Tuesday, 31 January 2012

Majlis minum petang rakan Facebook Tun Dr. Mahathir meriah.


oleh Ruslan Rusly
foto Ruslan Rusly & Daniel

KENANGAN. Seramai 160 rakan Facebook Tun Dr Mahathir menyertai majlis minum petang bersama idola mereka bekas perdana menteri Malaysia Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad. Majlis bersama Tun Mahathir itu turut disertai dengan isteri beliau Tun Siti Hasmah. Semua rakan-rakan Facebook tidak melepaskan peluang untuk bersua muka serta bertanyakan khabar dan mengambil gambar bersama idola mereka.

Pada majlis itu juga, Tun Mahathir menyampaikan ucapan dengan menegaskan bahawa kita perlu sayangkan negara kita dan beliau amat berterima kasih kerana ada yang menghargai jasanya melalui Facebook Group Tun Dr Mahathir.

Menurut pengasas Facebook Group Tun Dr Mahathir, Pn. Eranee Rusli berkata; “tujuan mewujudkan Facebook Tun Dr Mahathir adalah tanda kita sebagai rakyat Malaysia yang sangat menghargai jasa-jasa yang telah di buat oleh Tun Mahathir dan sebagai tanda terima kasih dari rakyat Malaysia”.

Semua rakan-rakan facebook Tun Dr Mahathir amat berpuas hati dengan penganjuran majlis minum petang ini kerana mereka dapat bersama-sama idola mereka. Pada majlis ini juga sebuah keluarga daripada Bosnia Herzegovina turut hadir untuk menemui Tun Dr Mahathir.

Tuesday, 10 January 2012

UIAM JALIN KERJASAMA PINTAR PERHEBATKAN PENYELIDIKAN HALAL


oleh Roslan Rusly
foto Shamsuri Abdul Jalil

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sekali lagi mengorak langkah kehadapan dengan menjalinkan kerjasama pintar dengan Kayu Gaharu (M) Sdn Bhd(KGMSB) dalam menjalankan kajian terhadap Kayu Gaharu melalui suntikan inokular ke atas kayu gaharu untuk menghasilkan produk perubatan yang berlandaskan halal.

Kerjasama ini dimeterai dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) baru-baru ini. UIAM di wakili oleh Rektornya iaitu Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha Kamaruddin manakala KGMSB di wakili oleh Pengerusi Eksekutifnya En. Osman Hanapi.

Kerjasama yang dijalankan ini adalah bertujuan untuk membangunkan dan memajukan industri kayu gaharu di Malaysia berlandaskan penghasilan produk-produk yang berteraskan syariah iaitu penghasilan produk halal. Selain itu juga UIAM akan membuka sebuah pusat sehenti ataupun One Stop Centre iaitu“ IIUM Oud Research Centre” yang dijangkakan siap pada 2017 yang beroperasi di UIAM kampus Gombak.


Dr. Yumi Has-Yun Hashim ketua penyelidik kayu gaharu ini berkata, “ dengan adanya one stop centre itu nanti, penyelidikan keseluruhan pokok gaharu itu akan dapat dijalankan, ini kerana pada masa sekarang hanya beberapa bahagian sahaja yang dikaji serta penyelidikkan itu nanti akan lebih fokus dari banyak aspek.”

Oud Research Centre juga adalah sebagai saluran untuk menyebarkan maklumat berkenaan dengan gaharu kepada masyarakat selari dengan pasaran halal yang merangkumi produk-produk gaharu seperti minyak wangi, teras kayu, produk kosmetik dan produk perubatan.

Kerjasama ini telah pun bermula sejak tahun 2010 lagi dan pada ketika ini hasil dari kerjasama yang terjalin, kini UIAM dan KGMSB telah menghasil minyak wangi yang berasaskan kayu gaharu dan yang paling penting ianya halal kerana tidak menggunakan sebarang campuran alkohol. Minyak wangi tersebut diberi nama ARSeries.

“Dengan terjalinnya kerjasama ini, kita dapat menyokong pihak kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub halal ini kerana produk kayu gaharu ini mempunyai pasaran dan nilai yang tinggi lebih-lebih lagi dipasaran timur tengah.”katanya.

Wednesday, 4 January 2012

HASIL KAJIAN PENYELIDIK UIAM MENDAPATI DAUN TOMATO BOLEH RAWAT MASALAH JERAWAT


oleh Ruslan Rusly
foto Ruslan Rusly

Hasil daripada kajian serta penyelidikkan yang telah dibuat selama 2 tahun, penyelidik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah berjaya menemui tindakbalas anti-radang (anti-Inflammatory) ke atas daun buah tomato untuk rawatan masalah jerawat. Kajian ini dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Bioprocess & Molecular Engineering Research Unit (BPMERU) dan International Institute for Halal Research Unit (INHART) Kulliyah Kejuruteraan UIAM.

