untuk mengetahui tahap keyakinan dan penguasaan mereka terhadap Bahasa Inggeris.

Shazrul Afiq bin Zulkifli dari Fakulti Kejuruteraan, mengucapkan syukur di atas peluang yang ditawarkan oleh pihak universiti kerana, “ini merupakan peluang yang jarang sekali didapati oleh pelajar-pelajar lain”.

Hari-hari pertama di Adelaide telah melakarkan sejarah yang berharga kepada mereka yang terpilih kerana ini adalah kali pertama menjejakkan kaki ke Australia. Namun demikian, dengan keramahan dan keprihatinan rakyat Australia, mereka dapat menyesuaikan diri terhadap keadaan di sana dengan mudah.

Siti Noraini Mohd Khalidi menyatakan perasaan gembira beliau apabila terpilih menjadi salah seorang dari pelajar yang terpilih untuk menyertai program ini. Melalui program ini, selain dari dapat menimba ilmu, beliau juga dapat menambah koleksi kenalan dari pelbagai negara. Malah, beliau menambah sebagai pelajar International Islamic University Malaysia yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di kelas, sedikit sebanyak telah membantu mereka sepanjang berada di Australia.

Mohamad Nazmi Mohamad Zaki mengakui bahawa pembelajaran di sini adalah lebih mencabar kerana University of South Australia menggunakan sistem kuliah manakala IIUM menggunakan sistem kelas. Ini menjadikan interaksi antara pelajar dan pengajar menjadi terhad. Beliau yang juga dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan berkata, menjadi penuntut University South Australia selama tiga bulan telah melatih dirinya supaya menjadi seorang yang lebih berdikari, kompetitif dan pro-aktif.

Program Pertukaran Pelajar adalah satu program yang digalakkan oleh kerajaan untuk membantu pelajar menambahkan ilmu kerana, universiti yang berlainan mempraktikkan budaya pembelajaran yang berlainan. Dengan mengikuti program pertukaran pelajar adalah diharap supaya dapat membuka minda pelajar kepada sebuah dunia baru dan member peluang kepada mereka supaya dapat mempelajari adat dan budaya yang berlainan. Pihak university berharap supaya pelajar-pelajar yang terpilih akan menjadi seorang yang lebih matang, berdikari, bertolak-ansur dan saling memahami apabila pulang ke Malaysia kelak.

Thursday, 5 May 2011

MISI BANTUAN KEMANUSIAAN ISLAM KEMBOJA PELAJAR PERUBATAN UIAM KAMPUS KUANTAN


oleh Ruslan Rusly

Sepasukan sukarelawan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) Kampus Kuantan telah pun menyertai misi bantuan kemanusiaan Islam di Kemboja selama lapan hari baru-baru ini.

Seramai 15orang pelajar perubatan yang terdiri daripada pelbagai jurusan seperti Farmasi, kejururawatan, sains kesihatan bersekutu dan perubatan serta diiringi 2orang pegawai perubatan dan 3orang pegawai pengiring menjalankan misi untuk membantu umat Islam di Kg. Phum Ambil, Daerah Srok Kroch Chma dan Wilayah Kg. Cham.
Program misi bantuan ke-6 kali ini diketuai oleh Pengarah Kampus UIAM Kuantan Ybhg. Prof. Dato’ Dr. Kamaruzaman Wan Su dan mendapat kerjasama Persatuan Kebajikan Islam Kemboja serta mendapat sumbangan masyarakat di sekitar kampus UIAM Kuantan dengan memberikan bantuan dari segi kewangan, makanana dan barangan seperti telekong, Al-Quran dan sejadah.Ini adalah misi bantuan kemanusiaan di Kemboja yang pertama bagi Kampus Kuantan.

Antara objektif misi ini ialah untuk membantu umat Islam yang daif, memberikan penerangan dan tunjuk ajar kepada kanak-kanak dan ibu bapa berkenaan dengan penjagaan kesihatan serta menyediakan perkhidmatan kesihatan.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan merangkumi kempen kebersihan, pemeriksaan kesihatan, program motivasi, riadah bersama, bergotong -royong membersihkan masjid dan kenduri bersama penduduk setempat. Kedhaifan hidup menyebabkan masyarakat di sini kurang peka dengan aspek kebersihan dan kesihatan diri terutama kebersihan gigi,tangan dan kaki selain isu pendidikan yang tidak begitu dititik-beratkan.

