Monday, 20 January 2014

KEMBARA DAN DAKWAH “IIUM BIKERS”



Kembara Kemanusiaan  & Dakwah IIUM Bikers//foto;Roslan Rusly

  Oleh Roslan Rusly


Seramai 30 orang warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) menjalankan aktiviti Tangggungjawab Sosial Korporatnya yang berlangsung di Madrasah Nadratul Hasanah di Jitra Kedah. Kembara ini turut mendapat kerjasama daripada kelab bermotosikal UIAM iaitu IIUM Bikers baru-baru ini.

 Konvoi kembara ini bermula di UIAM Kampus Gombak dan berakhir di Jitra Kedah. Sepanjang perjalanan program yang berlangsung selama 3 hari, banyak aktiviti dijalankan antaranya ialah program gotong-royong membersihkan kawasan Madrasah, Program Motivasi kepada pelajar Madrasah, Program Pembelajaran dan Pengajaran untuk guru-guru serta program Hal Ehwal Islam.



Antara objektif penganjuran program ini adalah untuk merapatkan lagi ukhwah diantara warga universiti dan juga penduduk sekitar. Selain itu juga, dengan adanya program motivasi yang dianjur, ia sedikit sebanyak dapat memberikan semangat serta persiapan para pelajar maahad tersebut yang bakal menduduki peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) dan Penilaian Menengah Rendah(PMR).


Selain mengadakan program motivasi pelajar, program gotong-royong turut berlangsung dengan mendapat kerjasama daripada guru-guru serta para pelajar. Halaman dewan utama sekolah tersebut di telah di dekorasi menjadi sebuah taman untuk menaikkan lagi semangat para pelajar dengan persekitaran yang baru serta segar.



Program Hal EhwaI Islam turut diadakan pada sebelah malam di dewan sekolah tersebut. Majlis Ilmu ini turut dihadiri penduduk sekitar serta warga Maahad tersebut. Majlis ini di pengerusikan oleh penasihat IIUM Bikers, Ybhg Dato’ Hamidon Hamid. Dua orang ustaz dijemput untuk bersama-sama memberikan ilmu dan ceramah.


Program yang dijalankan ini adalah salah satu cara dakwah serta menunjukkan keperihatinan pihak universiti kepada masyarakat luar yang sama-sama boleh memberi dorongan atau motivasi kepada para pelajar sekolah serta masyarakat. Ia juga adalah salah satu cara dakwah dengan menggunakan medium motorsikal untuk mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
  
Satu lawatan turut diadakan di Prince Songkhla University(PSU) Thailand. Lawatan yang dilakukan ini adalah untuk merapatkan kerjasama diantara UIAM dan PSU.


Monday, 16 December 2013

PASUKAN PERAHU NAGA UIAM LAKAR KEJAYAAN



Pasukan Perahu Naga Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) 
   

 Oleh Roslan Rusly
 foto Mohd Zabidi Hamid
Pasukan Perahu Naga Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) Kampus Petaling Jaya melakar kejayaan apabila mendapat tempat ketiga dalam ‘Pertandingan Kayak Dan Perahu Panjang Karnival Sukan Air bersempena dengan penganjuran Moonson Cup Malaysia 2013 yang berlangsung di Pulau Duyong, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Apa yang menariknya ialah pasukan ini baru sahaja ditubuhkan pada November 2013 dan menyertai pertandingan ini dalam kategori “ Agensi Kerajaan”.  Pasukan UIAM meraih kejayaan dengan jumlah masa yang dicatatkan 53.45saat untuk jarak 250meter dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM1000.00. Tempat pertama di sandang oleh Pasukan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) dan tempat kedua di menangi oleh Pasukan dari Kementerian Kewangan.

Seramai 22 orang kakitangan UIAM terlibat didalam satu pasukan. Pengurus Pasukan Mohd. Hishamuddin B. Md. Nor beliau berkata walaupun pasukan ini baru sahaja ditubuhkan namun beliau berasa sangat bangga dengan komitmen serta semangat setiap anggota pasukan sehingga mendapat meraih kecemerlangan.

Pengurus Pasukan menerima  hadiah
“walaupun hanya berbekalkan lima hari sahaja membuat latihan sebelum pertandingan bermula, namun kami masih dapat meraih kejayaan kerana semangat serta iltizam untuk berjaya semakin kuat ditunjukkan”.




Dengan kejayaan yang diraih, pasukan Perahu Naga UIAM akan terus berusaha untuk meningkatkan prestasi pasukan dan juga akan banyak menyertai pertandingan-pertandingan yang di anjurkan dan apa yang diharapkan pasukan perahu naga ini dapat mengharumkan nama Universiti dan sekaligus nama negara, ujarnya lagi.

Terdapat empat kategori yang dianjurkan pada pertandingan tersebut iaitu "Kategori Tertutup Terengganu", "Kategori Terbuka Terengganu", "Kategori IPT" dan "Kategori Agensi Kerajaan". 

 

Thursday, 21 November 2013

PENSYARAH JULANG NAMA UIAM DAN MALAYSIA TERIMA ANUGERAH HABIBIE 2013


  Oleh Roslan Rusly
foto// Prof. Dr. Irwandi

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) , Professor Dr. Irwandi Jaswir dari Jabatan Kejuruteraan Bioteknologi, terpilih sebagai penerima Habibie Award 2013 untuk bidang Perubatan dan Bioteknologi, dalam sebuah majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Jakarta, Selasa, 19 November 2013 baru-baru ini.

