Tuesday, 27 May 2014

MISI SUKARELAWAN GLOBAL UIAM HULUR BANTUAN DI SELATAN THAILAND



Para sukarelawan bergambar bersama penduduk Kg.Puyu, Wilayah Satun, Selatan Thailand
 oleh Roslan Rusly
//foto; sumbangan Censerve

Seramai 45 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) dan Persatuan Alumni Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim bersama-sama menjalankan misi sukarelawan antarabangsa dengan memilih Kampung Puyu, Wilayah Satun di Selatan Thailand, baru-baru ini.

Program Global Ummatic Outreach ke Thailand ini adalah merupakan salah satu projek yang terkandung dalam kalendar IIUM Serving the World Project dan ini juga merupakan projek sulung untuk Kelab UMission di bawah naungan Pusat Khidmat Masyarakat (CENSERVE) UIAM yang dijalankan di negara gajah putih itu. 

Antara objektif penganjuran program ini adalah untuk merapatkan lagi ukhwah diantara warga universiti dan juga penduduk kawasan kampung tersebut. Selain itu juga, ia adalah salah satu langkah UIAM untuk melebarkan lagi sayap program khidmat masyarakat setelah berbakti di bumi Kemboja, Sri Lanka, Indonesia dan Vietnam.

Akikah dan Penyembelihan
Banyak aktiviti dijalankan yang sepanjang empat hari program berlangsung. Aktiviti yang dijalankan turut mendapat penyertaan daripada seluruh penduduk kampung yang rata-rata sangat mengalu-alukan kehadiran para sukarelawan ke kampung mereka. Antara aktiviti yang dijalakan adalah Ibadah Aqiqah dan kenduri, gotong-royong, acara sukan rakyat, aktiviti ziarah, pengagihan sumbangan pakaian serta peralatan solat dan upacara berkhatan beramai-ramai dan juga pemeriksaan kesihatan turut dijalankan.

Dalam pada itu juga, Tabung Pendidikan Kanak-kanak dan Wakaf Muqadam turut dilancarkan. Program Tabung Pendidikan Kanak-kanak ini merupakan projek pembangunan pendidikan yang direka untuk membantu kanak-kanak Islam miskin dari Kg Puyu, Satun. 


 Projek ini  dapat membantu pihak pengurusan sekolah dan madrasah dengan meningkatkan utiliti mereka dengan menyediakan papan putih, meja dan kerusi dan dana sebagai gaji guru. Bantuan dari segi sumbangan Al-Quran dan peralatan pembelajaran turut disumbangkan oleh sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) iaitu pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).


Dalam masa yang sama program “Charity for Change” juga telah berjaya mengumpul 100 muqadam dan 50 naskah Al Quran. Muqadam telah diagihkan kepada Masjid Kg Puyu dan Masjid Kg Tanjung Gabus manakala Al Quran dan set uniform persekolahan telah diserahkan kepada Pihak Pengurusan Madrasah Tahfiz untuk diagihkan kepada pelajar.

Menurut Pengarah Program yang juga Presiden CENSERVE Team UIAM, Muhammad Asri bin Ismail berkata, “Penerimaan penduduk setempat amatlah diluar jangkaan kerana kami menjangkakan hanya sebilangan penduduk sahaja yang melibatkan diri secara langsung dan tidak langsung dalam misi ini. Jika dilihat pada hari kedua semasa Aqiqah dan kenduri diadakan dianggarkan lebih 2000 penduduk daripada berbeza lapisan umur hadir.”
 

Misi ini dilihat telah memberi impak yang besar kepada penduduk kampung dan sukarelawan, sukarelawan yang didedahkan dengan cabaran merentas laut lepas menggunakan bot nelayan Thailand mungkin merupakan satu pengalaman berharga kepada setiap sukrelawan dengan keadaan kawasan sekitar kampung yang serba kekurangan ini sudah cukup memberi kesedaran kepada sukarelawan yang mana keperluan untuk meraka membantu insan-insan yang lebih memerlukan.

Harapan saya selaku pengarah program Global Ummatic Outreach ke Thailand 2014 adalah misi seperti haruslah tidak hanya berhenti begitu sahaja dan mesti diteruskan dimasa akan datang. Perbezaan budaya, adat, bahasa dan latar belakang bukan batu penghalang untuk seorang mahasiswa mengadakan misi kemanusiaan di dalam dan luar Malaysia.” ujarnya lagi.

###

Utusan Malaysia 16 Jun 2014

Friday, 21 February 2014

PELAJAR UIAM JEJAKI MASYARAKAT MELAYU DI SRI LANKA




Para Peserta bergambar sebagai tanda kenangan

Oleh Roslan Rusly
foto// ihsan CENSERVE


Kelab Titian Wahyu di bawah naungan Pusat tanggungjawab Sosial Universiti (CENSERVE), Universiti islam Antarabangsa Malaysia(UIAM)  telah mengadakan program kemanusiaan antarabangsa bertempat di Sri Lanka. Program yang diberi nama Misi Kemanusiaan Antarabansga Untuk Masyarakat Melayu di Sri Lanka ini mendapat sokongan penuh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM, Prof. Datuk Dr. Mizan bin Hitam baru-baru ini.