Selain itu, aktiviti utama yang dijalankan dalam misi kali ini ialah masjlis berkhatan beramai-ramai yang dibuat selama 3 hari berturut dari jam 8pagi sehingga 4 petang waktu tempatan di mana seramai 135 orang kanak-kanak berjaya dikhatankan oleh dua orang pegawai perubatan UIAM iaitu Dr. Dinon (Ketua Pegawai Perubatan, Pusat Kesihatan UIAM) dan Prof. Madya Dr. Murad (Pengarah, Pusat Kesuburan UIAM) dengan dibantu oleh pelajar-pelajar yang menyertai misi kali ini. 5 orang -pelajar dari Kulliyyah Perubatan dan juga kulliyyah Kejururawatan mengambil peluang mempraktikkan pengetahuan mereka.

Bantuan kebajikan turut diberikan kepada golongan yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal, warga tua dan anak-anak yatim Kg Ambil yang serba dhaif. Bantuan seperti alatan belajar turut dihulurkan ke sekolah-sekolah berhampiran Kg. Ambil. Barang-barang derma yang dibawa seperti sejadah, telekung, kain batik, kain pelikat, baju orang dewasa dan kanak-kanak, naskah al-Quran dan Yaasin,wang derma dan sebagainya diagih-agihkan oleh para peserta semasa aktiviti ziarah. Misi kali ini juga turut membantu menyumbangan pemasangan pam air elektrik dari sebuah telaga ke tangki masjid dan sekolah bagi memudahkan penduduk untuk beribadah .

Menurut pengarah projek Prof. Dato’ Dr. Kamaruzaman Wan Su berkata; “ dengan adanya program sebegini, sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan kepada para pelajar perubatan UIAM tentang kedaifahan mereka yang berada di sana, selain itu juga para pelajar dapat mempraktikan ilmu-ilmu perubatan mereka dari segi memberi penerangan dan tunjuk ajar kepada masyarakat di sana tentang hal penjagaan kesihatan. Program khidmat kesihatan juga dijalankan. Apa yang diharapkan program misi bantuan kemanusiaan ini dapat diteruskan”.

Wednesday, 27 April 2011

Pasukan Palapes TUDM UIAM jalani kursus asas menembak.


oleh Ruslan Rusly

Seramai 82 orang pelajar yang memasuki Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia(Palapes TUDM) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) menjalani kursus asas menembak di Lapang Sasar Menembak Kem Sg.Besi baru-baru ini.
Antara objektif penganjuran latihan ini ialah untuk mendedahkan para pelajar berkenaan dengan asas-asas menembak, mengenali dan mengendali senjata dengan betul, memberikan mereka peluang serta pengalaman yang baru dan ia juga termasuk dalam silibus pembelajaran untuk pasukan palapes TUDM UIAM.

Pasukan tersebut haruslah menjalani 6latihan penggunaan senjata. Senjata yang di gunakan adalah jenis “stayyer AUG”. Antara latihan atau disiplin pengendalian senjata yang digunakan ialah dalam keadaan meniarap, duduk, berdiri dan melutut. Latihan itu juga memberikan pendedahan kepada peserta berkenaan jarak tembakan iaitu tembakan 100 dan 200 meter.

Kepentingan latihan menembak ini ialah untuk memberikan para pelajar pengetahuan berkenaan bahaya serta cara mengendalikan senjata dengan betul tanpa boleh menyebabkan kecuaian sehingga boleh menyebabkan kehilangan nyawa.
Selain itu juga, ia adalah sebagai persediaan awal para pelajar sebelum mereka memasuki kerjaya sebagai seorang pegawai tentera.

Salah seorang ahli palapes Muhamad Sharul Nizam Shuhaimi, pelajar jurusan Undang-undang berkata; “dengan adanya latihan sebegini, ia sedikit sebanyak memberi peluang kepada kami mengetahui cara-cara menggunakan senjata dengan betul serta ia juga menambahkan lagi keyakinan kami semua dan memotivasikan kami untuk terus bersemangat”.

Pada tahun lepas, mereka juga menjalani latihan asas ketenteraan di Kem TUDM Ipoh, antara aktiviti yang dijalankan ialah merempuh halangan, berkawad serta pembentukkan siasah diri.
Turut hadir pada kursus tersebut ialah Timbalan Komander Palapes TUDM UIAM, Ybhg. Leftenan Kol Dato’ Hamidon Abdul Hamid, Pengarah Institut Perubatan Penerbangan, Ybhg Brig Jen Dato ‘ (DR) Zahari Bin Jusoh dan Pengarah Eksekutif Jabatan Kewangan UIAM, Ybhg. Dato’ Hj. Ahmad Zailan Shaari.