Habibie Award merupakan antara anugerah akademik paling berprestij dan tertua di rantau ini. Anugerah ini disumbangkan oleh mantan Presiden Indonesia yang juga seorang saintis terkenal, Bacharuddin Jusuf Habibie, sejak 15 tahun yang lalu. 

Setiap tahun, the Habibie Centre, yayasan yang dimiliki keluarga Habibie, akan memilih para saintis yang berjasa dalam 5 bidang, iatu Sains Asasi, Kejuruteraan, Perubatan dan Bioteknologi, Ilmu Sosial, serta Ilmu Budaya.

Bagaimanapun, demi memenuhi piawaian anugerah ini, ada kalanya anugerah ini tidak ada pemenang. Penghakiman dilakukan oleh panel yang terdiri dari 25 orang Profesor kanan dan ulung dalam berbagai bidang.

Irwandi, 42 tahun, yang banyak melakukan penyelidikan yang berkaitan makanan halal dan kegunaan rumput laut perang untuk kesihatan, seperti bahan ubat untuk penyakit kanser, anti-inflammatory, dan anti-obesity telah banyak menerima anugerah diperingkat antarabangsa dan banyak menerbtkan ratusan karya ilmiah.

 Beliau juga pernah menerima anugerah Outstanding Researcher Award di UIAM beberapa kali serta anugerah Asia Pacific Young Scientist Award pada 2010.

Dalam majlis itu turut dihadiri oleh para pimpinan Kerajaan Indonesia, tokoh-tokoh akademik, para perwakilan Kementerian, dan tokoh-tokoh politik.

Prof. Dr. Irwandi menerima pingat emas, sijil penghargaan dan cek berjumlah 25ribu Dolar Amerika yang disampaikan oleh Pengerusi panel hakim yang juga mantan Menteri Pendidikan Indonesia, Prof. Dr.  Wardiman Djojonegoro.

KEMBARA KHALIFAH UIAM


Tanda Kenangan, Peserta Kembara Khalifah UIAM bergambar sebagai tanda kenangan di Kemboja.

Sumbangan; CENSERVE
Oleh Roslan Rusly

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini telah menganjurkan misi kemanusiaan ‘Kembara Khalifah’(journey of khalifah) di Kemboja selama seminggu daripada 13 Oktober hingga 20 Oktober yang lalu. Program anjuran Pusat Tanggungjawab Sosial Universiti (Censerve) di bawah Pejabat Timbalan Rektor (Ehwal Pelajar) UIAM ini bertujuan untuk menyelami kehidupan masyarakat di sana yang secara tidak langsung melahirkan rasa keinsafan dan kesyukuran terhadap nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita.

Kembara 8 hari yg disertai oleh 36 sukarelawan termasuk 8 org pelajar,2 orang kakitangan UIAM dan 2 orang doktor diketuai oleh ketua pegawai perubatan pusat kesihatan UIAM, Dr. Dinon Mohd.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Alumni Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Ummatic Mission Resources dan Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan UIAM.

Pelbagai program yang telah dilaksanakan sepanjang berada di sana antaranya ialah ibadah korban dan aqiqah sebanyak 73 ekor lembu dikorbankan di Wilayah Battambang yang merangkumi 6 kampung. Projek air bersih dan penyerahan bantuan pendidikan kanak-kanak muslim kemboja turut dijalankan .Selain itu antara program yang turut berlangsung semasa misi kali ini ialah program berkhatan beramai-ramai , aktiviti “play-therapy ” untuk kanak-kanak.

Program berkhatan juga turut dijalankan. 
Sesi berkhatan percuma diadakan selama 2 hari dari pagi hingga petang. Ia berjaya menarik 120 kanak-kanak yang datang daripada pelbagai kampung dan ada yang sanggup datang daripada jauh untuk melaksanakan tuntutan agama ini. yang  diketuai oleh Dr. Dinon Mohd dan Dr Md Soep Sadimon.





Tidak ketinggalan, penyampaian sumbangan pakaian, telekung, kain sarong dan muqaddam kepada penduduk-penduduk kampung sekitar Battambong dan Siem Reap. Kehadiran warga UIAM sentiasa disambut baik oleh penduduk kampung dilawati dan mereka amat menghargai bantuan yang disampaikan.

Majlis penutup misi kemanusiaan ‘Kembara Seorang Khalifah’ ini dirasmikan oleh Prof. Datuk Dr. Mizan bin Hitam, Timbalan Rektor hal ehwal pelajar UIAM. 


“Menerusi kembara ini, saya berharap ini bukan kembara terakhir dan seharusnya berterusan dari segi ukhwah dan sumbangan sebagai amal jariah antara UIA dan wilayah Battambong. Ia sangat bermanfaat bukan sahaja terhadap penduduk masyarakat setempat tetapi ia juga memberi pendedahan kepada sukarelawan-sukarelawan merasai bagaimana kehidupan masyarakat islam di rantau ini” ujar beliau.

Program ini juga disertai oleh Datuk Azizan Hamid mantan setiausaha kerajaan negeri Perlis.