Monday, 30 May 2011
Wakil UIAM sertai penjelajahan tujuh negara”Jejak Warisan Jawi 2”
oleh Ruslan Rusly
Untuk menjejaki warisan melayu dari zaman dahulu lagi, satu program telah dijalankan untuk membongkar kembali sejarah penulisan persuratan melayu iaitu tulisan jawi. Hasil daripada kesedaran tersebut maka program Jejak Warisan Jawi 2 telah dilancarkan untuk merungkai kembali tulisan jawi yang dulunya menjadi tulisan yang digunakan diseluruh nusantara bagi kebanyakkan masyarakat melayu.
Jejak Warisan Jawi 2(JWJ2) yang akan menjelajah tujuh negara iaitu Malaysia, Thailand,Kemboja,Vietnam, Laos,China dan Myanmar telah dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim baru-baru ini. Program Jejak Warisan Jawi 2 ini dianjurkan oleh Kelab Putera 1Malaysia, Majma’ Budaya dan Warisan Jawi dan disokong oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Sokong komuniti daripada tiga Institut Pengajian Tinggi dan antaranya ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) yang menghantar wakil seramai tiga orang. Mereka ialah Mohd Afiq Zulkifli mahasiswa jurusan Sains politik, Ahmad Syafiq Mohd Yuhaizad dari jurusan Undang-undang dan Ustaz Zaid Muhammad Mohd Rais, pensyarah dari Jabatan Tilawah Pusat Pembangunan Bahasa dan Pra-Universiti(CELPAD) UIAM.
Antara peranan yang dimainkan oleh wakil UIAM ini ialah dengan mengadakan program-program yang lebih kepada kemasyarakatan dan mengembalikan budaya melayu yang diwarisi selama turun temurun antaranya ialah membuat aktiviti mini kelas jawi, kelas tafsir dan bacaan Al-Fatihah serta menyampaikan sumbangan kepada masyarakat melayu di sana. Program ini juga akan mendekati masyarakat melayu yang ada di seluruh nusantara.
Menurut Mohd Afiq berkata; “ dengan adanya program sebegini sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada masyarakat kita di Malaysia kerana kita patut rasa bertuah dapat hidup di negara ini dan ia akan menguji semangat dan kekentalan kami sebagai mahasiswa UIAM untuk turut merasai keperitan yang dialami oleh masyarakat di sana nanti”.
Sunday, 29 May 2011
Pelajar UIAM manfaat peluang belajar di negara orang
oleh Ruslan Rusly
Berpeluang untuk belajar di negara orang adalah satu perkara yang diimpikan oleh kebanyakan pelajar. Oleh itu, dengan kesempatan yang telah diberikan oleh International Islamic University Malaysia (IIUM) dan ditaja oleh Kerajaan Australia melalui Endeavour Scholarship Award, 8 orang pelajar telah terpilih untuk mengikuti Program Pertukaran Pelajar di University of South Australia (UniSA), di Adelaide, Australia. Bermula dari Februari yang lalu, Nur Ainaa binti Mokhtar (Kejuruteraan Mekatronik), Shazrul Afiq bin Zulkifli (Kejuruteraan Aeroangkasa), Afiq bin Nordin (Kejuruteraan Automotif), Siti Noraini Mohd Khalidi (Kejuruteraan Pembuatan), Mohamad Nazmi Mohamad Zaki (Pengurusan Perniagaan), Nur Aqilah Izham (Pengurusan Perniagaan), Syifaa' binti Omar (Pengurusan Perniagaan) dan Nazreen bin Ahmad (Ekonomi) telah dihantar untuk menjalani program pertukaran pelajar selama satu semester.
Program Pertukaran Pelajar yang dijayakan bersama University of South Australia ini adalah program tahunan International Islamic University Malaysia kerana ini merupakan kali keempat pelajar dari universiti ini dihantar untuk mengikuti pelajaran selama satu semester di UniSA. Namun, ini adalah kali pertama pelajar dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dihantar untuk mengikuti program yang sama. Projek dua hala ini juga melibatkan pelajar dari UniSA datang ke IIUM untuk belajar selama satu semester.
Mereka yang terpilih telah dinilai melalui prestasi akademik dan juga kokurikulum. Majoriti dari mereka adalah pelajar tahun tiga di IIUM kerana di tahap ini, mereka telah mampu untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari sepanjang di IIUM. Selain dari itu, interview juga dibuat untuk mengetahui tahap keyakinan dan penguasaan mereka terhadap Bahasa Inggeris.
Shazrul Afiq bin Zulkifli dari Fakulti Kejuruteraan, mengucapkan syukur di atas peluang yang ditawarkan oleh pihak universiti kerana, “ini merupakan peluang yang jarang sekali didapati oleh pelajar-pelajar lain”.
Hari-hari pertama di Adelaide telah melakarkan sejarah yang berharga kepada mereka yang terpilih kerana ini adalah kali pertama menjejakkan kaki ke Australia. Namun demikian, dengan keramahan dan keprihatinan rakyat Australia, mereka dapat menyesuaikan diri terhadap keadaan di sana dengan mudah.
Siti Noraini Mohd Khalidi menyatakan perasaan gembira beliau apabila terpilih menjadi salah seorang dari pelajar yang terpilih untuk menyertai program ini. Melalui program ini, selain dari dapat menimba ilmu, beliau juga dapat menambah koleksi kenalan dari pelbagai negara. Malah, beliau menambah sebagai pelajar International Islamic University Malaysia yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di kelas, sedikit sebanyak telah membantu mereka sepanjang berada di Australia.