Friday, 1 April 2011

Pelajar UIAM dekati murid sekolah pendidikan khas.


oleh Ruslan Rusly

Seramai 35orang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) yang mewakili Kelab Titian Wahyu daripada Biro Pembangunan Sosial menganjurkan program “Lend Me Your Eye”. Program yang dijalankan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur. 30orang murid-murid yang cacat penglihatan mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan baru-baru ini.

Antara objektif program tersebut ialah untuk menerapkan rasa simpati dengan membantu golongan kurang upaya terutamanya pelajar-pelajar buta, belajar bagaimana cara berkomunikasi dengan betul bersama pelajar buta, mempelajari bagaimana cara hidup sebagai pelajar buta dan yang paling penting ialah untuk mengukuhkan semangat persaudaraan seIslam.

Banyak acara telah pun diatur untuk murid-murid sekolah tersebut sebagai salah satu cara untuk berinteraksi dengan mereka. Walaupun murid-murid tersebut mempunyai kekurangan dari segi penglihatan tetapi mereka mempunyai semangat dan iltizam yang tinggi untuk menyertai semua aktiviti yang disediakan.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah, Taaruf, Mini Explorace(mixed songs,kenali rakan anda,teka ajelah,terowong berhalangan & sukaneka) serta perkongsian pengalaman. Semua aktiviti yang disediakan adalah untuk mem bentuk dan membina semangat setiap murid-murid tersebut agar mereka mempunyai keyakinan diri, walaupun mereka mempunyai masalah penglihatan tetapi mereka juga adalah sebahagian daripada masyarakat yang lain.

Menurut Pengarah Program Mohammad Saufi Bin Mohd Zawawi, pelajar tahun2, jurusan pendidikan berkata; ‘dengan adanya program sebegini, kami para pelajar IPT dalam menyelami apa yang mereka rasa, dapat memahami perasaan mereka sebagai Orang Kelainan Upaya(OKU), apa yang saya dapat lihat ialah mereka ini perlu mendapat perhatian masyarakat kerena mereka adalah makhluk Allah juga. Kami agak terharu apabila kedatangan rombongan kami disambut meriah”.

Sebanyak lima modul telah disediakan untuk murid-murid tersebut belajar antaranya ialah Modul yang pertama dinamakan “Nenek-nenek”, Modul yang kedua ialah “Don’t do what I say”,yang ketiga pula ialah “Teka Rasa”, keempat dipanggil “Art and Craft” dan Modul yang kelima ialah sesi mengambil video.

Menurutnya lagi “saya berharap agar program sebegini dapat diteruskan supaya kita boleh bina keyakinan murid-murid tersebut supaya mereka tidak merasa rendah untuk berhadapan dengan masyarakat.”katanya.

Monday, 28 March 2011

Minggu Ummah UIAM 2011



oleh Ruslan Rusly

Minggu Ummah yang berlangsung di Pusat Aktiviti Kebudayaan(CAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) Gombak baru-baru ini dimanfaatkan oleh pelajar antarabangsa yang datang dari 105buah negara untuk mereka memperkenalkan budaya-budaya negara mereka kepada masyarakat luar.

Minggu Ummah ataupun Ummatic Week adalah acara yang ditunggu-tunggu oleh seluruh pelajar antarabangsa kerana pada waktu inilah mereka akan dapat menunjukkan tarian, pakaian, makanan serta mempromosikan negara mereka kepada semua.
Minggu Ummah di anjurkan setiap tahun oleh Jabatan Pelajar Antarabangsa UIAM. Pada tahun ini temanya ialah Batik. Program tersebut berlangsung selama 1minggu, banyak acara-acara telah pun diatur antaranya ialah, Larian ummatic, festival makanan antarabangsa, persembahan kebudayaan daripada 30buah negara seperti dari Iraq, Yaman, Palestin, Indonesia dan Sudan, pameran kebudayaan, pameran batik dan jualan makanan antarabangsa.

