Tuesday, 16 April 2013

KERJASAMA STRATEGIK UIAM DAN UAI



KERJASAMA STRATEGIK UIAM DAN UAI

dari kiri Prof. Dr. AbdelAziz Berghout, Timbalan Rektor Pengantarabangsaan dan Hubungan Industri serta Komuniti bersalaman dengan Rektor UAI sebagai tanda termeterainya perjanjian
oleh Roslan Rusly
 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) menjalinkan kerjasama strategik dengan Universitas Al-Azhar Indonesia(UAI). Majlis menandatangani memorandum persefahaman(MoU) ini berlangsung di UIAM Kampus Gombak baru-baru ini.

  Universiti Islam Antarabangsa Malaysia diwakili oleh Prof. Dr. AbdelAziz Berghout, Timbalan Rektor (Pengantarabangsaan dan hubungan Industri serta Komuniti) manakala Universitas Al-Azhar Indonesia diwakili oleh Prof. Dr. Ir. Muh. Zuhal, Rektor Universitas Al-Azhar Indonesia.

Kerjasama ini adalah untuk mengukuh dan menguatkan lagi sistem akademik dan keberhasilan penyelidikan dalam semua bidang. Ia juga adalah satu kerjasama yang membawa faedah kepada bidang pendidikan, penyelidik dan juga bukan akademik.
Kedua-dua universiti ini bersetuju untuk menjalankan beberapa program berkembar, pembangunan kokurikulum, pertukaran pelajar serta kerjasama dalam mengadakan seminar, workshop dan latihan.

UIAM dipilih sebagai rakan strategik adalah kerana melihat kepada kemajuan serta pencapaiannya dalam semua bidang yang boleh dibanggakan di dalam dunia Islam serta peringkat antarabangsa. Ia juga dijadikan sebagai satu model yang boleh dijadikan ikutan dalam kemajuan sistem pendidikan yang mempunyai nilai-nilai Islami.

Universitas Al-Azhar Indonesia adalah sebuah Institut Pengajian Swasta yang ditubuhkan pada Ogos tahun 2000 yang terletak di Kompleks Masjid Agung Al-Azhar, Jakarta Indonesia.

Wednesday, 3 April 2013

PELAJAR UIAM RENTAS LAUTAN JALANKAN PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT DI INDONESIA



PELAJAR UIAM RENTAS LAUTAN JALANKAN PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT DI INDONESIA
   
Kenangan bersama, pelajar UIAM bergambar bersama
 
oleh Roslan Rusly
foto ihsan censerve
Seramai 18 orang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mewakili Quranic Youth Club (QYC)UIAM telah menjalankan program khidmat masyarakat di Yogyakarta, Indonesia selama tujuh hari ke sebuah pesantren di Gunung Kidul iaitu Madrasah Al-Hikmah,Yogyakarta baru-baru ini. Madrasah Al-Hikmah menempatkan pelajar-pelajar dalam lingkungan usia 12-17 tahun.

Penganjuran program ini adalah bertujuan untuk mengeratkan hubungan dengan  para pelajar serta guru-guru di madrasah tersebut. Bukan itu sahaja, program ini sekali gus dapat mengeratkan lagi hubungan di antara kedua-dua negara yang majoritinya adalah umat Islam.

Pelbagai aktiviti diatur dan dijalankan antaranya ialah, bersama-sama bergotong-royong membersihkan kawasan madrasah dan persekitarannya memandangkan kawasan tersebut tidak teratur. Selain itu juga pelajar UIAM turut menyumbangkan beberapa buah rak buku serta membaik pulih keadaan perpustakaan madrasah tersebut untuk kegunaan para pelajar.

Selain itu, pelajar UIAM turut menghadiahkan kepada pelajar madrasah tersebut beberapa buah buku tulis serta kamus dan buku rujukan untuk kegunaan mereka dalam meneruskan pembelajaran mereka. Para pelajar UIAM juga turut mengadakan sessi ulangkaji bersama-sama pelajar madrasah tersebut.

Menurut Guru Besar madrasah tersebut, Ustaz Harun Ar-Rasyid berkata; “ saya sangat gembira dengan kedatangan para pelajar UIAM yang datang jauh beribu batu dan memilih madrasah kami untuk sama-sama membantu dalam membentuk ummah yang terbaik”.

Walaupun menempuh perjalanan yang jauh, namun semangat setiap peserta dapat dilihat apabila mereka bersama-sama menjalankan aktiviti walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan.

Muhammad Irfan bin Md.Nor selaku pengarah program berharap program yang dijalankan tidak terhenti disini dan mungkin program ini akan menjadi program yang berterusan dan dimasukkan didalam kalendar kelab.

“Semoga khidmat masyarakat ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara 2 buah negara. Sebagai saudara seislam, sepatutnya kita membantu mereka untuk menuntut ilmu.” ujarnya lagi.