Program ini merupakan salah satu agenda di dalam projek IIUM World Serving Team di mana projek ini mengutamakan peluang mahasiswa UIAM untuk meraih pengalaman menganjurkan program kemanusiaan di peringkat global. Seramai 22 orang warga UIAM yang terdiri daripada 18 orang pelajar dan empat pegawai turut menyertai misi ini. Mereka juga turut mengadakan lawatan ke perkampungan Melayu di Colombo, Wattala, Hambantota dan Pottuwil.

Tujuan utama misi ini dijalankan di Sri Lanka adalah supaya para mahasiswa dapat mengenali dan memahami keadaan masyarakat Melayu di Sri Lanka. mereka juga mengenali bagaimana budaya dan cara hidup masyarakat melayu di Sri. Disamping pendedahan dan pengalaman baru, para pelajar juga  berkongsi pengetahuan mereka dengan mengadakan lawatan ke universiti, sekolah serta kolej di sana.


Peserta juga turut mengunjungi sebuah Rumah Anak Yatim di daerah Kolonnawa dan mereka berkesempatan untuk mendekati golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan menghulurkan bantuan berupa makanan serta pakaian hasil sumbangan rakyat Malaysia. 




Program ini memberikan kesedaran yang tinggi kepada para pelajar UIAM. Dengan melihat keadaan semasa di sana, pelbagai jenis bantuan harus disalurkan, terutamanya dalam bidang pendidikan. Bahasa Melayu di sana semakin tidak ditutur oleh kebanyakan masyarakat melayu. Penduduk di sana juga mempunyai harapan yang sama, iaitu ingin melihat bangsa Melayu berjaya di mana sahaja mereka berada.

Mereka juga berharap agar Malaysia amnya, UIAM khususnya agar datang sekali lagi, dan banyak mengaturkan program untuk memperkemaskan bahasa Melayu dan mengajar anak-anak muda mereka agar pandai berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Melayu.

Peserta juga turut pergi ke beberapa sekolah dan turut pihak sekolah juga turut mengadakan perbincangan dengan peserta dalam sesi perkongsian idea dalam bidang pendidikan dan projek kerjasama untuk jangka panjang.

Menurut Mohd Khairulzain Abdul Rahman, Penolong Pengarah Kanan CENSERVE ketika di temui beliau berkata, “program ini bukan hanya tertumpu kepada lawatan sahaja. Para pelajar juga bekerjasama dengan beberapa buah sekolah di Hambantota dalam misi mereka mengajar teknik membaca al-Quran yang lebih dikenali sebagai teknik ‘al-Baghdadi’”.

Masyarakat Melayu di sana cukup unik. Para sukarelawan disambut dengan cukup meriah oleh penduduk setempat semasa mereka mengadakan lawatan dari rumah ke rumah bagi mengenali masyarakat Melayu Sri Lanka. 

Mereka juga dijamu dengan pelbagai aneka makanan tempatan dan menariknya, penduduk di beberapa kampung berupaya untuk bertutur dalam bahasa Melayu walaupun ada perbezaan dari sudut tatabahasa dan susunan ayat. Perkatan seperti, merah, biru, hijau, pisang, rambutan, durian, makan masih kedengaran dengan jelas manakala ada juga yang menggunakan bahasa melayu berdialek Sabah atas sebab keturunan. Paling ketara, mereka banyak menggunakan tatabahasa Indonesia dan selebihnya adalah bahasa Melayu Malaysia.

“Saya rasa, ini peluang baik bagi kami yang menaung projek IIUM World Serving Team, kerana pada masa akan datang kita bakal melihat para pelajar UIAM boleh menjadi sukarelawan untuk mengajar dibeberapa buah sekolah untuk jangka masa tertentu dan dalam masa yang sama sekolah juga boleh mengadakan siri lawatan ke UIAM untuk tujuan pendedahan,” ujarnya lagi. 


 

Wednesday, 12 February 2014

Latihan Tahunan Pegawai Muda PALAPES Darat 2014


Sebahagian daripada kumpulan kadet senior bergambar bersama tetamu khas yang hadir.

oleh Roslan Rusly
foto// Roslan Rusly

Seramai 291 orang Pegawai Kadet Pasukan PALAPES Darat yang terdiri daripada para pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) dan Universiti Malaya menjalani Latihan Tahunan Pegawai Muda PALAPES Darat yang berlangsung di Kuala Lipis, Pahang baru-baru ini.

Pegawai Kadet  bersemangat untuk melancarkan serangan.
Latihan tahunan ini berlangsung selama 11 hari yang diadakan di Kem 8, Rejimen Askar Melayu Diraja(RAMD) Kuala Lipis Pahang. Sepanjang latihan Pegawai Kadet akan didedahkan dengan pelbagai Ilmu ketenteraan dan disiplin. Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Pegawai Kadet Pangkat Dua dan Tiga.Pegawai Kadet berpangkat dua adalah mereka yang junior manakala Pegawai Kadet Pangkat tiga adalah mereka yang senior.