Antara objektif penganjuran Minggu Ummah ini ialah untuk membentuk satu perpaduan antarabangsa diantara pelajar antarabangsa serta pelajar tempatan, ia juga sebagai satu landasan untuk mendedahkan kebudayaan setiap negara yang diwakili oleh pelajar serta dalam masa yang sama pelajar-pelajar bertindak sebagai duta mewakili negara masing-masing dalam memperkenalkan negara mereka yang mempunyai budaya dan cara hidup yang unik.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pelajar Antarabangsa UIAM, Dr. Ahmed Jamal Badie manakala majlis penutup oleh Rektor UIAM, Y.bhg Prof. Dato’ Sri. Dr. Syed Arabi Idid. Majlis juga turut dimeriahkan oleh dengan kehadiran para duta-duta asing yang hadir untuk memberi sokongan kepada pelajar-pelajar dari negara mereka yang belajar di UIAM.

Farina Elaina Abdul Hanif, Pengarah Program Ummatic Week 2011 berkata: “ dengan penganjuran program sebegini, kita dapat melihat pelbagai budaya dan kita dapat kenal budaya rakan-rakan sekuliah kita dan ia juga adalah sebagai satu landasan yang terbaik untuk merapatkan lagi persaudaraan sesame kita umat Islam”.katanya.

Kabinet Baru Majlis Perwakilan Pelajar UIAM 2010/2011


oleh Ruslan Rusly

Setelah menempuh hari berkempen di dalam kampus selama seminggu, dan hari pilihanraya pada 22februari lalu untuk mahasiswa memilih siapakah calon yang akan memimpin dan mendengar suara mereka, baru-baru ini Barisan Kabinet Baru Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) 2010/2011 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) telah pun dibentuk.

Seramai 31pelajar memikul tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka dengan portfolio masing-masing bagi menjaga dan menjadi jambatan diantara pihak pentadbiran dan pelajar.

Majlis Bai’ah ataupun majlis angkat sumpah telah pun berlangsung di Pejabat Timbalan Rektor(Hal Ehwal Pelajar) di UIAM Gombak baru-baru ini. Seramai 11pelajar datangya daripada Kampus Perubatan di Kuantan dan selebihnya dari Kampus Gombak sendiri.

Majlis Bai’ah yang berlangsung selama 2jam itu turut dihadiri oleh Rektor UIAM Y.bhg Prof. Dato’ Sri. Dr. Syed Arabi Idid, Timbalan Rektor(Hal Ehwal Pelajar) Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood dan Pengarah Pembangunan Pelajar Dr. Nor Asiah Mohamad.

Sebelum majlis berlangsung, Rektor UIAM sempat memberikan beberapa nasihat serta berkongsi pengalaman bersama-sama dengan MPP, selain itu juga, semua pelajar dapat berkongsi cerita dengan rektor disamping itu juga mereka dapat menyuarakan soalan-soalan serta pandangan mereka terus ke pihak pengurusan.

Menurut Syed Arabi; “apabila kita telah dipilih dan dipertangungjawabkan untuk menjadi pemimpin maka kita perlulah menjalankan tugas dengan amanah, berdedikasi dan berintegriti disamping itu tidak melupakan aspek terpenting iaitu pelajaran”
Antara tugas-tugas MPP ialah untuk membawa suara-suara pelajar ini kepada pihak pengurusan kerana mereka yang memegang jawatan dalam MPP ini perlulah memastikan bahawa kebajikan serta keluhan-keluhan pelajar didengari dan disampaikan kepada pihak pengurusan secara professional. Ini sedikit sebanyak mendidik mereka untuk menjadi pemimpin yang berkaliber dan berdedikasi.

Muhammad Iqbal Ab. Wahab pelajar jurusan ekonomi tahun tiga yang dilantik sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIAM 10/11 berkata; “saya akan pikul tanggungjawab ini dengan baik disamping cabaran-cabaran yang perlu ditempuhi kerana di UIAM ini mempunyai ramai pelajar antarabangsa, disamping itu saya akan cuba mendekati pelajar-pelajar dengan cara turun padang supaya kita dapat dengar permasalahan mereka.”

Ia turut disokong oleh Timbalan Presiden 3, Siti Aminah Bt. Mohd Naim@Mohd Zuki pelajar Jurusan Teknologi Maklumat, tahun 2; “walaupun sibuk dengan belajar, tapi tanggungjawab yang diberikan akan saya laksana dengan baik serta memastikan tujuan serta dapat membantu rakan-rakan, namun sokongan serta kerjasama amat diperlukan supaya kita sama-sama dapat manfaat.”katanya.