Mohamad Nazmi Mohamad Zaki mengakui bahawa pembelajaran di sini adalah lebih mencabar kerana University of South Australia menggunakan sistem kuliah manakala IIUM menggunakan sistem kelas. Ini menjadikan interaksi antara pelajar dan pengajar menjadi terhad. Beliau yang juga dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan berkata, menjadi penuntut University South Australia selama tiga bulan telah melatih dirinya supaya menjadi seorang yang lebih berdikari, kompetitif dan pro-aktif.
Program Pertukaran Pelajar adalah satu program yang digalakkan oleh kerajaan untuk membantu pelajar menambahkan ilmu kerana, universiti yang berlainan mempraktikkan budaya pembelajaran yang berlainan. Dengan mengikuti program pertukaran pelajar adalah diharap supaya dapat membuka minda pelajar kepada sebuah dunia baru dan member peluang kepada mereka supaya dapat mempelajari adat dan budaya yang berlainan. Pihak university berharap supaya pelajar-pelajar yang terpilih akan menjadi seorang yang lebih matang, berdikari, bertolak-ansur dan saling memahami apabila pulang ke Malaysia kelak.
Thursday, 5 May 2011
MISI BANTUAN KEMANUSIAAN ISLAM KEMBOJA PELAJAR PERUBATAN UIAM KAMPUS KUANTAN
oleh Ruslan Rusly
Sepasukan sukarelawan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) Kampus Kuantan telah pun menyertai misi bantuan kemanusiaan Islam di Kemboja selama lapan hari baru-baru ini.
Seramai 15orang pelajar perubatan yang terdiri daripada pelbagai jurusan seperti Farmasi, kejururawatan, sains kesihatan bersekutu dan perubatan serta diiringi 2orang pegawai perubatan dan 3orang pegawai pengiring menjalankan misi untuk membantu umat Islam di Kg. Phum Ambil, Daerah Srok Kroch Chma dan Wilayah Kg. Cham.
Program misi bantuan ke-6 kali ini diketuai oleh Pengarah Kampus UIAM Kuantan Ybhg. Prof. Dato’ Dr. Kamaruzaman Wan Su dan mendapat kerjasama Persatuan Kebajikan Islam Kemboja serta mendapat sumbangan masyarakat di sekitar kampus UIAM Kuantan dengan memberikan bantuan dari segi kewangan, makanana dan barangan seperti telekong, Al-Quran dan sejadah.Ini adalah misi bantuan kemanusiaan di Kemboja yang pertama bagi Kampus Kuantan.
Antara objektif misi ini ialah untuk membantu umat Islam yang daif, memberikan penerangan dan tunjuk ajar kepada kanak-kanak dan ibu bapa berkenaan dengan penjagaan kesihatan serta menyediakan perkhidmatan kesihatan.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan merangkumi kempen kebersihan, pemeriksaan kesihatan, program motivasi, riadah bersama, bergotong -royong membersihkan masjid dan kenduri bersama penduduk setempat. Kedhaifan hidup menyebabkan masyarakat di sini kurang peka dengan aspek kebersihan dan kesihatan diri terutama kebersihan gigi,tangan dan kaki selain isu pendidikan yang tidak begitu dititik-beratkan.
Selain itu, aktiviti utama yang dijalankan dalam misi kali ini ialah masjlis berkhatan beramai-ramai yang dibuat selama 3 hari berturut dari jam 8pagi sehingga 4 petang waktu tempatan di mana seramai 135 orang kanak-kanak berjaya dikhatankan oleh dua orang pegawai perubatan UIAM iaitu Dr. Dinon (Ketua Pegawai Perubatan, Pusat Kesihatan UIAM) dan Prof. Madya Dr. Murad (Pengarah, Pusat Kesuburan UIAM) dengan dibantu oleh pelajar-pelajar yang menyertai misi kali ini. 5 orang -pelajar dari Kulliyyah Perubatan dan juga kulliyyah Kejururawatan mengambil peluang mempraktikkan pengetahuan mereka.
Bantuan kebajikan turut diberikan kepada golongan yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal, warga tua dan anak-anak yatim Kg Ambil yang serba dhaif. Bantuan seperti alatan belajar turut dihulurkan ke sekolah-sekolah berhampiran Kg. Ambil. Barang-barang derma yang dibawa seperti sejadah, telekung, kain batik, kain pelikat, baju orang dewasa dan kanak-kanak, naskah al-Quran dan Yaasin,wang derma dan sebagainya diagih-agihkan oleh para peserta semasa aktiviti ziarah. Misi kali ini juga turut membantu menyumbangan pemasangan pam air elektrik dari sebuah telaga ke tangki masjid dan sekolah bagi memudahkan penduduk untuk beribadah .
Menurut pengarah projek Prof. Dato’ Dr. Kamaruzaman Wan Su berkata; “ dengan adanya program sebegini, sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan kepada para pelajar perubatan UIAM tentang kedaifahan mereka yang berada di sana, selain itu juga para pelajar dapat mempraktikan ilmu-ilmu perubatan mereka dari segi memberi penerangan dan tunjuk ajar kepada masyarakat di sana tentang hal penjagaan kesihatan. Program khidmat kesihatan juga dijalankan. Apa yang diharapkan program misi bantuan kemanusiaan ini dapat diteruskan”.