Kajian yang dijalankan ini melibatkan 5 orang penyelidik yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Azura Amid, Prof. Madya Dr. Parveen Jamal dan pelajar yang mengambil jurusan Master dalam Kejuruteraan Bioteknologi iaitu Sulawati Semail, Nurul Elyani Muhamad dan Kausar Ahmad.

Kajian ini tercetus apabila Dr. Azura pergi melawat ke sebuah ladang tanaman buah tomato dan beliau melihat daun-daun tomato tersebut dibuang sebegitu sahaja.

Menurut Dr. Azura; “apabila saya melihat daun-daun tomato tersebut di buang begitu sahaja, maka saya cuba mengambil inisiatif untuk membuat kajian keatas daun tomato tersebut kerana seperti yang diketahui buah tomato itu sendiri mempunyai anti oksida, anti kanser dan anti gout. Jadi saya ingin ketahui apa pula yang ada didalam daun tomato ini.”


Dalam masa yang sama kita dapat menyelamatkan persekitaran atau “recycle environment” dimana bahan buangan daun tomato tersebut boleh dikitar semula.

Setelah menjalani beberapa proses kajian dijalankan di makmal mendapati bahawa daun tomato ini mempunyai anti kanser dan kajian itu menunjukkan terdapatnya tindakbalas terhadap sel-sel yang bengkak akan surut dan dapat mengurangkan jangkitan.

“setelah melihat reaksi dan tindak balas yang berlaku hasil daripada kajian makmal yang dibuat, menunjukkan bahawa daun tomato ini mempunyai nilai dari segi perubatan lebih-lebih lagi dalam masalah dermatologi (masalah jerawat). Kami juga mendapati bahawa daun tomato ini dapat mengurangkan keradangan pada kulit yg mempuyai jerawat.”ujarnya.

Ini adalah salah satu inisiatif untuk pencegahan awal supaya tidak menjadi lebih teruk, apa yang dapat dinyatakan bahawa produk ini adalah berteraskan produk semulajadi dan tanpa menggunakan sebarang tambahan asid-asid yang boleh meninggalkan kesan-kesan di masa akan datang.

“Sekarang ini kami masih lagi didalam proses untuk menjadikan ekstrak ini didalam bentuk krim kerana hasil sekarang ini adalah dalam bentuk serbuk, dan ini adalah salah satu alternatif rawatan untuk jerawat. katanya.

UIAM JALIN KERJASAMA PINTAR DENGAN TIGA UNIVERSITI DI MOROCCO


oleh Ruslan Rusly

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) menjalinkan kerjasama pintar dengan tiga buah universiti di Morocco baru-baru ini. Tiga universiti di Morocco yang terlibat dalam kerjasama ini ialah Universiti Al Akhawayn di Ifrane, Universiti Moulay Ismail di Meknes dan Université Sidi Mohamed Ben Abdellahin di Fez, Morocco.

Antara objektif MOU ini khususnya memberi tumpuan kepada hubungan antara Sekolah Sains dan Kejuruteraan Al Akhawayn dengan Kulliyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi UIAM. Kedua-dua fakulti ini akan bekerja pada pelaksanaan program pertukaran akademik untuk pelajar dan fakulti mereka. Mereka juga akan menyertai usaha-usaha untuk mengkaji semula, membangun, dan melaksanakan kurikulum dalam bidang sains, kejuruteraan dan ICT.


Perjanjian ini mencerminkan komitmen ketiga-tiga institusi itu untuk menggalakkan dan membangunkan kerjasama dalam semua bidang untuk kepentingan bersama terutama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi serta dalam bidang penyelidikan saintifik dan membangunkan untuk melaksanakan projek-projek penyelidikan.

Majlis tandatangan ini di adakan di ketiga-tiga buah universiti tersebut, setiap universiti di wakili oleh pegawai tertinggi mereka masing-masing. Universiti Moulay Ismail di wakili oleh Presidennya iaitu Prof. Dr. Ahmed Lebrihi, Universiti Al Akhawayn pula di wakili oleh Presidennya Driss Ouaouicha dan Université Sidi Mohamed Ben Abdellahin pula diwakili oleh Prof. Esserrhini Farissi.

Menurut Presiden Universiti Al Akhawayn ini adalah kali pertama dan julung-julung kalinya Universiti itu menjalinkan kerjasama dengan universiti dari Asia Tenggara.
Delegasi dari UIAM adalah terdiri daripada Rektor UIAM, Ybhg. Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha Kamaruddin, Timbalan Rektor Perhubungan Komuniti, Industri dan Pengantarabangsaan UIAM Prof. Dr. AbdelAziz Beghout, Dekan Kulliyah Komunikasi dan Teknologi Maklumat Prof. Dr. Adam Suhaimi, Timbalan Dekan Siswazah dan Penyelidikan Prof. Dr. ABDUL B.ABDUL RAHMAN dan Pegawai Pn. Zurina Abdul Ghani.

Delegasi ini juga turut disertai oleh duta besar Malaysia ke Morocco Tuan Yang Terutama M. Jamal bin Hassan.