Antara objektif penganjuran latihan tahunan ini adalah untuk memberikan pendedahan tentang konsep peperangan konvensional, memupuk semangat setiakawan, membina ketahanan mental dan membentuk disiplin, menguji dan menilai tahap asas ketenteraan dan dapat memberikan pendedahan tentang tugas-tugas yang sebenar jika berlaku peperangan.

 Modul latihan ini dibahagikan kepada dua iaitu Fasa Medan(hutan) dan Fasa Kem.  Fasa Kem mereka akan menjalani latihan seperti kawad kaki dan kawad senjata, membaca peta, latihan senjata dan mereka akan menduduki ujian bertulis. Manakala untuk Fasa Medan pula mereka akan ditempatkan di Ladang Kelapa Sawit Felda Kechau 8, Kuala Lipis untuk menjalani latihan hutan. Pegawai Kadet intermediate akan menjalani latihan offensive iaitu mara dan serang manakala Pegawai Kadet Senior akan melalui fasa defensive iaitu pertahanan dan pengunduran.

 
Timbalan Rektor(Hal Ehwal Pelajar)UIAM hadir.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM, Mejar (K) Prof. Dato’ Dr. Mizan Hitam dan Timbalan Komandan UM Mejar Dr. Abdul Halim Mokhtar turut hadir bagi memberikan semangat serta memantau perlajanan sepanjang latihan berlangsung.  Mejar Azali Jaya bertindak sebagai Ketua Jurulatih untuk sepanjang perjalanan latihan tahunan ini.




Menurut Dato’ Dr. Mizan dengan adanya latihan sebegini ia sedikit sebanyak membantu pelajar untuk membentuk sahsiah diri yang mantap dan berdisiplin. Ia juga adalah salah satu cara untuk melahirkan rasa cinta kita kepada negara.
“Latihan ini dapat membantu untuk membentuk disiplin para pelajar, jika mereka pulang ke kampus dapat menerapkan nilai disiplin kepada rakan-rakan sekuliah manakala jika mereka tamat belajar kelak pegawai yang terlatih ini dapat berbakti kepada masyarakat, keluarga serta kepada negara”. katanya.


Hari terakhir latihan tahunan ini diadakan satu pertempuran diantara Pegawai Kadet Intermidiate dan Pegawai Kadet Senior. Pertempuran ini adalah sebagai medan pertempuran yang terakhir mereka untuk menggunakan segala kecekapan serta segala kemahiran yang telah mereka pelajari  sepanjang latihan tahunan ini berlangsung. 





Monday, 20 January 2014

KEMBARA DAN DAKWAH “IIUM BIKERS”



Kembara Kemanusiaan  & Dakwah IIUM Bikers//foto;Roslan Rusly

  Oleh Roslan Rusly


Seramai 30 orang warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) menjalankan aktiviti Tangggungjawab Sosial Korporatnya yang berlangsung di Madrasah Nadratul Hasanah di Jitra Kedah. Kembara ini turut mendapat kerjasama daripada kelab bermotosikal UIAM iaitu IIUM Bikers baru-baru ini.

 Konvoi kembara ini bermula di UIAM Kampus Gombak dan berakhir di Jitra Kedah. Sepanjang perjalanan program yang berlangsung selama 3 hari, banyak aktiviti dijalankan antaranya ialah program gotong-royong membersihkan kawasan Madrasah, Program Motivasi kepada pelajar Madrasah, Program Pembelajaran dan Pengajaran untuk guru-guru serta program Hal Ehwal Islam.



Antara objektif penganjuran program ini adalah untuk merapatkan lagi ukhwah diantara warga universiti dan juga penduduk sekitar. Selain itu juga, dengan adanya program motivasi yang dianjur, ia sedikit sebanyak dapat memberikan semangat serta persiapan para pelajar maahad tersebut yang bakal menduduki peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) dan Penilaian Menengah Rendah(PMR).


Selain mengadakan program motivasi pelajar, program gotong-royong turut berlangsung dengan mendapat kerjasama daripada guru-guru serta para pelajar. Halaman dewan utama sekolah tersebut di telah di dekorasi menjadi sebuah taman untuk menaikkan lagi semangat para pelajar dengan persekitaran yang baru serta segar.



Program Hal EhwaI Islam turut diadakan pada sebelah malam di dewan sekolah tersebut. Majlis Ilmu ini turut dihadiri penduduk sekitar serta warga Maahad tersebut. Majlis ini di pengerusikan oleh penasihat IIUM Bikers, Ybhg Dato’ Hamidon Hamid. Dua orang ustaz dijemput untuk bersama-sama memberikan ilmu dan ceramah.


Program yang dijalankan ini adalah salah satu cara dakwah serta menunjukkan keperihatinan pihak universiti kepada masyarakat luar yang sama-sama boleh memberi dorongan atau motivasi kepada para pelajar sekolah serta masyarakat. Ia juga adalah salah satu cara dakwah dengan menggunakan medium motorsikal untuk mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
  
Satu lawatan turut diadakan di Prince Songkhla University(PSU) Thailand. Lawatan yang dilakukan ini adalah untuk merapatkan kerjasama diantara UIAM dan PSU.